Gold Coast Morib

Up to 30% discount
Up to 30% discount

Gold Coast Morib Water Theme Park Resort terletak di sepanjang pinggir laut Selat Melaka yang sangat mengagumkan. Ia berada di kawasan pantai berpasir di hujung Selatan Selangor iaitu di Banting, Selangor. Resort ini mempunyai keluasan sehingga 14 ekar dengan ditumbuhi pokok bakau serta memiliki pemandangan pantai yang indah. Terdapat sebanyak 672 buah bilik yang terdiri dari Studio Suite dengan set jakuzi peribadi, Pangsapuri 2 & 3 Bilik Tidur serta Penthouse sesuai dijadikan tempat penginapan sepanjang percutian anda.

 

Jarak yang tidak terlalu jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur menjadikan Gold Coast Morib ini sebagai pilihan percutian keluarga terutama di hujung minggu. Ia juga mudah diakses melalui jalan raya menjadikan perjalanan anda lebih mudah untuk tiba di sini.

Antara kemudahan yang terdapat di Gold Coast Morib ini adalah taman tema airnya yang dilengkapi gelongsor air begitu menyeronokkan. Ia amat sesuai bagi anda yang datang bercuti bersama keluarga. Selain itu, terdapat kemudahan lain yang disediakan buat para pengunjung antaranya adalah Amphitheathre, kolam renang, outlet – outlet makanan, shopping mall yang berdekatan serta dewan banquet yang berkapasiti sehingga 2,000 orang.

Waktu operasi taman tema di sini bermula pada jam 9.30 pagi hingga jam 7.00 petang. Harga tiket pula tidak lah terlalu mahal, hanya RM 25.00 untuk dewasa dan RM 15.00 untuk kanak  – kanak. walaubagaimanapun, jika anda menempah pakej bilik penginapan, tiket masuk ke taman tema air adalah percuma berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan. Bagi kanak – kanak dengan ketinggian 90 cm ke bawah, masuk adalah percuma.

Selain taman tema air yang menjadi tarikan utama, di sini juga terdapat pelbagai aktiviti lain yang menarik turut disediakan buat para pengujung. Antaranya adalah seperti flying fox, berkayak, high ropes (meniti di atas titian tali dari pokok ke pokok) serta ATV yang sungguh menyeronokkan. Anda boleh menaiki ATV di pantai yang sungguh luas. Kanak – kanak juga boleh menunggang kuda di tepi pantai secara santai sambil diawasi pemilik kuda.

Bagi anda yang ingin menjamu selera, bolehlah mencuba hidangan yang terdapat di Endah Kopitiam, Steamboat dan The Pier. Anda boleh memilih tempat makan yang bersesuaian di sini sambil menikmati angin pantai yang bertiup sepoi – sepoi Bahasa sungguh menenangkan.

Pada waktu petang sekiranya tiada sebarang aktiviti yang dilakukan, anda boleh juga bersiar – siar di kawasan tepi pantai sambil melihat pemandangan indah yang terdapat di sini sambil menikmati panorama ombak membelah pantai. Deruan ombaknya terasa begitu menenangkan. Anda boleh juga bermain – main di gigi air laut sambil membasahkan kedua kaki berjalan menyelusuri tepian pantai.

Menjelang malam pula, anda boleh berehat dan menjamu selera di restoran yang tersedia di sebelah luar. Kebanyakan pengunjung memilih untuk menikmati hidangan steamboat ataupun bbq sambil mendengar dendangan lagu karaoke yang dinyanyikan oleh pengunjung lain di situ. Dapatlah anda menjamu selera sambil bergembira bersama.

Gold Coast Morib sememangnya sesuai dijadikan destinasi percutian keluarga kerana lokasinya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur. Hilangkan kepenatan bekerja setiap hari dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga di sini. Gold Coast Morib amat berbaloi dipilih kerana kemudahan yang disediakan begitu memuaskan para pengunjung yang datang.

Alamat : PT. 294, Kawasan Kanchong Laut, Mukim Morib, 42700 Banting, Selangor