CARA GUNA DUITNOW
Tanggal 8 Disember 2018, perkhidmatan DuitNow telah memulakan operasi sepenuhnya melalui bank – bank tempatan di Malaysia. Ia merupakan perkhidmatan terbaru dalam dunia perbankan dan diperkenalkan oleh PayNet yang merupakan salah satu agensi di bawah seliaan Bank Negara Malaysia. PayNet juga pernah memberi perkhidmatan lain dalam perbankan seperti MEPS dan JomPay. Sekali lagi PayNet dipertanggungjawabkan untuk menyediakan perkhidmatan DuitNow yang lebih mudah serta efisien.
DuitNow adalah perkhidmatan perbankan yang membolehkan pengguna membuat pindahan wang kepada individu lain tanpa perlu menggunakan nombor akaun bank. Dengan hanya menggunakan nombor telefon, nombor kad pengenalan atau passport, pengguna boleh membuat pindahan wang ke akaun bank mereka. Penerima boleh menerima wang dari pengirim hanya dengan menggunakan samada nombor telefon, nombor kad pengenalan atau passport sahaja.
Penggunaan DuitNow turut memudahkan para majikan atau agensi kerajaan membuat bayaran terus ke MyKad pekerja atau pengguna tanpa perlu memasukkan nombor akaun. Hanya nombor telefon penerima sahaja diperlukan.
Ciri-ciri DuitNow
Ciri – ciri menarik DuitNow adalah seperti berikut :
- Satu ID DuitNow boleh dipautkan untuk satu akaun sahaja
- ID DuitNow juga perlu disokong samada menggunakan nombor telefon, nombor MyKad atau passport dan juga nombor pendaftaran syarikat
- Caj tambahan akan dikenakan sebanyak RM 0.50 sekiranya membuat pindahan melebihi RM 5,000 untuk satu transaksi, manakala tiada sebarang caj dikenakan untuk pindahan di bawah RM 5,000
- Pindahan maksima untuk pengguna biasa adalah RM100,000 sehari, manakala bagi pemegang akaun perniagaan boleh membuat pindahan maksima sehingga RM100 juta
Kelebihan DuitNow
- Pengguna tidak perlu mengingati nombor akaun penerima, cukup sekadar mengetahui nombor telefon pengguna / nombor MyKad atau nombor pendaftaran syarikat sahaja
- Sistem DuitNow akan menentukan akaun bank yang akan menerima dana berdasarkan nombor telefon yang dipautkan pada bank yang berkenaan
- Selain pindahan wang antara bank, DuitNow juga boleh membuat pindahan wang ke e-wallet lain
- Mudah dan cepat
- Tiada caj tersembunyi
Cara Menggunakan DuitNow
Terdapat dua proses yang terlibat dalam penggunaan DuitNow iaitu pendaftaran DuitNow dan pindahan wang melalui DuitNow.
- Pendaftaran DuitNow
- Log masuk ke akaun menggunakan username dan kata laluan yang sah
- Pilih perkhidmatan DuitNow di bawah menu Fund Transfer
- Daftar ID dengan memautkan nombor telefon atau nombor MyKad bagi menghubungkan akaun bank atau e-wallet anda
- Pindahan Wang Melalui DuitNow
- Log masuk ke akaun menggunakan username dan kata laluan yang sah
- Pilih perkhidmatan DuitNow di bawah menu Fund Transfer
- Masukkan nombor telefon bimbit penerima atau pilih dari senarai contacts anda
- Pilih akaun anda yang akan digunakan, namun kebiasaanya ia adalah default di mana nombor akaun simpanan akan dipaparkan
- Masukkan nilai wang yang hendak dipindahkan dan tekan butang Transfer Money
- Skrin akan memaparkan maklumat penerima untuk pengesahan
- Klik butang Approved sekiranya maklumat penerima adalah betul
- Pindahan wang akan dilakukan serta merta dan setelah berjaya dipindahkan, anda akan menerima SMS dari pihak bank yang menyatakan pindahan wang telah berjaya dilakukan
Sekiranya nombor MyKad atau nombor telefon tiada pautan dengan mana – mana nombor akaun bank penerima, pengirim wang akan menerima mesej makluman bahawa penerima tidak wujud dan proses pindahan tidak dapat diteruskan. Setiap nombor MyKad atau nombor telefon hanya boleh dipautkan kepada satu akaun bank sahaja. Sekiranya anda telah berdaftar, namun ingin menggunakan nombor telefon atau nombor MyKad untuk akaun bank lain, maka anda perlu menyah daftar akaun terdahulu sebelum boleh membuat pendaftaran bagi akaun baru.