Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0
Kerajaan hari ini telah mengumumkan akan meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dikenali sebagai BPN 2.0 semasa Perutusan Khas Perdana Menteri iaitu Pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin. Ia akan memanfaatkan seramai 3.7 juta isi rumah B40 dengan kadar RM 1,000 yang akan dibayar secara dua kali ansuran iaitu pada penghujung bulan Oktober 2020 dan Januari 2021. Pembayaran ansuran pertama adalah sebanyak RM 700 dan keduanya adalah sebanyak RM 300.
Semasa Bantuan Prihatin Nasional (BPN) pertama kali disalurkan, ia telah memanfaatkan seramai 10.6 juta penerima dengan peruntukkan sebanyak RM 11.2 bilion. Penerima telah menggunakan bantuan tersebut secara berhemah dan sebaik mungkin bagi membantu menyara keluarga serta diri masing – masing. Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat ramai yang terjejas dengan sumber pendapatan yang tidak menentu. Dengan adanya BPN yang diperkenalkan oleh kerajaan, ia sememangnya cukup melegakan.
BPN 2.0 ini turut diberikan kepada kumpulan B40 bujang iaitu seramai 3.8 juta dengan kadar bantuan sebanyak RM 500 dan juga kumpulan isi rumah M40 iaitu seramai 1.4 juta dengan kadar bantuan RM 600. Bagi kumpulan M40 bujang, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM 300 dan dianggarkan akan memanfaatkan seramai 1.7 juta individu. Biarpun negara sedang dalam proses pemulihan, BPN 2.0 yang diumumkan ini mampu meringankan kos sara hidup pada ketika ini. Tambahan pula, moratorium yang diberikan juga akan berakhir pada penghujung September ini. Dengan adanya BPN 2.0, ia dapat memberi ruang untuk rakyat menarik nafas lega bagi menampung perbelanjaan keperluan harian seisi keluarga.
Cara Membuat Permohonan
- Tiada permohonan diperlukan kerana kerajaan akan menyalurkan bantuan berdasarkan maklumat penerima BPN terdahulu
- Bagi yang tidak pernah menerima BPN tetapi berkelayakan, mereka perlu mengemukakan permohonan dan membuat rayuan
Kategori Bantuan
- Isi Rumah B40 – RM 1,000
- Bujang B40 – RM 500
- Isi Rumah M40 – RM 600
- Bujang M40 – RM 300
Keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat terserlah apabila kerajaan bersedia mempertimbangkan permintaan untuk melaksanakan Bantuan Prihatin Nasional 2.0. Walau bagaimana pun, sebelum ianya boleh dilaksanakan, pelbagai aspek perlu ditekankan terutamanya sumber kewangan semasa bagi memenuhi permintaan tersebut. Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM 7 bilion bagi melaksanakan BPN 2.0 ini. Harapan kerajaan dengan adanya penyaluran bantuan ini dapat meringankan beban rakyat yang terpaksa dihadapi sepanjang tempoh PKPP ini.