Cara Keluarkan Duit ASB

Pemegang unit ASB kini boleh membuat pengeluaran wang dengan lebih mudah melalui sistem digital yang lebih efisien dan lebih pantas. Mulai 20 Apri 2020, pemegang unit ASB boleh membuat pengeluaran secara online dengan had maksima RM 2,000 sebulan. Bagi membuat pengeluaran secara online, jumlah minima yang dibenarkan adalah sebanyak RM 100. Unit saham yang terlibat adalah Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Wawasan 2020 dan banyak lagi kecuali ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Pengeluaran yang dibenarkan adalah sebanyak 3 kali sebulan melalui portal myASB sahaja buat masa ini. Wang akan dikreditkan ke akaun bank yang berdaftar dengan akaun ASNB pada hari bekerja berikutnya. Unit pengeluaran yang tidak berjaya akan dikreditkan semula ke akaun tabung unit Amanah dalam tempoh 10 hari bekerja. Bagi yang tidak boleh membuat pengeluaran secara online, pengeluaran juga boleh dibuat melalui kaunter ASNB, kaunter bank atau kaunter pejabat pos.

Pengeluaran Secara Online

Berikut adalah cara untuk membuat pengeluaran wang secara online:

    1. Layari portal rasmi ASNB di  myasnb.com.my
    2. Log masuk akaun menggunakan id pengguna
    3. Sekiranya frasa keselamatan yang dipaparkan adalah betul, klik butang YA dan masukkan kata laluan
    4. Pada ruangan Dana Saya, klik pada 3 titik dan pilih Jualan Balik 
    5. Masukkan jumlah unit yang ingin dijual 
    6. Baca terma dan syarat yang dipaparkan dan tandakan pada kotak sekiranya bersetuju untuk meneruskan transaksi 
    7. Kemudian, klik butang SETERUSNYA
    8. Pada ruangan PENGESAHAN TRANSAKSI, klik butang permohonan TAC dan masukkan nombor TAC yang diterima
  • Urusan pengeluaran anda selesai.

Pengeluaran Melalui Cawangan ASNB 

Berikut merupakan langkah mudah untuk membuat pengeluaran di kaunter ASNB.

  1. Kunjungi cawangan ASNB berhampiran dan bawa kad pengenalan / myKad
  2. Lengkapkan Borang Jualan Balik (ASNB JB) dan tunggu giliran untuk membuat pengesahan cap jari 
  3. Borang akan disemak petugas kaunter
  4. Pengesahan cap jari dan identiti pemohon akan disemak terlebih dahulu dan wang tunai akan diberikan setelah pengesahan dibuat

Pengeluaran Melalui Kaunter Bank

Pengeluaran dari akaun ASNB juga boleh dibuat melalui ejen ASB di kaunter bank berhampiran. Antara cawangan bank yang membenarkan pengeluaran wang ASNB adalah Maybank, CIMB, BSN dan juga RHB. Prosedur membuat pengeluaran di kaunter bank adalah seperti berikut :

  1. Kunjungi cawangan bank berhampiran dan bawa kad pengenalan / myKad
  2. Lengkapkan Borang Jualan Balik (ASNB JB) dan tunggu giliran untuk membuat pengesahan cap jari 
  3. Wang tunai akan diberikan setelah pengesahan cap jari dan identiti pemohon dibuat

Pengeluaran Melalui Pejabat Pos

Orang ramai juga boleh membuat pengeluaran melalui pejabat pos sekiranya tidak dapat membuat pengeluaran secara online atau cawangan ASNB berhampiran. Caranya adalah seperti berikut :

  1. Kunjungi pejabat pos berhampiran dan bawa kad pengenalan / myKad
  2. Lengkapkan Borang Jualan Balik dan tunggu giliran untuk membuat pengesahan cap jari 
  3. Wang tunai akan diberikan setelah pengesahan cap jari dan identiti pemohon dibuat

Maklumat Tambahan

  1. Hanya pemegang unit sahaja boleh membuat Jualan balik ASB
  2. Sekiranya membuat pengeluaran untuk akaun anak seperti Akaun Remaja / Bijak ASM 2 Wawasan, ASM, ASB 3 Didik, ASM 3, ASB 2, ASN, ASN Imbang 2, ASN Equity 3 dan ASN Sara 1, hanya penjaga berdaftar sahaja dibenarkan membuat urusan jualan
  3. Bagi pemegang unit Akaun Remaja ASB, jualan balik yang dibenarkan adalah sebanyak 200 unit sahaja dalam seminggu
  4. Jualan balik bagi pihak ketiga adalah tidak dibenarkan