BANTUAN REBAT BIL ELEKTRIK RM 40
Rakyat Malaysia antara orang yang bertuah kerana pihak kerajaan telah mengumumkan bantuan rebat elektrik sebanyak RM 40 kepada 200,000 orang pengguna yang layak. Program baharu ini bagi menggantikan program terdahulu iaitu Program Rebat Bil Elektrik RM 20 yang telah tamat pada bulan Disember 2018. Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan sehingga RM 140 juta bagi melaksanakan program ini yang akan dimulakan mulai 1 Januari 2019 hingga bulan Disember 2019.
Program ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan kepada golongan sasar khususnya bagi golongan keluarga miskin tegar serta miskin yang telah berdaftar dalam sistem eKasih. Seramai 66,600 ketua isi rumah yang telah mendaftar dalam eKasih telah menerima bantuan tersebut. Walau bagaimana pun, seramai 142,200 lagi belum mendaftar dalam sistem eKasih.
Melalui sistem ini, setiap ketua isi rumah tidak lagi perlu membayar bil elektrik yang dicaj setiap bulan, namun jumlah yang dicaj mestilah kurang daripada RM 40.00. Namun, sekiranya bil elektrik bulanan melebihi RM 40.00, maka ketua isi rumah perlu membuat bayaran bagi lebihan bil yang dikenakan.
Program ini adalah selaras dengan hasrat serta impian kerajaan untuk memastikan kehidupan rakyat di negara ini semakin berkualiti serta terpelihara dan tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sebelum membuat semakan samada anda layak atau pun tidak untuk menerima bantuan rebat ini, pastikan anda benar – benar berada dalam kategori golongan miskin dan miskin tegar di Malaysia seperti mana syarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekretariat.
Syarat – syarat Penerimaan Bantuan Rebat Elektrik RM 40
- Merupakan ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar dan miskin
- Telah berdaftar dalam eKasih
- Menerima rebat bil elektrik sebanyak RM 40 sebulan. Sekiranya bil elektrik anda
berjumlah RM 50.00, maka anda perlu membayar lebihan sebanyak RM 10.00 sahaja.
- Sekiranya bil elektrik anda kurang dari RM 40, makan anda tidak perlu membuat
sebarang bayaran bil
- Sekiranya potongan yang diterima kurang dari jumlah yang diperuntukkan, baki potongan tersebut sama sekali tidak akan di bawa ke bulan hadapan
- Sekiranya pengguna memiliki lebih dari satu akaun TNB, pengguna hanya layak menerima bantuan rebat untuk satu akaun TNB sahaja.
Sekiranya pengguna yang berdaftar dengan eKasih tidak memiliki akaun berdaftar dengan TNB, SESB atau SEB, mereka boleh mengisytiharkan akaun pihak ketiga dan membuat permohonan menggunakan borang permohonan yang boleh didapati dari Kedai Tenaga TNB, pejabat SESB atau pejabat SEB yang berhampiran. Dokumen sokongan yang diperlukan untuk permohonan ini terdiri dari salinan kad pengenalan pengguna. Bagi pengguna yang tidak layak serta ingin mendaftar dalam eKasih perlu merujuk samada kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan (PPPN) / Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di peringkat negeri dan juga di Unit Pembangunan Pejabat Daerah.
Ketua isi rumah boleh membuat semakan kelayakan bantuan rebat bil elektrik dalam sistem eKasih atau di portal MESTECC. Malah, boleh juga menghubungi pihak sekretariat My Government Call Centre (MyGCC) di talian 03 – 8000 8000. Semakan kelayakan juga boleh dibuat melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan berkunjung ke cawangan berhampiran atau menghubungi talian 1-300-888-5454. Pengguna yang berada di negeri Sabah boleh menghubungi Helpline Sabah Electricy Sdn Bhd (SESB) di talian 088-515 000 manakala bagi pengguna Sarawak pula boleh menghubungi Customer Care Sarawak Energy Berhad (SEB) di talian 1-300-88-3111.