BAS SMART SELANGOR
Pada 1 Julai 2015, kerajaan negeri Selangor telah menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor seperti Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan juga Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Perkhidmatan bas percuma ini adalah salah satu langkah kerajaan tempatan dalam mempertingkatkan mutu serta sistem pengangkutan di negeri Selangor dan ia dikenali dengan nama Bas SMART Selangor. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri telah menyempurnakan perasmian bas percuma sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri Selangor buat warganya. Syarikat Rapid Bus Sdn Bhd merupakan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan perkhidmatan ini.
Warga tempatan yang tinggal di kawasan Selangor berpeluang menikmati perkhidmatan bas secara percuma ini. Tujuan utama perkhidmatan ini diberikan secara percuma adalah bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam. Selain itu juga, ia dapat membantu meringankan beban kewangan bagi yang kurang berkemampuan, malah dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya. Ia juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana kenderaan semakin bertambah, malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Kemudahan ini dapat dirasai oleh lima juta penumpang di negeri Selangor. Terdapat sebanyak 52 buah bas beroperasi bagi melaksanakan perkhidmatan percuma ini dengan 15 laluan bas. Orang ramai yang menggunakan bas percuma ini dapat menikmati perkhidmatan wifi secara percuma, malah setiap bas yang beroperasi dilengkapi dengan kemudahan cctv, mesra OKU serta boleh memuatkan sehingga 60 orang penumpang pada satu – satu masa. Penumpang juga boleh menggunakan aplikasi Ride Smart Bus App untuk mengetahui jadual perjalanan, laluan bas serta hentian bas. Pengguna juga boleh mengetahui status bas terkini dengan adanya Real Time Bus Tracker.
Bas SMART Selangor ini dikhususkan buat warganegara Malaysia sahaja. Namun, terdapat segelintir warga asing turut menggunakan perkhidmatan bas percuma ini. Pihak kerajaan Selangor telah membuat kajian bagi mengenalpasti mekanisme terbaik untuk mengenakan caj ke atas warga asing yang menggunakan perkhidmatan percuma ini. Kajian ini dibuat berdasarkan rungutan serta aduan yang diterima mengenai warga asing yang cuba mengambil kesempatan menggunakan perkhidmatan yang diberikan kepada warga tempatan.
Bagi mengenali samada penumpang merupakan warga tempatan atau warga asing, pengenalan identiti akan dikenalpasti melalui kad pengenalan atau passport yang ditunjukkan sebelum caj dikenakan kepada individu yang berkenaan. Walau bagaimana pun, kerajaan juga akan mewujudkan satu mekanisme lain untuk para pelajar tempatan yang tidak membawa kad pengenalan sewaktu ke sekolah.
Perkhidmatan bas percuma ini mula beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari dengan kekerapan perjalanan selama 15 minit hingga 30 minit untuk tiba di setiap perhentian. Rangkaian bas percuma ini turut diperluaskan lagi ke kawasan luar bandar seperti Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS). Penduduk di kawasan luar bandar tidak perlu bersusah payah mengeluarkan kos semasa menaiki kenderaan awam setelah perkhidmatan bas percuma ini diperluaskan ke kawasan mereka.
Inisiatif kerajaan ini merupakan satu alternatif kepada warga tempatan untuk berhubung dengan tempat – tempat lain dengan mudah tanpa sebarang kos. Malah, pengguna juga dapat menjimatkan masa kerana kekerapan perjalanan bas mengikut jadual yang ditetapkan. Keadaan di dalam bas juga sangat selesa buat semua penum