CARA MENDAFTAR MYSALAM

Pada awal tahun 2019, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan skim perlindungan insurans serta takaful secara percuma. Ia disasarkan kepada golongan B40 melalui Skim Perlindungan Nasional B40 yang juga dikenali sebagai skim mySalam. Skim mySalam ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang akan memberi manfaat kepada 4.1 juta isi rumah golongan B40 yang berumur 18 tahun hingga 55 tahun serta pasangan.

 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM 2 bilion bagi menjayakan program ini di mana ia sebagai salah satu inisiatif untuk meringankan bebanan golongan B40 yang terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan seperti penyakit kritikal dan menjejaskan sumber pendapatan seisi rumah. Program ini telah mendapat kerjasama sebuah syarikat insurans terkemuka iaitu Great Eastern Holdings. Ia merupakan contoh kerjasama awam swasta yang memberi perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia. Kerjasama ini membolehkan Great Eastern Takaful Berhad mengendalikan takaful yang telah didaftarkan dan ia juga mendapat pengawasan dari Bank Negara Malaysia.

 

Skim ini membolehkan penerima yang layak mendapat perlindungan kesihatan bagi 36 jenis penyakit kritikal. Para penerima skim mySalam akan mendapat bantuan penggantian harian sebanyak RM 50 sehari yang akan dibayar sehingga maksimum 14 hari yang dianggarkan sebanyak RM 700 setahun. Malah, bagi mereka yang telah dikenalpasti mempunyai penyakit kritikal, bantuan sebanyak RM 8,000 akan diberikan sekaligus kepada penerima RM8,000 sekiranya telah disahkan menghidapi salah satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser, penyakit jantung, distrofi otot, Alzheimer, dan lain-lain. 

 

SENARAI 36 PENYAKIT YANG MENDAPAT PERLINDUNGAN SKIM MYSALAM

Berikut antara senarai 36 jenis penyakit yang dilindungi oleh skim mySalam

  1. Penyakit Alzheimer/Gangguan Kemerosotan Otak Organik Tidak Boleh Pulih
  2. Angioplasti dan Rawatan Pembedahan Lain Untuk Penyakit Arteri Koronari Utama
  3. Meningitis Bakteria
  4. Tumor Otak Benigna
  5. Buta/Hilang Penglihatan Sepenuhnya
  6. Pembedahan Otak
  7. Kanser
  8. Kardiomiopati Teruk
  9. Anemia Aplasia Kronik
  10. Koma
  11. Pembedahan Pintasan bagi Penyakit Arteri Koronari
  12. Kepekakan/Hilang Pendengaran Menyeluruh dan Tidak Boleh Pulih
  13. Ensefalitis/encephalitis
  14. Kegagalan Hati Tahap Akhir
  15. Penyakit Paru-Paru
  16. AIDS Peringkat Teruk
  17. Hepatitis Virus Fulminan
  18. Serangan Jantung
  19. Pembedahan Injap Jantung
  20. HIV Akibat Transfusi Darah
  21. Kegagalan Buah Pinggang – Dialisis atau pemindahan buah pinggang
  22. Kehilangan Upaya Hidup Sendiri (Berdikari)
  23. Hilang Pertuturan
  24. Trauma Kepala Utama
  25. Pemindahan Organ Utama/ Sum
  26. Penyakit Neuron Motor
  27. Sklerosis Berbilang
  28. Distrofi Otot
  29. Kelumpuhan / Paraplegia
  30. Penyakit Parkinson
  31. Hipertensi Arteri Pulmonari Primer
  32. Penyakit Arteri Koronari Lain Yang Serius
  33. Strok
  34. Pembedahan Aorta
  35. Lupus Eritematosus Sistemik dengan Lupus Nefritis (SLE)
  36. Pelecuran Tahap Ketiga

 

PENDAFTARAN MYSALAM SKIM KESIHATAN B40

Pendaftaran mySalam boleh dibuat secara atas talian dan tiada sebarang pemeriksaan perubatan perlu dilakukan. Mereka yang layak menerima bantuan boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac 2019 melalui portal rasmi mySalam iaitu di www.mysalam.com.my. Setiap tuntutan perlu disertakan bersama – sama dokumen perubatan yang disahkan oleh doktor dari hospital kerajaan.

 

Sebanyak 36 jenis penyakit kritikal yang dilindungi oleh skim ini, antaranya adalah penyakit jantung, kanser, Alzheimer, distrofi otot dan banyak lagi. Walaubagaimanapun, skim ini tidak membenarkan penerima mendapatkan rawatan di hospital swasta atau persendirian.

 

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian careline mySalam di nombor 1-300-888-938 atau boleh juga menghantar emel ke mysalam@greateasterntakaful untuk sebarang pertanyaan.

 

Bagi mengetahui senarai hospital yang terlibat dengan skim ini, anda boleh melayari laman web berikut, https://www.mysalam.com.my/b40/info/. Hanya hospital kerajaan sahaja yang tersenarai di bawah skim mySalam ini. Pendaftaran online dibuka kepada mereka yang layak mulai 1 Mac 2019. Penerima yang layak menerima bantuan skim ini akan dimaklumkan kepada penerima menerusi perkhidmatan sms.