Daftar Pemandu Uber Malaysia

Dengan pelancaran dan perkembangan Uber di Malaysia, majoriti rakyat telah menjadikan Uber sebagai punca pendapatan mereka sama ada secara sampingan atau pun tetap. Di zaman kos sara hidup yang tinggi kini, pemilihan Uber sebagai punca pendapatan adalah disebabkan aplikasi yang disediakan adalah mudah, cepat dan murah. Untuk menjadi pemandu Uber hanya memerlukan sebuah kenderaan, telefon pintar yang mempunyai jaringan internet dan masa yang boleh diluangkan.

 

Uber di Malaysia telah diperkenalkan sekitar Disember 2013 bermula di Kuala Lumpur, Ibu Kota Malaysia. Buat masa ini, Uber di Malaysia beroperasi di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka, Langkawi dan beberapa bandar besar sahaja. Kawasan-kawasan ini akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan pengguna. Rakyat Malaysia lebih memilih Uber sebagai pengangkutan awam yang sesuai, selamat digunakan serta mengenakan tambang yang berpatutan. Hal ini kerana kebanyakan jalan di bandar – bandar di Malaysia mengalami kesesakan terutama di waktu puncak. Justeru, rakyat Malaysia menjadikan Uber sebagai salah satu kemudahan pengangkutan awam yang paling munasabah pada masa kini.

Selain kelebihan menjadi penumpang atau pengguna perkhidmatan ini, menjadi Pemandu Uber juga menawarkan peluang terutama dari segi menjana pendapatan yang lumayan. Sesiapa yang ingin menjadi Pemandu Uber, tidak perlu berhenti kerja, namun memerlukan komitmen yang konsisten. Pemandu Uber bukan setakat memperoleh pendapatan melalui tambang selepas komisen ditolak. Mereka juga diberikan insentif yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang tinggi di mana bergantung kepada masa bekerja.

 

Apabila ditanya adakah selamat menjadi pemandu Uber ini? Ya, jawapannya lebih selamat daripada memandu teksi kerana penumpang telah berdaftar di laman web Uber dan semua maklumat mereka telah disimpan oleh Uber. Berbeza dengan penumpang teksi di mana tiada maklumat langsung tentang mereka. Jadi, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, sangat sukar untuk menjejaki mereka.

 

Uber hanya mengenakan caj sebanyak 25% daripada bayaran penumpang sebagai caj mereka. Contohnya, dalam seminggu pendapatan adalah sebanyak RM1000, UBER akan mengenakan caj sebanyak RM250. Jadi, pemandu UBER akan menerima bayaran sebanyak RM750 terus ke akaun mereka. Biasanya bayaran akan terus masuk ke akaun pada hari Rabu berikutnya. Waktu pengiraan caj bayaran adalah bermula 4.00 pagi hari Isnin hingga 3.59 pagi Isnin berikutnya.

Untuk menjadi Pemandu Uber, beberapa syarat dan keperluan utama diperlukan iaitu:

Keperluan Pemandu:

 

  • Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap.
  • Berumur 21 tahun ke atas selepas tarikh lahir.
  • Mempunyai lesen memandu Malaysia bertaraf penuh yang sah tempoh.
  • Nama pemandu disenaraikan di dalam perlindungan insuran kenderaan yang ingin dipandu.

 

Tahun Model Kenderaan:

  • Kenderaan yang digunakan mestilah yang telah dikeluarkan selepas tahun 2008.
  • Pendaftaran harus dilengkapkan bersama geran kenderaan bagi memastikan kenderaan yang ingin dipandu mematuhi had tahun dari tarikh pembuatan kenderaan.

 

Jenis Kenderaan:

  • Mempunyai sekurang-kurangnya 4 pintu sisi.
  • Tiada kerosakan atau kecacatan fizikal kenderaan yang jelas dilihat.
  • Tiada penjenamaan komersial pada kenderaan.

 

Selain itu, tiada yuran dikenakan kepada pemandu Uber, pendaftaran adalah percuma. Selepas anda mendaftar, Uber akan menghubungi anda untuk menghadiri kursus yang disediakan. Dokumen yang perlu dibawa ialah Kad pengenalan, Sijil Insurans Kereta dan Cover Note Insurans kereta bagi mengaktifkan akaun pemandu Uber. Selepas menghadiri kursus 1 atau 2 jam, mereka yang layak akan diaktifkan di mana Uber Partner App mereka boleh digunakan untuk memandu.

 

Pendaftaran juga boleh dilakukan secara dalam talian. Anda tidak perlu pergi ke pejabat tetapi perlu masuk ke laman web Uber untuk mendaftar. Kemudian, anda perlu isikan maklumat penting diri anda seperti emel, alamat tempat tinggal dan sebagainya. Untuk pengetahuan anda, walaupun anda berada di Putrajaya (contohnya), anda masih boleh menjadi Pemandu Uber di kawasan lain. Pendaftaran secara dalam talian juga memerlukan anda untuk memuatnaik 3 dokumen yang dinyatakan seperti perenggan sebelumnya.

