Bantuan Sekolah RM 100 Tahun 2020

Pada tanggal 27 Disember 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pelaksanaan Bantuan Sekolah RM 100 akan diteruskan pada tahun 2020. Pengumuman ini telah dibuat melalui satu surat siaran berkaitan pelaksanaan yang akan diberikan kepada murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Bantuan Awal Persekolahan (BAP) ini bagi membantu meringankan bebanan kos perbelanjaan persekolahan yang ditanggung para ibu bapa / penjaga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak – anak pada awal tahun.

Bantuan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2012 lagi dan pelaksanaanya adalah berdasarkan beberapa kriteria berikut :

  • Murid mestilah merupakan warganegara Malaysia (salinan dokumen yang sah seperti sijil  kelahiran / MyKid / MyKad atau sebarang dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendafaran Negara)
  • Murid dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf
  • Isi rumah berpendapatan kasar RM 3000 dan ke bawah pada tahun semasa (Pendaftaran kasar tidak termasuk elaun lebih masa dan elaun yang tidak tetap. Hanya elaun tetap sahaja diambil kira)
  • Bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Swasta (selain sekolah antarabangsa)
  • Tempoh pelaksanaan bantuan ini bermula dari awal tahun iaitu bulan Januari hingga bulan Jun sahaja bagi setiap sesi persekolahan tahun semasa. 
  • Bayaran sebanyak RM 100 akan dibayar sekaligus untuk setiap murid. 
  • Bantuan ini akan disalurkan melalui Akaun Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK). Ia akan disalurkan secara berperingkat oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Peruntukan ini diberikan mulai 3 Januari 2020 kepada yang layak. Pada tahun 2019,  kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 328 juta bagi menyalurkan bantuan ini kepada 3.2 juta murid yang layak dan anggaran peruntukan yang sama akan diberikan pada tahun 2020. Bagi menjayakan pelaksanaan bantuan ini, Garis Panduan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan tahun 2019 adalah terpakai untuk pelaksanaan pada tahun 2020. Ibu bapa / penjaga perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenai BAP melalui pihak pengurusan sekolah anak masing – masing kerana tarikh sebenar penyerahan bantuan tersebut adalah ditentukan oleh pihak sekolah.

Dokumen Sokongan Yang Diperlukan

Setiap sekolah perlu memastikan ibu bapa / penjaga murid mengemukakan dokumen pengesahan pendapatan seperti berikut :

  1. Slip gaji terkini / penyata cukai pendapatan bagi ibu bapa / penjaga yang memiliki majikan
  2. Sekiranya tiada majikan / tidak mempunyai slip gaji / cukai pendapatan, ibu bapa / penjaga perlu mengisi Borang Pengesahan Pendapatan dan perlu mendapat pengesahan daripada salah seorang pegawai berikut :
  • Pegawai Kerajaan Kumpulan A
  • Pengerusi JKKK
  • Penyelia Pembangunan Mukim
  • Penghulu
  • Penggawa
  • Ketua Kampung

Pihak sekolah bertanggungjawab menangguhkan penyaluran bantuan sekiranya ibu bapa / penjaga gagal mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan. Dengan adanya inisiatif kerajaan yang menyalurkan bantuan persekolahan di awal tahun ini di harap dapat meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh para ibu bapa dalam memberi pendidikan yang terbaik buat anak – anak mereka. Malah, ia menjadi dorongan kecil kepada para murid untuk meneruskan pelajaran walau dalam situasi yang sukar.