BSH 2019

BAJET 2019, BANTUAN SARA HIDUP AKAN DITERUSKAN

 

Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dulunya dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1 Malaysia akan diteruskan menjelang tahun 2019. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa pembentangan bajet 2019 yang telah diadakan pada 2 November 2018 di Parlimen. Pembentangan belanjawan 2019 kali ini bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” menunjukkan kerajaan pada hari ini tidak akan membenarkan mana – mana golongan atau kaum akan tercicir dan tiada sebarang sentimen merendahkan kedudukan martabat kaum Bumiputera.

Justeru, pembentangan belanjawan ini telah mensasarkan penambahbaikan terhadap golongan B40 dengan penyediaan Bantuan Sara Hidup kepada penerima yang layak. BSH merupakan pelaksanaan program bantuan yang berterusan bagi membantu golongan B40 selaras dengan pelan rasionalisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2012. Bagi melaksanakan pemberian bantuan ini, kerajaan menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM 5 bilion berbanding sebanyak RM 6.8 bilion untuk tahun 2018. Kos ini berkurangan kerana tiada lagi penerima di kalangan individu bujang yang akan menerima Bantuan Sara Hidup pada tahun 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah memutuskan hanya golongan berikut yang layak menerima bantuan iaitu :

  1. Setiap isi rumah berpendapatan RM 2,000 ke bawah akan menerima bantuan sebanyak RM 1,000
  2. Setiap isi rumah berpendapatan RM 2,001 hingga RM 3,000 akan menerima bantuan sebanyak RM 750
  3. Setiap isi rumah berpendapatan RM 3,001 hingga RM 4,000 akan menerima bantuan sebanyak RM 500
  4. Bagi setiap anak di bawah umur 18 tahun, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM 120 seorang dengan had maksimum sebanyak empat orang anak sahaja. Namun sekiranya terdapat anak kurang upaya di dalam keluarga, tiada sebarang had umur yang ditetapkan untuk menerima bantuan tersebut

Pemberian dana tambahan ini turut mengurangkan beban di dalam sebuah keluarga yang sangat memerlukan bantuan tersebut. Bantuan ini dillihat sangat menguntungkan rakyat Malaysia. Bagi golongan individu bujang pula, kali ini pihak kerajaan tidak akan meneruskan bantuan tersebut kepada mereka kerana komitmen dan tanggungjawab kewangan bagi golongan yang telah berkeluarga adalah lebih tinggi berbanding individu bujang.

Permohonan perlu dibuat mengikut kategori menerusi pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebelum bantuan diberikan kepada pemohon yang layak, pihak LHDN akan membuat beberapa semakan data yang diberikan oleh pemohon supaya tiada sebarang penipuan atau penyalahgunaan data dibuat oleh pemohon. Untuk tujuan ini, Jabatan Pendaftaran Negara merupakan salah satu agensi yang bertanggungjawab mengesahkan maklumat berkaitan pemohon. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau penipuan maklumat, secara automatiknya permohonan tersebut akan terbatal dengan sendirinya.

Pemohon yang pernah gagal sebelum ini masih boleh membuat permohonan bantuan bagi tahun 2019. Setiap tiga tahun, penerima yang pernah menerima bantuan perlu mengemaskini maklumat peribadi seperti berikut:

Kemaskini BSH

  1. Status atau taraf perkahwinan terkini samada telah bercerai, berkahwin, atau telah kematian pasangan
  2. Alamat terkini alamat emel
  3. Nombor untuk dihubungi samada telefon rumah atau telefon bimbit
  4. Maklumat akaun bank pemohon
  5. Maklumat tanggungan serta pasangan pemohon
  6. Maklumat waris pemohon

 

Pengemaskinian maklumat ini bagi mengelakkan kesilapan maklumat penting pemohon yang boleh mengganggu proses permohonan serta berkemungkinan pemohon gagal untuk mendapat bantuan. Sebarang urusan pengemaskinian maklumat boleh dibuat menerusi laman web MYBSH yang dikelolakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. Setelah membuat pengemaskinian, pemohon digalakkan mencetak borang tersebut untuk dijadikan sebagai rujukan. Selain mengemaskini maklumat melalui laman web, pemohon juga boleh membuat pengemaskinian maklumat secara manual dengan berkunjung ke cawangan LHDN / UTC LHDN / Pusat Khidmat Hasil yang terdekat bagi mendapatkan borang kemaskini maklumat. Setiap borang yang telah dikemaskini perlu dihantar semula ke mana – mana cawangan LHDN yang terdekat sebelum tarikh tutup kemaskini.

 

Bagi yang tidak mempunyai sebarang pindaan, mereka juga perlu mengemaskini maklumat. Ia bertujuan supaya maklumat yang terdapat di dalam simpanan sekretariat BSH adalah betul, terkini dan tepat supaya bantuan akan mudah disalurkan kepada penerima yang layak. Pihak sekretariat BSH tidak akan bertanggungjawab terhadap kesilapan maklumat pemohon sekiranya tiada sebarang pengemaskinian maklumat dibuat oleh pemohon. Kesilapan maklumat boleh menyebabkan pemohon gagal untuk menerima bantuan yang sepatutnya.

 

Pemohon yang mempunyai sebarang kemusykilan atau pertanyaan boleh menghubungi pihak yang bertanggungjawab seperti berikut :

 

  1. Nombor telefon LHDN – 1800-88-2716
  2. Kementerian Kewangan Malaysia – 03-88824564
  3. Melalui emel – bsh@treasury.gov.my
  4. Berkunjung ke mana  – mana cawangan LHDN / UTC LHDN / Pusat Khidmat Hasil yang berdekatan
  5. Melalui Facebook LHDN   & bsh

Bantuan Sara Hidup 2019 tetap diteruskan biarpun sebelum ini ada khabar angin mengatakan ia tidak akan diteruskan. Pihak kerajaan akan tetap meneruskannya bagi meningkatkan taraf ekonomi golongan B40 dalam meneruskan kehidupan pada hari ini.