Cara guna SECURE2U MAYBANK

Rata – rata pelanggan Maybank2u cukup sinonim dengan penggunaan SMS Tac yang digunakan sebagai langkah keselamatan semasa membuat sebarang transaksi melalui Maybank2u. Setiap transaksi secara atas talian memiliki ciri – ciri keselamatan yang ditetapkan bagi menjamin setiap transaksi hanya sah dilakukan oleh pemilik akaun sahaja dan tidak disalahgunakan oleh pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab. 

 

Maybank yang juga turut mengalami perubahan yang memberangsangkan dalam era digital ini dan sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat para pelanggan. Selama perkhidmatan Maybank2u diperkenalkan, penggunaan tac yang dihantar melalui SMS adalah sangat penting sebelum sesuatu transaksi dapat diteruskan. Namun, Maybank telah membawa perubahan yang lebih baik dalam perkhidmatan online yang disediakan iaitu penggunaan Secure2u yang menggantikan penggunaan tac. Secure2u merupakan ciri – ciri keselamatan berbentuk digital yang lebih menjimatkan masa berbanding SMS tac yang kadang – kala mengambil masa yang agak lama. 

 

Kelebihan Penggunaan Secure2u

  • Secure2u lebih menjimatkan masa berbanding SMS tac di mana SMS tac yang diterima oleh pelanggan kadang – kala telah melebihi tempoh masa yang ditetapkan. Ini menyebabkan pelanggan perlu membuat permintaan semula tac bagi meneruskan transaksi di Maybank2u.
  • Pengguna hanya perlu menekan butang Approve yang terdapat pada skrin bagi meneruskan transaksi tanpa perlu membuat permintaan tac

 

Perkhidmatan yang disediakan menggunakan Secure2u Maybank

 

Terdapat beberapa perkhidmatan yang menggunakan Secure2u Maybank seperti berikut:

  • Maklumat baki akaun
  • Pembayaran pelbagai bil ( bil elektrik, bil air, kad kredit dan sebagainya)
  • Pembelian topup dan kredit  
  • Penghantaran dan permintaan wang boleh dilakukakan pada bila – bila masa dan di mana sahaja
  • Membayar bil rakan dan keluarga
  • Penempahan tiket wayang dan kapal terbang

 

Cara untuk mendaftar Secure2u Maybank

 

Berikut disertakan cara untuk mendaftar Secure2u Maybank :

  • Muat turun aplikasi Maybank di telefon pintar anda menggunakan Google Play atau AppStore
  • Pastikan anda telah memiliki akaun Maybank2u
  • Buka aplikasi Maybank dan klik Secure2u yang terletak di bahagian bawah bucu kanan
  • Anda boleh membaca info Secure2u yang dipaparkan
  • Klik butang NEXT untuk meneruskan, maklumat tambahan mengenai Secure2u akan dipaparkan
  • Klik butang REGISTER setelah selesai membaca tutorial yang dipaparkan
  • Log masuk ke akaun Maybank2u menggunakan username serta password anda
  • Klik butang PROCEED
  • Masukkan nombor telefon bimbit anda yang digunakan untuk menerima SMS Tac
  • Sahkan nombor telefon bimbit anda untuk menerima One Time Password (OTP)
  • Setelah menerima SMS OTP anda, masukkan kod pendaftaran/PIN ke ruangan yang disediakan dan klik butang OK
  • Masukkan nombor kad pengenalan dan klik butang SUBMIT
  • Anda akan melihat paparan seperti “You have successfully registered for Secure2u” yang menunjukkan anda telah berjaya mendaftar untuk Secure2u
  • Klik butang DONE dan selesai

 

Cara Menyelesaikan Masalah Secure2u Maybank

Sekiranya anda telah menerima makluman tentang Secure2u namun selepas membukanya didapati ia hanya skrin kosong, lakukan beberapa langkah seperti di bawah :

 

  • Pergi ke menu Settings telefon pintar anda dan cari Maybank App
  • Pilih menu Storage dan klik butang Clear Data
  • Kemudian, buka aplikasi Maybank dan masukkan butiran anda
  • Setelah selesai, klik menu dan daftar untuk Secure2u

 

Sekiranya tidak menerima push mesej dari App Maybank, lakukan langkah – langkah seperti di bawah :

 

  1. Pengguna telefon Android:
  • Pergi ke menu Settings telefon pintar Anda
  • Pilih Apps dan buat carian App Maybank
  • Klik butang Notifications
  • Tekan butang ON atau Enable

 

  1. Pengguna telefon iOS:
  • Pergi ke menu Settings telefon pintar Anda
  • Buat carian App Maybank
  • Klik butang Notifications dan pilih Allow Notification

 

Penggunaan Secure2u cukup memudahkan urusan dalam talian anda tanpa perlu menunggu sistem menghantar SMS Tac lagi. Malah, hanya dengan menekan butang Approve, anda sudah boleh meneruskan transaksi tanpa perlu mengambil masa yang lama.