i-SURI Program Sukarela Insentif
Program Sukarela Insentif – i-SURI
Pendaftaran i-SURI dibuka mulai 15 Ogos 2018 kepada mereka yang layak mendaftar. i-SURI merupakan program perintis Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan merupakan antara manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu. Program ini telah dilancarkan oleh beliau semasa Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018. Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM 20 juta untuk menjayakan fasa pertama program i-SURI ini. Program yang akan melalui tiga fasa pelaksanaan mensasarkan penyertaan golongan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), golongan ibu tunggal, wanita bujang, dan balu yang telah mendaftar dengan sistem e-Kasih. Pada peringkat fasa pertama pelaksanaan, pihak kerajaan akan menyumbang sebanyak RM 40.00 sebulan kepada para pencarum dan ahli i-SURI hanya perlu mencarum RM 5.00 sebulan.
Sumbangan Pihak Kerajaan
Pihak Kerajaan yang sememangnya menyokong serta menggalakkan program skim ini akan turut membuat sumbangan caruman kepada pencarum KWSP di mana bagi ahli i-SURI yang layak akan menerima sebanyak RM 200 bagi tempoh caruman Ogos hingga Disember 2018. Penyertaan sumbangan kerajaan ini akan meningkat kepada RM 480 setahun pada tahun berikutnya bagi pencarum yang menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan.
Keistimewaan Ahli KWSP i-SURI
Ahli i-SURI akan turut mendapat keistimewaan seperti mana ahli KWSP yang lain. Kemudahan serta keistimewaan yang bakal dinikmati oleh ahli i-SURI adalah seperti dividen tahunan, bantuan hilang upaya, pelepasan cukai, bantuan khairat kematian serta pengeluaran simpanan KWSP pada umur 50, 55 serta 60 tahun dan ia tertakluk kepada syarat – syarat yang ditetapkan.
Kelayakan Sebagai Pencarum i-SURI
Para suri rumah merupakan kumpulan yang layak mencarum skim i-SURI ini sekiranya telah membuat pendaftaran di dalam sistem e-Kasih sehingga 30 Jun 2018. Kriteria lain yang layak adalah seperti berikut :
- Memiliki kewarganegaraan Malaysia
- Berumur tidak melebihi 60 tahun
- Merupakan isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR)
- Merupakan Ketua Isi Rumah (KIR) Wanita yang terdiri daripada jandai/bercerai bujang atau balu
- Mencarum RM 5.00 sebulan atau RM 60.00 setahun
Cara Untuk Pendaftaran
Pendaftaran boleh dibuat di mana – mana cawangan kaunter KWSP terdekat mulai 15 Ogos 2018.
Pembayaran Caruman KWSP
Terdapat tiga cara pembayaran caruman iaitu :
- Pembayaran secara tunai atau cek boleh dibuat melalui kaunter peresitan KWSP
- Pemabayaran secara tunai atau cek boleh dibuat melalui kaunter panel bank KWSP (RHB Bank, Maybank, Bank Simpanan Nasional dan Public Bank )
- Pembayaran boleh dibuat melalui pindahan wang melalui perbankan internet oleh bank yang dilantik ( Public Bank dan Maybank)
Maklumat Lanjut
Sebarang info lanjut boleh diajukan kepada sekretariat i-SURI melalui Pusat Pengurusan Perhubungan di nombor 03-89226000 atau di laman web www.kwsp.gov.my. Bagi ahli yang ingin mengetahui tentang insentif yang layak dinikmati, sekretariat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh dihubungi di nombor 03-80008000 atau melalui laman web www.kpwkm.gov.my