Cara Menghalau Semut

Semut seringkali menjadi masalah yang mengganggu di rumah. Sama seperti manusia yang menyukai manisan, begitu juga halnya dengan semut. Kita pasti tidak menyukai semut yang mengerumuni makanan kegemaran kita. Bukannya berkongsi makanan sesama individu, semut pulalah yang menjadi rakan kita berkongsi. Oleh kerana itulah dapur merupakan tempat yang sering menjadi tempat tumpuan semut. Tidak terhad kepada dapur sahaja, semut juga sering didapati di mana-mana bahagian rumah. Kehadiran semut menyebabkan ketidaknyamanan dan masalah kebersihan kepada orang rumah.

 

Berikut adalah beberapa cara efektif untuk menghalau semut dari rumah anda:

  1. Kulit buah sitrus

Buah sitrus seperti oren, lemon, dan limau bukan sahaja enak dimakan dan mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi, tetapi buah sitrus juga mempunyai manfaat walaupun isinya telah dimakan. Jadi, jangan buang kulit buah sitrus. Semut tidak menyukai bau buah sitrus. Letakkan kulit buah sitrus di tempat yang selalu dikunjungi semut. Aroma segar ini dapat membantu mengusir semut dan menyegarkan udara rumah anda.

  1. Cuka

Cuka mempunyai bau masam yang kuat seperti buah-buahan sitrus. Jadi, cuka juga berfungsi untuk menghalau semut. Campurkan cuka dengan sedikit air dan semburkan di laluan semut atau di sekitar tempat yang selalu dikerumuni oleh semut. Bau cuka akan membuat semut menghindari kawasan tersebut.

  1. Serbuk kayu manis

Kayu manis mempunyai aroma yang menyenangkan dan enak dalam masakan. Namun, semut tidak menyukai bau kayu manis. Taburkan sedikit serbuk kayu manis di laluan semut atau di sekitar tempat yang selalu dikerumuni oleh semut. 

  1. Cengkih

Selain digunakan untuk masakan, cengkih juga boleh digunakan untuk mengusir semut. Letakkan cengkih di laluan semut atau di sekitar dapur. Anda juga boleh membuat campuran minyak cengkih dengan air dan menyemburkannya sebagai semburan pengusir semut. Penggunaan cengkih terbukti berkesan untuk menghalau serangga kecil ini daripada rumah anda kerana semut tidak menyukai bau bunga cengkih yang kuat. 

  1. Serbuk kopi

Kopi merupakan minuman yang selalu menjadi pilihan untuk menjadi penyegar terutamanya ketika kita sedang bekerja. Kebanyakan orang menyukai kopi, bukan? Namun lain pula halnya dengan semut. Taburkan serbuk kopi di kawasan yang kerap dilalui oleh semut, terutama di sekitar pintu dan tingkap.

  1. Serai wangi

Aroma segar dari serai juga boleh membantu mengusir semut. Potong serai menjadi kepingan kecil dan letakkan di dekat pintu atau kawasan pintu masuk semut. Ini akan membantu mengekalkan semut supaya menjauh.

  1. Kulit telur

Telur mempunyai kandungan protein dan nutrien lain yang tinggi. Manfaat telur tidak terhad kepada isinya sahaja, bahkan kulit telur juga berguna untuk mengawal kehadiran semut. Serbuk daripada kulit telur boleh digunakan sebagai pengusir semut semula jadi. Tumbuk kulit telur dan taburkan di laluan semut atau di kawasan sarang mereka.

  1. Soda bikarbonat

Soda bikarbonat tidak hanya berfungsi sebagai pembersih, tetapi juga boleh mengusir semut. Campurkan soda bikarbonat dengan gula halus dan letakkan campuran ini di tempat-tempat yang kerap dilalui oleh semut.

  1. Semburan serangga

Jika anda bukan seseorang yang gemar mencuba cara-cara tradisional untuk menghalau semut, anda boleh menggunakan semburan serangga. Gunakan semburan serangga yang terbuat dari bahan semula jadi seperti minyak esensial berasaskan daun pudina atau minyak gelam wangi. Semburkan di laluan semut atau di kawasan yang selalu dikerumuni semut..

  1. Syarikat perkhidmatan kawalan haiwan perosak

Sekiranya semut dirumah anda sudah memasuki tahap ekstrim dan sukar dikawal, syarikat perkhidmatan kawalan haiwan perosak adalah solusi terbaik. Hubungi syarikat seperti Rentokil, Ridpest, Speedy Pest Control dan banyak lagi untuk membantu anda.  Mereka dapat menyediakan penyelesaian yang selamat dan berkesan tanpa merugikan alam sekitar.

  1. Bersihkan setiap sudut rumah secara rutin

Penjagaan kebersihan adalah kunci untuk mengawal masalah semut. Bersihkan sisa makanan atau cecair manis lain yang boleh menarik perhatian semut. Jaga kebersihan rumah secara menyeluruh untuk mencegah kemunculan semut. Memastikan kebersihan setiap sudut rumah, terutamanya di kawasan dapur turut dapat membantu mengurangkan kehadiran semut.

Dengan menggabungkan beberapa kaedah di atas secara konsisten, anda boleh menghalau semut dari rumah anda secara semula jadi dan berkesan. Jika cara semula jadi tidak berkesan, jangan risau kerana anda juga boleh menggunakan cara moden yang tetap menjaga alam sekitar.  Adalah penting untuk diingat bahawa kebersihan adalah faktor utama dalam menghalau semut. Tindakan pencegahan dengan menjaga kebersihan rumah dapat mencegah semut daripada kembali.