Program Subisidi Petrol (PSP)

Baru – baru ini kerajaan telah membuat pengumuman mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan diberikan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan 1600cc ke bawah serta kereta 1600cc yang berumur 10 tahun ke atas adalah layak menerima bantuan ini. Bagi kategori motosikal pula, motosikal berkuasa 150cc dan ke bawah serta motosikal yang berkuasa melebihi 150cc serta berusia tujuh tahun ke atas adalah juga layak menerima subsidi ini.

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM 30 sebulan bagi kategori kereta, manakala RM 12 sebulan bagi kategori motosikal. Bantuan subsidi ini akan memberi manfaat kepada 2.86 juta penerima. Program ini akan mula dilaksanakan menjelang Januari 2020 di mana harga petrol Ron95 akan diapungkan dan harganya akan dibuat pelarasan secara berperingkat. Penerima  bantuan akan menerima bantuan subsidi secara tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima 3 kali setahun iaitu empat bulan sekali.

Program Subsidi Petrol ini akan memperuntukkan belanja sebanyak RM 65.4 juta sebulan. Bagi penduduk Sabah, Sarak dan juga Labuan, harga petrol akan kekal RM 2.08 bagi Ron 95, seterusnya ia tidak melayakkan mereka menerima PSP. Pihak kerajaan akan mendapatkan maklumat penerima bantuan melalui data asas BSH serta maklumat dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum membolehkan penerima mendapat subsidi petrol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhasrat untuk meluaskan bantuan ini kepada golongan M40 juga dan isu ini akan dibawa ke Kabinet untuk pengesyoran dan kelulusan Kabinet. Beliau mahu golongan M40 juga turut menerima subsidi ini dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja. Wang penjimatan yang diperolehi daripada PSP ini boleh digunakan untuk subsidi kepada golongan M40.

Subsidi petrol tidak akan diberikan kepada penerima sekiranya harga pasaran petrol Ron 95 berharga kurang dari RM 2.00 seliter. Objektif utama pemberian subsidi adalah untuk membantu rakyat apabila harga petrol pada kadar yang berpatutan. PSP ini adalah merupakan mekanisme baru bagi menggantikan penetapan harga petrol yang dilaksanakan sekarang. Bermula 1 Januari 2020, kerajaan akan mengumumkan harga petrol Ron 95 yang diapung secara berperingkat.