CARA MENGGUNAKAN PULSE OXYMETER

Pulse Oximeter merupakan alat yang digunakan untuk kadar degupan jantung dan mengukur tahap oksigen dalam darah. Kebiasaannya ia digunakan bagi pesakit yang berhadapan dengan masalah kesihatan yang turut mempengaruhi paras oksigen dalam darah seperti penyakit asma, sakit jantung, penyakit obstruktif paru – paru kronik, kecacatan jantung kongenital, anemia dan sebagainya. Pada hari ini, pulse oximeter telah menjadi keperluan ramai terutamanya bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan pemantauan kadar oksigen dalam darah sepanjang pandemik ini. Pulse Oximeter perlu didaftarkan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan dikawal oleh MDA bagi memastikan pengimportan dan pengedarannya adalah selamat serta berkesan sebelum dipasarkan. Sebelum membuat pembelian, orang ramai disarankan untuk menyemak senarai pulse oximeter yang berdaftar dengan MDA terlebih dahulu.

 

Faktor yang Mempengaruhi Ketepatan Bacaan

Terdapat beberapa faktor yang mungkin mempengaruhi ketepatan bacaan iaitu seperti berikut:

  • Berkemungkinan akibat suhu badan periferal iaitu hujung jari kaki dan tangan yang sejuk
  • Terdapat masalah kesihatan seperti kegagalan jantung atau darah tinggi yang menyebabkan peredaran darah menjadi lemah
  • Individu bertatu, menggunakan kuku palsu atau cat kuku di jari yang diukur
  • Semasa mengambil bacaan, individu tersebut sedang berbaring mendatar
  • Individu yang mengidap penyakit berkaitan sel darah, anemia dan juga anemia sel sabit

 

Cara Penggunaan

  • Sekiranya anda menggunakan pewarna kuku atau kuku palsu, tanggalkan terlebih dahulu dan gosokkan kedua tapak tangan sekiranya berasa sejuk (tujuan pemanasan tangan)
  • Sebelum mengambil bacaan, rehat sekurang – kurangnya dalam tempoh lima minit  
  • Letakkan tangan di paras dada (bahagian jantung) dan kekal bertahan pada paras tersebut
  • Mulakan pulse oximeter dan pasang sama ada di jari tengah atau telunjuk pada tangan yang diletakkan paras dada  
  • Pulse Oxymeter akan mengambil masa untuk mendapatkan bacaan yang tepat
  • Biarkan sekurang – kurangnya satu minit atau sehingga bacaan stabil
  • Catatkan bacaan tertinggi sekiranya bacaan kekal tidak berubah dalam masa lima saat
  • Setiap bacaan perlu dilakukan dengan berhati – hati dan perlu dicatat sebanyak tiga kali sehari (pada masa yang sama setiap hari)
  • Sekiranya terdapat perubahan dalam kesihatan, lakukan pengukuran tambahan bagi tujuan pemantauan

 

Bacaan normal pulse oximeter mestilah sekurang – kurangnya 96% atau lebih dengan kadar nadi antara 40 – 100 bpm. Sekiranya bacaan adalah sebanyak 95% dan kadar nadi antara 101 – 109 bpm, pesakit masih boleh meneruskan secara pemantauan di rumah. Pesakit perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya bacaan pulse oximeter berada pada tahap 93 – 94% dengan kadar nadi 110 – 130. Manakala bagi pesakit yang mempunyai bacaan kurang daripada 92% dan kadar nadi 131 atau lebih, maka nasihat perubatan adalah diperlukan segera atau hubungi talian 999 untuk bantuan. Sebaiknya setiap keluarga memiliki satu pulse oximeter bagi tujuan pemantauan peratusan oksigen dalam badan.