Insentif Kesuburan

Semasa pembentangan Bajet 2020, kerajaan telah memperkenalkan satu pendekatan baru iaitu Insentif Kesuburan untuk semua golongan wanita di Malaysia. Melihatkan kadar kesuburan di Malaysia semakin menurun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah memperkenalkan insentif buat pasangan yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan komited terhadap kesihatan rakyat Malaysia yang berkualiti selari dengan aspirasi masyarakat yang inklusif. Pelbagai langkah diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kos perbelanjaan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia.

 

Secara keseluruhannya masyarakat Malaysia kini mengalami masalah kesuburan dan penguncupan populasi. Statistik yang diambil dari rekod Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa mulai tahun 2019 hingga 2025, kadar kesuburan di kalangan rakyat Malaysia semakin menurun dengan mendadak. Statistik juga menunjukkan bahawa kadar kesuburan akan menjadi lebih merosot menjelang tahun 2020 hingga tahun 2050. Penguncupan populasi ini akan menjejaskan ekonomi serta pembangunan negara pada masa akan datang. 

 

Peningkatan purata umur ibu semasa kelahiran pertama turut memberi impak terhadap tempoh reproduktif wanita yang semakin meningkat. Malah, statistik turut menunjukkan bahawa satu per enam daripada pasangan di Malaysia mengalami masalah kesuburan dan semakin ramai pasangan yang mendapatkan rawatan secara konsisten. Pasangan yang mendapatkan rawatan ini adalah berusia 36 tahun dan ke atas. Pada peringkat umur begini, tahap kesuburan wanita mulai menurun dan peluang untuk mengandung serta mendapatkan zuriat melalui kaedah IVF ini adalah sebanyak 60 hingga 70 peratus sahaja. Namun, bagi yang berumur 40 dan ke atas, peluang rawatan IVF ini untuk berjaya adalah semakin berkurangan iaitu kira – kira 20 peratus. Walau bagaimanapun, masalah kesuburan ini bukan hanya dialami oleh golongan wanita sahaja, namun golongan lelaki juga mengalami masalah kesuburan. Dianggarkan sebanyak satu daripada lima orang lelaki mengalami masalah ketidaksuburan dan ianya turut meningkat setiap tahun.

  

Menyedari bahawa kanak – kanak mempunyai faedah langsung dan tidak langsung kepada keluarga, maka KWSP turut menyokong sepenuhnya dalam memberi kemudahan pengeluaran khas buat pasangan yang ingin mendapatkan rawatan tanpa dibebani dengan kos yang tinggi. Pengeluaran boleh dibuat melalui Akaun 2 dalam KWSP masing – masing. Ia secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kesejahteraan serta pertumbuhan sosial. Pendekatan ini membolehkan seseorang individu membuat pengeluaran wang caruman yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Insentif kesuburan ini memperuntukkan bajet sehingga RM 10,000 bagi setiap pasangan yang memerlukan rawatan secara in-vitro fertilization (IVF). Kepada pasangan yang ingin mendapatkan rawatan ini, mereka akan mendapat pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 6,000 serta perubatan bagi penyakit serius yang lain. Oleh kerana kos yang tinggi menyebabkan kerajaan mengambil langkah mewujudkan insentif ini melalui pengeluaran KWSP.

 

Pemberian cuti bersalin selama 90 hari juga merupakan insentif untuk rawatan masalah ini. Pertambahan cuti bersalin yang lebih lama membolehkan seseorang wanita itu lebih produktif dan dapat memberi perhatian yang lebih kepada bayi yang baru dilahirkan. Masalah penurunan kadar kesuburan ini akan mempercepatkan proses penuaan di kalangan masyarakat dan Malaysia akan menjadi negara ‘tua’ menjelang tahun 2030 apabila kebanyakan penduduknya berumur 60 tahun dan ke atas. Permasalahan ini jika tidak dibendung akan menyebabkan negara bakal berdepan dengan kekurangan tenaga kerja yang serius serta akan menjejaskan pembangunan negara.