Cara Menggunakan Zoom

Aplikasi Zoom begitu popular hari ini sebagai salah satu media komunikasi dan boleh digunakan di mana sahaja. Ia memudahkan interaksi dua hala tanpa sebarang halangan. Memandangkan negara sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak membenarkan sebarang pergerakan tanpa sebab, banyak perkara dan urusan tergendala buat seketika. Urusan kerja pejabat juga terhenti kerana orang ramai perlu akur dengan arahan pihak kerajaan.

 

Namun, segala urusan perlu dilaksanakan biarpun terpaksa berhadapan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Kerajaan juga menyarankan orang ramai meneruskan urusan pejabat di rumah yang berkonsepkan Bekerja Dari Rumah. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengadakan mesyuarat antara majikan dan pekerja bagi mengetahu status terkini tugasan yang diberikan dan sebagainya. Bagi melaksanakan mesyuarat dan sebagainya, majikan dan pekerja boleh berbincang antara satu sama lain secara alam maya sahaja dengan menggunakan aplikasi yang terdapat pada masa ini. Antaranya adalah aplikasi Zoom yang membenarkan komunikasi dua hala maksimum bersama 50 orang ahli tanpa sebarang masalah.

 

Kelebihan Aplikasi Zoom

  • Ianya mudah digunakan, mudah difahami dan sangat sesuai untuk perhubungan komunikasi yang pantas 
  • Boleh menggunakan sebarang alamat e-mel untuk log masuk 
  • Dapat berkongsi skrin yang dikehendaki dengan ahli mesyuarat 
  • Perkongsian fail boleh dilakukan di ruang sembang Zoom 
  • Kualiti perkongsian skrin yang sangat baik dan aplikasi ini percuma 
  • Membolehkan berkongsi maklumat menggunakan Google Drive, Dropbox, fail dokumen, gambar dan banyak lagi 
  • Boleh menghantar teks ke dalam kumpulan, gambar dan audio 
  • Anda boleh mengadakan mesyuarat berjadual dengan menghubungkan jadual, Zoom dan kalendar 
  • Anda dapat mengetahui kehadiran ahli mesyuarat dengan laporan yang dijana pada akhir mesyuarat. Klik Zoom >Account Management> Pilih Report Selection. Cari Usage Report dan klik Meeting untuk mencari mesyuarat yang anda mahukan, pilih jenis dan tarikh laporan, dan kemudian buat jana laporan 
  • Anda boleh merakam persidangan web yang diadakan dan dapat ditonton semula oleh ahli yang tidak berpeluang turut serta

 

Cara Menggunakan Zoom Dalam Telefon Pintar

  • Pastikan anda telah memuat turun aplikasi Zoom di telefon bimbit melalui Google Play atau Apple Store
  • Sebelum anda dapat menggunakan aplikasi ini, pastikan anda telah mendaftar ID terlebih dahulu
  • Semasa mendaftar untuk akaun, anda perlu memasukkan alamat e-mel, First Name dan Last Name, dan tandakan persetujuan anda terhadap syarat dan terma. Klik Daftar
  • Anda akan menerima kod pengaktifan melalui e-mel untuk pengaktifan akaun
  • Kemudian Log masuk dan pilih Join A Meeting
  • Masukkan ID mesyuarat anda yang diperoleh melalui majikan, tuliskan nama sebenar agar pihak majikan tidak salah faham. Setiap rakan yang menghadiri mesyuarat akan menggunakan ID mesyuarat yang sama. Kemudian, klik butang Join Meeting
  • Setelah berjaya masuk, anda perlu memilih Call Via Device Audio untuk memastikan anda dapat mendengar suara orang lain yang menghadiri mesyuarat

 

Cara Menggunakan Aplikasi Zoom Pada Komputer

  • Lawati laman web Zoom di https://zoom.us
  • Klik Sign Up dan daftarkan akaun anda menggunakan e-mel atau akaun Facebook anda
  • Anda boleh memilih samada aplikasi Zoom percuma atau versi premium
  • Akaun Zoom Premium (berbayar) mempunyai lebih banyak ciri daripada akaun asas dengan ciri terhad
  • Sekiranya anda menggunakan alamat e-mel untuk mendaftar ke akaun, Zoom akan menghantar kod pengaktifan ke alamat e-mel yang didaftarkan. Klik Active Account yang diterima untuk mengaktifkan akaun
  • Setelah berjaya mendaftar, anda perlu log masuk menggunakan ID anda
  • Klik pada My Profile di laman utama dan anda akan dapat melihat ID Personal Meeting di ruang tersebut
  • Anda boleh memulakan mesyuarat dengan hanya klik butang New Meeting untuk memulakan mesyuarat
  • Klik My Meetings dan gunakan ID Personal Meeting anda untuk menjemput rakan-rakan lain untuk menyertai anda di Meeting Rooms
  • Rakan anda boleh menyertai anda menggunakan pautan melalui web Chrome
  • Anda juga boleh menyertai mesyuarat dengan hanya mengklik pautan di peti masuk (pautan jemputan dari rakan untuk menyertai forum / mesyuarat)


Cara Menjemput Rakan Untuk Menyertai Mesyuarat Zoom 

  • Klik pada tab Meetings
  • Jika anda menggunakan aplikasi Zoom di komputer anda, klik Copy Invitation yang mempunyai maklumat seperti Zoom’s Meeting URL, ID dan maklumat telefon dan ia akan disalin ke clipboard yang boleh anda masukkan melalui e-mel atau teks 
  • Jika anda menggunakan aplikasi Zoom pada telefon pintar anda, klik Send Invitation dan anda akan diberi 3 pilihan: Send Message, Send Email atau Copy to Clipboard (Ia akan menyalin URL mesyuarat dan ID Zoom ke clipboard telefon anda)

 

Ramai orang lebih suka menggunakan Zoom kerana senang digunakan. Lebih mudah untuk menyelesaikan kerja walaupun anda tidak berada di pejabat. Penggunaan Zoom juga membolehkan setiap ahli membincangkan masalah dan membuat keputusan dengan lebih pantas. Zoom adalah salah satu alternatif yang dapat mempermudahkan sesuatu urusan tanpa perlu bersua muka selaras dengan saranan kerajaan iaitu Bekerja Dari Rumah sahaja.