Setelah itu, anda perlu log masuk ke Aplikasi Uber Partner yang anda muat turun menggunakan emel, no telefon dan katakunci yang anda berikan semasa mendaftar. Anda perlu menunggu selama tempoh 2 hingga 3 hari untuk pihak Uber mengaktifkan akaun anda. Anda dicadangkan dari semasa ke semasa untuk menghidupkan aplikasi Uber Partner anda untuk mengetahui status anda sehinggalah pihak Uber akan menghantar emel kepada anda mengatakan akaun anda telah aktif. Seterusnya, anda telah pun secara rasminya menjadi Pemandu Uber!. Anda juga boleh menonton video untuk mendapat penerangan lanjut menjadi Pemandu Uber.

Jenis Jenis Kenderaan Uber

Umum hanya mengetahui tentang cara mendaftar sebagai Pemandu Uber melalui aplikasi tersebut, namun tidak ramai menyedari bahawa Uber juga menawarkan tiga kategori perkhidmatan berbeza mengikut jenis kenderaan yang dipandu dan tambang. Pemandu Uber yang telah mendaftar boleh memilih untuk menjadi pemandu sama ada Uber X, Uber XL dan Uber Black.

 

Uber X

Uber X merupakan merupakan kategori perkhidmatan ekonomi dan mudah didapati. Pemandu Uber X menggunakan kereta yang mempunyai kapasiti enjin tidak melebihi 2000cc (2.0L) dan kenderaan jenis sedan. Kereta yang digunakan tidak boleh melebihi 10 tahun, masih dalam keadaan baik dan mempunyai 4 pintu. Contoh kereta yang digunakan adalah seperti Perodua Myvi, Proton Saga, Toyota Vios dan sebagainya. Perkhidmatan Uber X boleh didapati di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Penang, Ipoh, Kota Kinabalu dan Kuching. Kadar tambang asas bermula daripada RM0.80 hingga RM1.00 mengikut bandar-bandar.

Uber XL

Uber XL pula menggunakan kenderaan lebih besar ataupun MPV berbanding dengan Uber X. Kenderaan ini lebih luas dan selesa. Kereta yang digunakan harus memenuhi syarat-syarat seperti tahun dikeluarkan pada tahun 2008, tidak mempunyai sebarang kecacatan pada bahagian kenderaan dan minima 6 penumpang. Bagaimanapun, van tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai kenderaan Uber. Contoh kereta yang dibenarkan adalah seperti Proton Exora, Nissan Grand Livina, Toyota Avanza dan sebagainya. Penumpang yang berada di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Penang boleh mendapatkan perkhidmatan ini. Tambang asas sebanyak RM2.50.

Uber Black

Uber Black pula ialah pemandu yang profesional dengan lesen komersial atau insurans auto komersial yang menggunakan kenderaan mewah seperti BMW dan Mercedes Benz. Jenis kereta lain yang berada dibawah kategori ini ialah MPV mewah. Kereta seperti Toyota Camry, Honda Accord, CR-V dan Toyota Vellfire layak berada dalam kategori ini.

 

Pemandu Uber juga tidak boleh menolak permintaan penumpang. Penumpang akan memberikan penilaian buruk kepada mana-mana pemandu yang melanggar peraturan Uber seperti mengenakan caj lebih, tidak sopan dan melakukan gangguan seksual kepada mereka. Pemandu akan diberhentikan daripada Uber sekiranya mendapat markah penilaian yang teruk. Ini adalah perlu bagi memastikan Uber sentiasa memberikan perkhidmatan selamat, selesa dan menyeronokkan. Selain daripada itu, pemandu juga boleh membuat penilaian ke atas penumpang. Ini bagi menggalakkan suasana harmoni antara pemandu dan penumpang.

 

Kelebihan menjadi Pemandu Uber ialah Uber mempraktikkan kenaikan harga pada kadar ketika permintaan tinggi. Manakala kekurangan Uber ialah pemandunya tidak dapat melihat destinasi yang perlu dituju sebelum menerima sesuatu tugasan. Hal ini menyukarkan pemandu untuk merancang perjalanan dan pendapatan mereka ketika berada dalam talian.

 

Status Uber di Malaysia

Uber kini telah diluluskan oleh kerajaan Malaysia. Pihak penguasa sedang dalam proses untuk melaraskan ehailing di negara ini. Antara syarat baru yang mungkin dikenakan ialah pengunaan kederaan bawah 5 tahun , eKad untuk pemandu ehailing , pemeriksaan SPAD dan sebagainya.