Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah ditubuhkan pada tanggal 22 Mei 1979 dan merupakan sebuah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menguruskan unit amanah di Malaysia. ASNB bertanggungjawab menguruskan produk – produk yang dilancarkan oleh PNB seperti Skim Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2), Amanah Saham Nasional 3 (ASN 3), Amanah Saham Gemilang-Kesihatan (ASG-Kesihatan), Amanah Saham Gemilang-Pendidikan (ASG-Pendidikan), Amanah Saham Gemilang-Persaraan (ASG-Persaraan), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020), Amanah Saham Didik (ASD) dan juga Amanah Saham 1Malaysia (AS1Malaysia). ASNB yang telah bertapak lebih 30 tahun ini juga mempunyai cawangan sebanyak 28 unit di serata Malaysia dan telah menguruskan sebanyak 12 dana yang mempunyai nilai billion ringgit. Ia juga merupakan syarikat pengurusan unit amanah paling utama di Malaysia dan memegang sebanyak 40 % daripada jumlah keseluruhan unit dalam edaran dengan jumlah pelabur lebih 9 juta yang melanggan kira – kira RM 143 bilion unit ASB.
ASNB menyediakan perkhidmatan seperti pendaftaran akaun amanah, sijil pelaburan, tuntutan harta pusaka serta perancangan perwarisan. ASNB juga telah mempelbagaikan produk pelaburan dan dikategorikan mengikut kelas aset dan sektor yang berbeza bagi mengurangkan risiko pelaburan individu. Ia juga dapat memberi peluang kepada individu melabur dengan jumlah pelaburan modal yang kecil. Pelabur – pelabur juga boleh menjual balik sebahagian atau semua unit amanah pada bila – bila masa tanpa syarat. Ahli Jawatankuasa Pelaburan Dana yang terdapat di dalam ASNB bertanggungjawab terhadap penyediaan polisi serta garis panduan bagi pengurusan dana yang lebih berkesan dan cekap dengan penggabungan sistem tadbir urus korporat yang baik dalam pengurusan dana. Selain itu juga, ahli jawatankuasa ini juga berperanan menyediakan panduan yang lebih produktif bagi memenuhi objektif dana dan memastikan pulangan pelaburan yang lebih kompetetif kepada para pelabur, meluluskan strategi dan pelan pelaburan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang bagi memaksimumkan nilai pelaburan.
Antara faedah pelaburan dengan syarikat ASNB ialah mempelbagaikan pelaburan dalam pelbagai kelas aset dan sektor-sektor yang berbeza akan mengurangkan risiko pelaburan individu kerana ia memberi peluang kepada pelabur-pelabur yang ingin melabur dengan modal yang kecil. Pelabur juga berpeluang mendapat khidmat pengurus profesional yang selalunya tidak dapat dinikmati oleh pelabur individu yang melabur dengan modal yang kecil. Segala urusan jual beli serta pegangan pelaburan unit amanah lebih mudah bagi pelabur – pelabur kecil. Pelabur juga boleh membuat sebarang urusan jual balik unit amanah pada bila – bila masa sahaja tanpa sebarang syarat khusus.
Pada tanggal 28 Jun 2017, ASNB telah mengorak langkah yang lebih produktif apabila telah menambahbaik sistem urusniaga dengan memperkenalkan sistem urusniaga tanpa buku pelaburan untuk urusan jual beli unit amanah di kaunter – kaunter ASNB. Pelabur hanya perlu membawa kad pengenalan bagi sebarang urusniaga. Sistem ini dilihat lebih efisien dan mudah buat para pelabur.
Setiap tahun ASNB memberikan dividen keuntungan tahunan yang agak tinggi antara 6 – 7% setahun. Pemberian keuntungan ini juga bergantung kepada jenis akaun pelaburan saham dan setiap keuntungan adalah berbeza – beza. Pelaburan unit amanah yang dikeluarkan oleh ASNB hanya terbuka untuk kaum bumiputera sahaja dan tidak dapat dimiliki oleh kaum lain. Bagi melabur dalam unit ASNB ini, seorang pelabur boleh melabur secara tunai ataupun melalui pinjaman bank. Sekiranya pelabur ingin melabur secara tunai, ia boleh dibuat secara potongan gaji atau pun secara deposit tunai di kaunter bank terpilih. Selain itu juga, pelabur boleh membuat pinjaman ASB yang ditawarkan oleh bank – bank terpilih dengan kadar faedah yang agak rendah. Bagi pelabur – pelabur yang masih mencari peluang untuk melabur, ASNB adalah tempat yang paling selamat untuk membuat pelaburan tanpa sebarang risiko dengan kadar dividen yang begitu menguntungkan.