SKIM BANTUAN IBU TUNGGAL

Sememangnya kehidupan seorang ibu tunggal ini agak mencabar. Tambahan pula jika meneruskan kehidupan di ibukota yang penuh dengan onak dan duri kehidupan. Kehidupan di kota metropolitan lebih mencabar di mana keadaan ekonomi yang kurang stabil menjadi isu yang sangat kritikal. Bagi seseorang yang suatu tika dahulu hanyalah seorang surirumah dan tiada sebarang pendapatan, kemelut kehidupan sangat meruncing apabila telah bergelar ibu tunggal yang terpaksa menguruskan kehidupan bersama anak – anak tanpa wang ringgit bagi meneruskan kehidupan. Malah, ia menjadi permasalahan yang agak rumit sekiranya tahap pendidikan mereka adalah rendah. Kesulitan mendapatkan pekerjaan turut menjadi isu yang boleh menjejaskan kehidupan mereka sekeluarga. Sumber pendapatan yang sedikit membuatkan mereka tidak dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan mewujudkan pelbagai permasalahan di dalam keluarga. Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat mempunyai beberapa bantuan khusus bagi membantu golongan ibu tunggal bagi meringankan beban yang dihadapi oleh ibu tunggal. Antara bantuan yang disediakan oleh JKM adalah seperti berikut :

JENIS BANTUAN

Bantuan Kanak – Kanak (BKK)

 

KADAR BANTUAN

Minima : RM 100.00 sebulan bagi seorang anak

Maksima : RM 450.00 sebulan bagi keluarga yang melebihi 4 orang kanak – kanak

 

TUJUAN

    • Bantuan Kanak – Kanak (BKK) ini diberikan bagi membantu golongan kanak – kanak miskin dan berkeperluan supaya mereka dapat terus tinggal bersama – sama keluarga dan mendapat kasih sayang, perhatian serta penjagaan yang sewajarnya.

 

  • Ia juga bertujuan bagi membantu memelihara serta memperkukuhkan institusi kekeluargaan yang terlibat supaya dapat terus berdikari dan menjaga anak – anak mereka dengan sempurna

 

 

SYARAT KELAYAKAN KHUSUS

 

  • Keluarga yang merupakan penjaga anak (kanak – kanak)
  • Kanak – kanak yang dipelihara mestilah berumur 18 tahun ke bawah, masih bersekolah dan perlu meneruskan sesi persekolahan
  • Kanak – kanak tersebut merupakan anak yatim / yatim piatu dan
  • Kanak – kanak yang mempunyai penjaga / ibu bapa yang tidak berkeupayaan / tidak berkemampuan / tiada mata pencarian disebabkan keuzuran, cacat, berpenyakit atau tanggungan banduan atau pusat tahanan

 

 

TEMPOH PENERIMAAN

Tempoh penerimaan bantuan ini adalah selama 12 bulan

JENIS BANTUAN

Bantuan Anak Pelihara (BAP)

 

KADAR BANTUAN

Minima : RM 250.00 sebulan bagi seorang anak

Maksima : RM 500.00 sebulan bagi keluarga yang memelihara melebihi 2 orang kanak  – kanak

 

TUJUAN

 

  • Bantuan Anak Pelihara (BAP) ini diberikan bagi menggalakkan kanak – kanak tersebut untuk terus tinggal bersama – sama di dalam sesebuah masyarakat / keluarga dab tidak dihantar ke pusat kebajikan masyarakat
  • Ia juga bertujuan untuk menempatkan semula kanak – kanak yang berada di pusat kebajikan masyarakat untuk tinggal bersama keluarga ganti / angkat agar kanak – kanak tersebut mendapat perhatian serta kasih sayang daripada sebuah keluarga dan dapat hidup bermasyarakat
  • Bantuan ini juga diberikan agar pengiktirafan terhadap hak kanak – kanak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan yang sewajarnya di dalam kehidupan bersama keluarga ganti dan
  • Mengiktiraf fungsi, peranan serta tanggungjawab keluarga ganti terhadap kanak – kanak tersebut bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya

 

 

SYARAT KELAYAKAN KHUSUS

 

  • Kanak – kanak yang dipelihara mestilah berumur 18 tahun ke bawah,
  • Kanak – kanak tersebut merupakan anak yatim piatu / tidak mempunyai ibu bapa
  • Kanak – kanak tersebut mestilah tinggal bersama keluarga ganti yang tidak mempunyai pertalian darah
  • Kanak – kanak tersebut bukan diambil sebagai anak angkat di bawah Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 dan
  • Kanak – kanak tersebut merupakan kanak – kanak yang diambil dari “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Bagi kes ini, had pendapatan keluarga pelihara tidak ditetapkan

 

