Cara Menggunakan Google Meet

Bekerja Dari Rumah (BDR) atau Work From Home (WFH) antara kaedah terbaru yang digunakan oleh pekerja hampir di seluruh dunia semenjak wabak Covid 19 melanda. Virus ini yang secara tiba – tiba menyerang seluruh dunia adalah sangat menggemparkan kerana kehadirannya mampu meragut nyawa. Kini seluruh dunia mula menghentikan segala operasi dan Perintah Kawalan Pergerakan turut dilaksanakan termasuklah di Malaysia bagi membendung wabak ini.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, setiap orang mestilah tinggal di dalam rumah masing – masing dan tidak dibenarkan keluar tanpa sebab. Hanya petugas barisan hadapan sahaja yang dibenarkan keluar rumah setiap hari dan juga pekerja perkhidmatan essential yang terlibat adalah dibenarkan bertugas. Walau bagaimana pun, bagi meneruskan tugasan harian pejabat, pekerja adalah digalakkan untuk Bekerja Dari Rumah sahaja bagi mengelakkan kerja – kerja dari terus tertangguh. Malah, sekiranya perlu mengadakan perbincangan atau mesyuarat, ianya boleh dilakukan di alam maya sahaja tanpa perlu bersua muka secara nyata. Anda yang ingin mengadakan perbincangan dengan rakan pejabat, boleh mencuba aplikasi Google Meet yang cukup mudah. Pada asalnya, aplikasi ini adalah aplikasi berbayar, namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, pihak Google telah menyediakan perkhidmatan ini secara percuma sehingga 1 Julai 2020.

Kelebihan Google Meet

  • Anda boleh berinteraksi dengan 250 orang pada satu masa
  • Penggunaan Google Meet tidak mempunyai sebarang had masa, mudah serta pantas digunakan
  • Boleh berhubung melalui telefon pintar dengan hanya memuat turun aplikasi di Google Play Store dan Apple Store
  • Video mesyuarat / perbincangan boleh dirakam dan ditonton semula pada bila – bila masa
  • Boleh diintegrasi dengan Google Classroom

 

Cara Menggunakan Google Meet Dengan Komputer

  • Layari portal http://meet.google.com menggunakan web browser Chrome, Mozilla Firefox, Microsoft Edge atau Safari
  • Klik butang tambah (+) Join atau Start A Meeting
  • Tekan Next
  • Anda akan melihat pautan / link dipaparkan di skrin Meeting Ready, salin dan kongsikan dengan rakan lain untuk menyertai mesyuarat
  • Klik butang Join Now
  • Klik butang Allow for microphone and camera
  • Klik butang Present Now untuk berkongsi bahan dengan orang lain
  • Pilih paparan atau bahan yang ingin anda kongsi, kemudian klik Share
  • Klik Stop Sharing jika anda tidak mahu kongsi bahan anda
  • Sekiranya anda ingin menyertai mesyuarat, masukkan nama pengguna anda dan klik Ask To Join
  • Pemilik mesyuarat akan mendapat notifikasi penyertaan anda dan sekiranya ia dibenarkan pemilik mesyuarat perlu klik butang Admit. Klik butang Deny Entry jika anda tidak membenarkannya


Cara Menggunakan Google Meet Dengan Telefon Pintar 

  • Muat turun aplikasi Google Meet melalui Apple Store atau Google Play 
  • Daftar menggunakan alamat e-mel anda 
  • Setelah mendaftar, anda boleh mula menggunakan Google Meet untuk tujuan komunikasi 
  • Klik simbol + di sebelah kanan dan pilih New Video Call
  • Anda akan diminta untuk menambahkan ahli lain menggunakan nombor telefon bimbit atau e-mel 
  • Sekiranya anda ingin menambahkan ahli menggunakan nombor telefon anda, hantarkan jemputan kepada mereka melalui SMS dan mereka hanya perlu klik pautan yang disediakan 
  • Sekiranya menggunakan e-mel, hantarkan jemputan melalui e-mel dan mereka hanya perlu klik pautan yang disediakan 
  • Tunggu setiap ahli yang dijemput menghadiri mesyuarat 
  • Bagi ahli yang tidak dijemput untuk menyertai mesyuata tetapi ingin turut serta, mereka perlu mendapatkan persetujuan ahli lain 

 

Tips Menggunakan Google Meet 

  • Pastikan internet lancar untuk memastikan tidak ada gangguan semasa mesyuarat. Adalah disarankan agar menggunakan rangkaian WIFI dan bukannya rangkaian mudah alih 
  • Pilih tempat yang tenang dan senyap untuk persidangan yang lebih baik 
  • Anda juga boleh menghantar teks semasa persidangan video 

 

Lebih banyak syarikat atau agensi menggunakan Google Meet untuk tujuan bermesyuarat melalui alam maya. Kualiti video dan suara Google Meet adalah jelas dan bagus. Antaramukanya adalah ringkas dan senang digunakan. Biarpun terpaksa berada di dalam rumah masing – masing setiap masa, namun ianya bukanlah satu alasan untuk membiarkan kerja – kerja atau tugasan yang tertangguh tanpa sebarang alternatif untuk menyelesaikannya. Dengan adanya Google Meet, pertemuan secara maya ini mampu memberi solusi tugasan anda yang belum selesai.