cara kira bmi

Setiap individu bertanggungjawab terhadap kesihatan masing – masing. Kesihatan antara aspek yang begitu penting dalam kehidupan seharian kerana sekiranya kesihatan seseorang itu terjejas, maka ia akan memberi kesan kepada perkara – perkara lain termasuklah hubungan sesama manusia, prestasi dalam pekerjaan, menyukarkan pergerakan dan sebagainya. Oleh itu, kesihatan sememangnya sangat penting dan perlu diutamakan. Malah, tidak guna memiliki wang ringgit yang banyak andai kesihatan terabai dan terjejas.

 

Banyak cara untuk memastikan agar badan kita sentiasa sihat dan salah satunya ialah dengan menjaga Indeks Jisim Tubuh Badan atau Body Mass Index (BMI) agar sentiasa berada pada paras yang sepatutnya. BMI merupakan petunjuk kadar berat individu berdasarkan nisbah berat badan kepada ketinggian tubuh badan. Melalui BMI, seseorang individu boleh mengetahui samada mereka berada dalam kategori kurus (kurang berat badan) / normal (berat badan ideal), lebih berat badan atau obesiti. Individu yang berada pada kadar yang lebih besar atau obesiti berpotensi mendapat penyakit seperti diabetes, darah tinggi, angin ahmar / stroke dan skait jantung.

 

Bagi individu yang mengalami kurang berat badan juga berisiko mendapat penyakit seperti kemurungan, anemia, kurang daya tahan tubuh terhadap penyakit, keletihan yang kronik dan sebagainya. Adalah sebaiknya setiap individu memastikan nilai BMI masing – masing berada pada tahap yang sepatutnya dan ia juga membolehkan langkah – langkah pencegahan awal diambil bagi memastikan nilai BMI sentiasa berada pada kadar yang terbaik. 

 

Cara Mengira BMI

Cara membuat pengiraan BMI adalah sangat mudah, iaitu hanya menggunakan formula berdasarkan berat dalam kilogram dan ketinggian dalam meter seperti berikut:

 

BMI =      _____Berat (kg)_____ 

        Tinggi (m) x Tinggi (m)

 

Contoh :      _____Berat (60kg)_____

                    Tinggi (1.55m) x 1.55 (m)

 

=      24.97 

 

Kategori BMI

Terdapat empat kategori BMI iaitu seperti berikut

 

Nilai BMI Kategori

Kurang dari 18.5 : Kurang Berat Badan

18.5 hingga 24.9 : Normal / Ideal

25 hingga 30 : Lebih Berat Badan

Lebih dari 30 : Obesiti

 

Kriteria Penggunaan BMI

Pengiraan BMI boleh diguna pakai oleh lelaki dan wanita yang berumur antara 18 hingga 64 tahun sahaja. Ianya tidak sesuai digunakan oleh empat golongan berikut :

  • Ibu mengandung
  • Kanak – kanak
  • Individu yang berotot seperti ahli bina badan, atlet dan sebagainya
  • Warga tua yang sudah kehilangan jisim otot

 

Faktor – Faktor Yang Mempengaruhi BMI

Terdapat beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi berat badan seseorang antaranya :

  • Bentuk Badan : Individu yang memiliki badan yang berotot seperti ahli bina badan atau   atlet cenderung memiliki BMI yang agak tinggi. Ini kerana kaedah   pengiraan BMI tidak dapat membezakan samada berat tersebut     merupakan berat lemak atau berat otot kerana kedua – duanya    dianggap sebagai berat lemak. Maka, nilai BMI bagi individu ini sukar   ditentukan dan tidak boleh dianggap mereka berada dalam kategori   obesiti.

 

  • Struktur Tulang : Individu yang memiliki struktur rangka yang besar dan memiliki tulang   yang padat turut mempengaruhi nilai BMI dan berpotensi mendapat   nilai BMI yang tinggi. Ianya juga sukar menentukan nilai BMI sebenar   individu tersebut.

 

Individu yang dikategorikan sebagai obes dan lebih berat badan selain atlit dan ahli bina badan perlu mengambil langkah proaktif bagi menurunkan berat badan yang berlebihan. Diet seimbang serta senaman ringan perlu diambil bagi memastikan penurunan berat badan boleh dilakukan dengan selamat. Senaman ringan boleh dilakukan secara rutin sekurang – kurangnya 30 minit sehari bagi menurunkan berat badan serta mendapatkan berat badan yang ideal.