Cara order GrabCar

CARA MEMESAN GRABCAR

Perkhidmatan e-hailing bukanlah sesuatu yang baru di abad ini. Ia semakin popular serta mendapat tempat di hati orang ramai kerana perkhidmatan yang selesa dan menyenangkan. Salah satu perkhidmatan e-hailing yang begitu popular di kalangan rakyat Malaysia adalah perkhidmatan Grab. Bagi anda yang tidak tahu tentang perkhidmatan Grab, ia merupakan perkhidmatan yang menggunakan kereta persendirian untuk mengambil serta menghantar penumpang ke destinasi yang ditetapkan dengan caj yang sangat berpatutan. Ia merupakan alternatif bagi perkhidmatan teksi dan boleh ditempah menggunakan aplikasi sahaja. Seseorang penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan Grab ini perlulah memuat turun aplikasi Grab secara percuma di Google Playstore atau Apple Store. Bagi anda yang baru pertama kali mencuba perkhidmatan ini, berikut merupakan langkah – langkah serta cara untuk memesan Grabcar dengan mudah.

Langkah – langkah Membuat Tempahan Grabcar Menggunakan Aplikasi Grab

  1. Download aplikasi Grab di telefon pintar anda dan pastikan anda memuat turun aplikasi yang mempunyai logo Grab Malaysia sahaja. Ini kerana Grab juga terdapat di negara lain.
  2. Anda perlu mendaftar akaun pengguna Grab untuk membolehkan anda membuat pesanan Grabcar. Anda boleh memilih sama ada untuk log in menggunakan akaun Facebook, akaun Google atau menggunakan nombor telefon anda.
  3. Setelah memilih salah satu cara log in, satu nombor verifikasi akan dihantar ke telefon pintar anda. Nombor kod tersebut perlu dimasukkan untuk membuat pengesahan akaun anda.
  4. Setelah kod verifikasi disahkan oleh sistem, ini bermakna anda telah berjaya log in ke dalam aplikasi Grab. Pastikan ikon Location Services telah diaktifkan. Aplikasi ini akan mengesan secara automatik lokasi anda. Terdapat gambar kereta di dalam peta menunjukkan bilangan kereta Grab yang tersedia di sekitar anda.
  5. Masukkan lokasi pick – up dan drop off anda. Pastikan lokasi pick – up anda adalah tepat supaya memudahkan pemandu Grab mengambil anda di lokasi yang dinyatakan. Setelah destinasi pilihan ditetapkan, anda akan melihat senarai tambang dipaparkan (tidak termasuk harga tol) mengikut jenis kereta yang anda mahu. Setelah membuat pilihan, tekan butang book untuk memesan Grabcar ke lokasi terkini anda. Apps ini akan mendapatkan pemandu Grab yang paling hampir dengan anda. Butiran serta gambar pemandu akan dipaparkan untuk makluman pelanggan. Anda akan dapat melihat masa yang diambil oleh pemandu untuk tiba ke lokasi anda. Malah, anda juga boleh melihat pergerakan kereta tersebut sehingga tiba di lokasi. Sekiranya perlu, anda boleh menelefon atau menghantas SMS kepada pemandu Grab tersebut.
  6. Sekiranya anda ingin membatalkan tempahan, tekan sahaja butang cancel dan berikan alasan anda. Sebaiknya batalkan tempahan sebelum pemandu tiba di pick – up point anda.
  7. Cara pembayaran tambang perkhidmatan ini boleh dibuat secara tunai atau menggunakan kad kredit. Sekiranya anda menggunakan kad kredit, maklumat kad kredit perlu dimasukkan ke akaun anda terlebih dahulu. Tambang akan dicaj secara automatik setelah anda tiba di destinasi drop – off.

Sebelum membuat pesanan Grabcar, pastikan anda telah bersedia terlebih dahulu. Ini kerana Grabcar hanya boleh menunggu selama lima minit sahaja di pick – up point, dan pemandu Grab boleh batalkan pesanan anda tanpa bantahan. Sekiranya anda sering lewat serta membatalkan pesanan, kemungkinan akaun anda dibekukan adalah sangat tinggi. Malah, anda mungkin tidak dapat menggunakan perkhidmatan Grab lagi di masa hadapan.

Harga tambang Grab adalah tetap dan tiada sebarang bantahan atau tawar menawar boleh dilakukan. Caj tol akan dikenakan ke atas penumpang dan anda tidak boleh memilih jalan yang sesak kerana ingin  mengelakkan tol. Pemandu Grab berhak membatalkan tempahan anda sekiranya anda tidak bersetuju dengan jalan yang telah ditetapkan dalam Waze atau Google Map. Sebagai penumpang Grab, anda tidak dibenarkan makan atau minum dalam kereta tanpa mendapat keizinan pemandu Grab terlebih dahulu. Setelah tiba di destinasi anda, pastikan anda memberi rating kepada pemandu Grab kerana ia adalah penting bagi mereka untuk mendapatkan pelanggan pada masa akan datang.

Grab juga akan mengenakan caj pembatalan kepada penumpang sekiranya penumpang membatalkan tempahan selepas lima minit pemandu Grab menerima tempahan. Penumpang yang tidak hadir selepas lima minit pemandu Grab tiba di lokasi juga turut dikenakan caj. Caj pembatalan akan dikenakan ke atas penumpang apabila penumpang membuat tempahan seterusnya. Kadar caj pembatalan yang dikenakan pula adalah bermula dari RM 3 hingga RM 5 sahaja bergantung kepada tempahan yang ditempah.

Harga tambang Grabcar akan meningkat menjelang waktu – waktu puncak dan harganya akan menjadi normal selepas permintaan berkurangan. Sebagai pengguna Grab, anda juga boleh membuat tempahan untuk pengguna lain dengan mudah.