 

TEMPOH PENERIMAAN

Tempoh penerimaan bantuan ini adalah selama 6 bulan

 

JENIS BANTUAN

Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar / OKU Terlantar (BPT)

 

KADAR BANTUAN

RM 300.00 sebulan seorang

 

TUJUAN

  • Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar / OKU Terlantar (BPT) ini diberikan bagi membantu meringankan bebanan perbelanjaan serta kos penjagaan yang dihadapi oleh keluarga penjaga
  • Ia juga bertujuan menggalakkan penjagaan yang lebih rapi dan sempurna kepada kumpulan sasar OKU dan juga Pesakit Kronik Terlantar
  • Ia dapat meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar yang terlibat, dapat mengelakkan serta mengurangkan kemasukan golongan tersebut ke pusat kebajikan masyarakat dan
  • Dapat mempertingkatkan kesejahteraan sesebuah keluarga

 

SYARAT KELAYAKAN KHUSUS

 

  • Pemohon merupakan ahli keluarga OKU / Pesakit Kronik Terlantar
  • Warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia
  • Memberi penjagaan rapi sepenuh masa terhadap ahli keluarga yang OKU / Pesakit Kronik Terlantar
  • Berpendapatan tidak melebihi RM 3,000.00 sebulan dan
  • Keluarga yang tidak berkemampuan

 

 

TEMPOH PENERIMAAN

Tempoh penerimaan bantuan ini adalah selama 12 bulan

 

JENIS BANTUAN

Geran Pelancaran (GP)

 

KADAR BANTUAN

Maksima RM 2,700.00 sekaligus

 

TUJUAN

  • Geran Pelancaran ini diberikan bagi menggalakkan golongan ibu tunggal memajukan diri dalam bidang perniagaan / keusahawanan
  • Geran ini diberikan supaya penerima bantuan dapat berdikari dan dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka tanpa bergantung kepada bantuan Kerajaan yang lain

 

SYARAT KELAYAKAN KHUSUS

 

  • Pemohon atau ahli keluarganya adalah penerima bantuan bulanan
  • Warganegara Malaysia  
  • Orang Kurang Upaya (OKU) yang sedang mendapat perkhidmatan dari Jabatan
  • Merupakan bekas pelatih dari institut kebajikan dan
  • Terdapat kes – kes seliaan akhlak

 

 

TEMPOH PENERIMAAN

Tiada tempoh penerimaan kerana bantuan geran ini diberikan sekaligus sahaja

 

SKIM BANTUAN KREDIT / PINJAMAN

 

Selain skim bantuan yang diberikan oleh JKM, beberapa syarikat lain serta badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan pelbagai kemudahan serta pinjaman kredit kepada golongan ini untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Antaranya adalah seperti :

 

  1. Yayasan Tekun Nasional (TEKUN)
  2. Amanah Ikhtiar Malayia (AIM)
  3. Program e-Kasih
  4. Majlis Amanah Rakyat (MARA)

 

Agensi – agensi ini menyediakan pelbagai bantuan bagi membangunkan potensi golongan wanita terutamanya golongan ibu tunggal. Antara tujuan utama adalah untuk :

 

  1. Memperkukuhkan Unit Hal Ehwal Wanita (HAWA) sebagai jentera Pembangunan Dasar
  2. Mengorentasikan dasar serta tindakan agensi kerajaan supaya memasukkan proses perancangan, pelaksanan dan pengawasan program-program pengintegrasian wanita
  1. Memberikan pendidikan serta latihan bagi meningkatkan taraf hidup wanita
  2. Penglibatan Badan- badan Bukan Kerajaan
  3. Membasmi kemiskinan dan mengambil tindakan tegas
  4. Memajukan dan menyelaras penyelidikan mengenai isu wanita

 

Kehidupan golongan ibu tunggal sememangnya sangat mencabar terutamanya dari aspek ekonomi, sosial, psikologi, perhubungan dengan masyarakat. Biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan,namun terdapat juga sebilangan daripada mereka yang mampu berdepan dengan pelbagai rintangan dan bangkit semula meneruskan kehidupan. Ini menjelaskan bahawa rintangan yang telah dihadapi oleh mereka telah meningkatkan resilency jati diri seterusnya golongan ini mampu meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.

Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mempertimbangkan skim bantuan yang bersesuaian dengan kategori ibu tunggal di mana, pemohon perlu membuat permohonan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran. Sebelum mendapat sebarang bantuan, pegawai di JKM akan melakukan siasatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan bantuan yang layak bagi pemohon. Borang permohonan bantuan JKM18 boleh didapati secara terus di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian (PKMD) di seluruh negara dan ia juga boleh di muat turun di laman web www.jkm.gov.my.