KASIH IBU SMART SELANGOR (KISS)
Kerajaan Negeri Selangor dikatakan kerajaan yang berjiwa rakyat apabila memperkenalkan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) buat kaum wanita. Ia merupakan program kebajikan yang diwujudkan khusus buat kaum ibu berpendapatan rendah bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin tinggi menerusi bantuan kewangan bagi membeli barang keperluan asas. Wanita yang berpendapatan bawah RM 2,000 layak menerima bantuan KISS ini seperti mana diumumkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Negeri Selangor. Para ibu yang layak menerima bantuan ini akan menerima sekurang – kurangnya RM 200 sebulan bersamaan RM 2400 setahun yang diberikan melalui kad KISS. Ia boleh digunakan untuk membeli barang keperluan asas sepeti minyak masak, beras, tepung mi, bihun, roti, biskut, telur, gula dan garam, rempah ratus, sayur-sayuran, daging ayam, lembu, kambing, ikan, sabun, bahan pencuci, produk tenusu seperti susu segar, susu tepung, susu pekat manis dan susu sejat, lampin pakai buang (bayi / dewasa), barangan persekolahan seperti kasut, beg, buku, alatulis, pakaian seragam dan sebagainya. Barang yang tidak disenaraikan tidak diluluskan untuk pembelian dan tiada sebarang had bagi jenama barangan yang dipilih. Sebanyak RM 72 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat ini dengan suku tahun pertama perbelanjaan sebanyak RM 18 juta dikeluarkan. Penerima yang layak menerima bantuan ini akan mendapat sekeping kad KISS yang boleh digunakan untuk pembelian barangan asas di kedai atau pasaraya terpilih dan berdaftar sahaja. Tiada sebarang pembayaran tunai semasa membuat pembelian dan setiap pembayaran adalah melalui penggunaan kad KISS sahaja. Kad KISS akan dikreditkan secara automatik sebanyak RM 200 setiap bulan dan setiap baki nilai bulan terdahulu tidak akan dibawa ke bulan berikutnya.
SYARAT KELAYAKAN PERMOHONAN
- Pemohon merupakan Warganegara Malaysia;
- Merupakan kelahiran Selangor atau telah menetap di Selangor selama 10 tahun atau lebih;
- Pengundi di Negeri Selangor; dan
- Merupakan wanita berkeluarga samada berkahwin atau ibu tunggal yang mempunyai tanggungan di bawah umur 21 tahun; dan
- Pendapatan sebulan seisi rumah di bawah RM 2,000
CARA MENDAFTAR PERMOHONAN
- Permohanan adalah secara manual iaitu menggunakan borang pendaftaran yang boleh di muat turun dari laman web www.kiss.com.my atau dapatkan borang di tempat – tempat berikut:
- Pejabat Ahli Parlimen / Penyelaras Parlimen Pusat Khidmat DUN
- Pejabat Ahli Dewan Negeri / Penyelaras Dewan Negeri Pusat Khidmat DUN
- Pusat Wanita Berdaya (PWB)
- Pejabat Ketua-Ketua Kampung Tradisi, Kampung Baru, Kampung Bagan, Ketua Komuniti India, Pejabat Ahli Majlis
- Permohonan secara online boleh dilakukan menerusi laman web www.kiss.com.my
CARA PENGGUNAAN KAD
- Peserta memilih barangan keperluan asas di kedai atau pasaraya yang berdaftar
- Serahkan kad KISS kepada juruwang di kaunter pembayaran
- Semakan baki akan dilakukan oleh peserta sebelum membuat pembayaran
- Setiap barangan akan direkod menggunakan sistem POS (Point of Sale)
- Resit yang dicetak akan memaparkan baki awal kad, senarai barangan yang dibeli dan baki akhir kad
- Masukkan no PIN di terminal bayaran
- Kad KISS akan dimasukkan ke dalam terminal bayaran oleh juruwang
- Barangan yang tersenarai sahaja akan diluluskan oleh sistem POS
Sebanyak 500 buah pasaraya yang berdaftar di bawah program ini dan diantaranya adalah Giant Hypermarket, 99 Speedmart dan Pusat Pakaian Hari – Hari. Pasaraya yang berdaftar tidak dibenarkan menjual sebarang alat kosmetik dan juga rokok kepada penerima bantuan program ini sepertimana arahan Menteri Besar Negeri Selangor. Program yang dianjurkan ini dilihat sebagai salah satu pembangunan wanita di negeri Selangor yang telah menaiktaraf kehidupan serta ekonomi mereka. Ia merupakan satu mekanisme baru yang dapat membawa sinar baru dalam memperbaiki kehidupan keluarga dan dapat menceriakan anak – anak yang kurang berkemampuan. Biarpun fahaman politik yang berbeza, kerajaan negeri tetap memberikan bantuan ini buat mereka yang layak.