Cara Mendapatkan Semula Sijil SPM Yang Hilang
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah penting untuk digunakan bagi menyambung pelajaran, memohon pekerjaan dan sebagainya. Namun, terdapat sesetengah sijil rosak disebabkan beberapa faktor seperti bencana alam, kebakaran, kecurian, dikoyak oleh kanak – kanak dan sebagainya. Jika perkara ini berlaku, ianya pasti menyukarkan. Justeru, anda boleh mendapatkan salinan sijil tersebut daripada Lembaga Peperiksaan (LP) dengan beberapa kaedah iaitu seperti berikut :
Permohonan Melalui Kaunter Lembaga Peperiksaan
- Pemohon boleh datang ke kaunter Lembaga Peperiksaan (LP) di lobi utama, Blok E11, Putrajaya
- Bayaran sebanyak RM 30.00 akan dikenakan dan pemohon perlu membawa kad pengenalan serta salinan keputusan SPM sekiranya ada
- Pemohon boleh mewakilkan pihak ketiga (ibu/bapa/suami/isteri/adik-beradik) untuk mendapatkan sijil SPM tersebut dengan syarat perlu membawa salinan kad pengenalan pemohon, salinan keputusan SPM sekiranya ada serta surat wakil yang boleh dimuat turun dari laman web LP
Permohonan Melalui Pos
- Hantar borang permohonan LP / SIJIL / Pin 1.06 yang boleh didapati di kaunter sijil LP Putrajaya atau muat turun dari laman web LP di lp.moe.gov.my
- Lengkapkan borang tersebut dan perlu dihantar secara pos ke alamat yang tertera di laman web LP
- Bayaran proses menggunakan Wang Pos (Postal Order) atau Kiriman Wang (Money Order) sebanyak RM 30.00 perlu dibuat ke atas nama Akauntan Negara
- Cek persendirian adalah tidak diterima
Permohonan Secara Dalam Talian
- Layari laman web rasmi e-Lembaga Peperiksaan di https://elp.moe.gov.my
- Klik butang Perkhidmatan dan klik ikon Salinan Keputusan
- Pilih sijil peperiksaan yang dikehendaki
- Masukkan nombor kad pengenalan
- Kemudian, lengkapkan maklumat yang dikehendaki pada borang permohonan
- Bagi sijil SPM, caj pemprosesan sebanyak RM 30.00 akan dikenakan
- Pembayaran perlu dibuat secara dalam talian
- Setelah selesai membuat pembayaran, hantar permohonan dan selesai
- Salinan sijil akan dihantar secara pos ke alamat yang telah dimasukkan semasa permohonan
Tempoh pengeluaran salinan sijil SPM adalah bergantung kepada tahun peperiksaan pemohon iaitu seperti berikut :
- SPM pada atau selepas tahun 1994 – dalam masa 1 jam
- SPM pada atau sebelum tahun 1993 – dalam tempoh 7 hari bekerja
- STAM / SPMU / MPV / SPMV / SVM / MCE / SPDM / SRP / LCE / MPAV dan lain – lain – dalam tempoh tujuh hari bekerja
Maklumat Lanjut
Pemohon boleh menghubungi Unit Pensijilan, Lembaga Peperiksaan di talian 03 -8884 3526 / 3528 untuk mendapatkan maklumat lanjut.