Cara Menggunakan RTK Gmate
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menyenaraikan kit ujian kendiri Gmate COVID-19 Ag Saliva For Home Use oleh Philosys Co Ltd, Korea dan telah mendapat kelulusan bersyarat untuk diimport dan diedarkan di dalam negara. Kit ujian ini menggunakan sampel air liur bagi pengesanan virus. Kit Ujian Gmate ini mempunyai ketepatan 96% berdasarkan kepekaan 91% dan kekhususan 100% dan ianya diperakui oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Dengan adanya kit ujian ini membolehkan pengguna melakukan ujian di sebarang lokasi seperti rumah atau pejabat sahaja.
Kelebihan Kit RTK Gmate
- Mudah
- Mesra pengguna
- Boleh diuruskan sendiri
- Sensitiviti 91.0%
- Kekhususan 100.0%
Kit RTK Gmate dilengkapi item berikut :
- Kit Ujian
- Panduan Pengguna
- Bekas Reagen
- Corong
- Penutup
Cara Menggunakan Kit RTK Gmate
- Sebaiknya sampel air liur diambil sewaktu awal pagi setelah bangun tidur, sebelum menggosok gigi, minum atau makan 30 minit hingga sejam sebelum mengumpul air liur
- Buka penutup bekas reagen
- Gabungkan corong dengan bekas reagen
- Tarik nafas dalam-dalam dan keluarkan air liur atau kahak dari kerongkong ke dalam corong sehingga suku bekas reagen.
- Keluarkan corong dan pasangkan penutup kepada bekas reagen
- Picit bekas reagen sebanyak 20 kali dan goncang sebanyak 20 kali bagi mencampurkan sampel dengan reagen
- Setelah selesai, biarkan bekas reagen selama 5 minit
- Selepas 5 minit buka kad ujian dan masukkan 4 titis reagen campuran ke dalam kad ujian.
- Tetapkan penggera selama 15 minit dan keputusan akan dipaparkan
- Setelah selesai membuat ujian, masukkan kit yang telah digunakan ke dalam beg pelupusan yang disediakan sebelum dibuang ke dalam tong sampah
Keputusan Ujian
- Positif
Sekiranya anda melihat dua garis merah di kawasan C dan T, keputusan adalah positif Covid-19. Garisan tersebut boleh kelihatan jelas atau samar. Selanjutnya, anda perlu melakukan ujian RT-PCR bagi pengesahan kes dan segera dapatkan rawatan perubatan walaupun tiada simptom.
- Negatif
Sekiranya anda melihat satu garis merah di kawasan C dan tiada garisan di kawasan T, keputusan adalah negatif Covid-19. Walau bagaimana pun, sekiranya anda mengesyaki terdedah kepada virus ini, adalah perlu untuk memantau tahap kesihatan dan melakukan ujian PT-PCR sebagai pengesahan kerana berkemungkinan hasil ujian menggunakan kit air liur menghasilkan keputusan negatif palsu.
- Tidak Sah
Sekiranya anda tidak melihat sebarang garisan atau garisan berada di kawasan T, keputusan ujian adalah tidak sah dan tidak berjaya. Ujian lain perlu dilakukan menggunakan kit ujian yang baharu.