BANTUAN RM 500 AIDILFITRI PENJAWAT AWAM NEGERI PAHANG
Seramai 8,000 kakitangan awam negeri Pahang akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM 500 sepertimana yang diterima oleh kakitangan kerajaan persekutuan. Namun, di Pahang, bantuan ini diberikan kepada kakitangan bagi gred Jusa dan ke bawah. Pemberian ini diberikan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi dan peruntukkan dianggarkan sebanyak RM 4 juta. Pembayaran Bantuan Khas ini akan dibayar pada 19 Mei 2020. Pengumuman ini telah dibuat sendiri oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail iaitu Menteri Besar Pahang. Beliau juga berharap Badan – badan Berkanun Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memberikan bantuan khas kepada kakitangan masing – masing seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Menurut Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, terdapat seramai 3,500 kakitangan berkhidmat dengan PBT dan Badan Berkanun di negeri Pahang dan mereka juga seharusnya menerima Bantuan Khas sempena sambutan Syawal akan datang. Bantuan Khas yang disalurkan oleh kerajaan negeri Pahang adalah sebagi tanda terima kasih serta penghargaan kepada setiap kakitangan atas perkhidmatan yang diberikan serta kesetiaan mereka dalam memberi sokongan kepada kerajaan negeri.
Pemberian Bantuan Khas ini adalah tepat pada masanya kerana ia dapat meringankan beban kakitangan awam yang ingin membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Harga barangan di pasaran yang tidak menentu pastinya membuat ramai berkira – kira untuk berbelanja. Namun, dengan adanya Bantuan Khas yang diberikan oleh kerajaan negeri Pahang ini pastinya memberi sedikit kelegaan serta membolehkan kakitangan awam membuat persiapan sewajarnya tanpa rasa terbeban.
Bagi yang telah berkeluarga, pastinya persiapan lebih ditumpukan pada anak – anak yang masih tidak tahu apa – apa. Persiapan juadah raya juga pastinya dipersiapkan di pagi Syawal yang mulia, biarpun tiada sambutan besar – besaran dibenarkan melainkan meraikannya bersama keluarga di dalam rumah sahaja. Kerajaan negeri Pahang juga berharap, setiap kakitangan yang mendapat Bantuan Khas ini menggunakan wang tersebut secara berhemah dan tidak membuat pembaziran serta membeli sesuatu yang bukan keperluan diri dan keluarga. Perbelanjaan berhemah adalah lebih menguntungkan semua pihak.