CARUMAN KWSP SURI RUMAH

Seramai 359, 065 orang wanita yang telah berdaftar di dalam sistem e-Kasih akan berpeluang menikmati insentif berbentuk kewangan menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan akan dilaksanakan bermula 15 Ogos. Skim ini dikenali sebagai Program Sukarela Insentif (SURI) diperuntukkan sebanyak RM 20 juta oleh pihak kerajaan bagi menjayakan program pada fasa pertama. Program ini menyasarkan mereka yang telah berdaftar dengan sistem e-Kasih iaitu kumpulan Ketua Isi Rumah (KIR), golongan ibu tunggal, balu dan juga wanita bujang. Antara tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk membolehkan para suri rumah melalui kehidupan social yang lebih berkualiti dan dapat menambah simpanan untuk jangka masa panjang. Program ini akan dilaksanakan dalam 3 fasa supaya ianya lebih memberi kesan yang positif terhadap pelaksanaan program.

Pada 15 Ogos 2018, fasa pertama akan dilaksanakan dan pihak kerajaan akan menyumbang sebanyak RM 40 sebulan bagi setiap pencarum, manakala pencarum pula boleh membuat caruman sekurang – kurangnya RM 5 sebulan ke dalam akaun KWSP masing – masing. Pada peringkat fasa kedua, sumbangan kerajaan akan meningkat sebanyak RM 10 menjadikan ia RM 50 di mana penambahan sebanyak RM 10 tersebut akan disumbangkan untuk perlindungan di bawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) dan dijangka akan dilaksanakan mulai awal tahun hadapan. Ini adalah kerana pada saat ini, tiada sebarang perlindungan PERKESO di carum oleh suri rumah berikutan perlu adanya sedikit perubahan undang – undang bagi membolehkan caruman tersebut. Oleh kerana itu, ia hanya akan dilaksanakan mulai awal tahun hadapan.

Pada peringkat fasa ketiga pula, dua peratus sumbangan KWSP si suami akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP isteri dan dijangka akan dilaksanakan pada awal tahun 2020 dengan sedikit pindaan terhadap Akta KWSP 1991.

Pelaksanaan skim ini perlu dilihat dari pelbagai aspek yang melibatkan kewangan dan juga bukan kewangan supaya ia dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa gagal. Dengan adanya program SURI, kerajaan berharap ia dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada para wanita terutamanya yang berdaftar dengan program e-Kasih.