Kerana Tidak Mahu Diusir, Enjin Bot Dirosakkan Oleh Pelarian Rohingya

Pasukan Polis Marin dan Kapal Maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah mengarahkan pasukan penguatkuasaan mereka ke perairan Langkawi pada   8 Jun 2020 jam 5.00 pagi, bagi melaksanakan operasi pemantauan serta pengusiran terhadap bot Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Rohingya ke perairan antarabangsa sebaik sahaja mendapat maklumat berkenaan pencerobohan. Pegawai Pemerintah Maritim Operasi PDRM Langkawi telah mengesan terdapatnya pencerobohan sedang berlaku di perairan Langkawi dan sebuah bot RH 9 telah digerakkan menuju ke lokasi berkenaan. Bot APMM berjaya memintas bot tersebut dan seramai 53 orang dengan beraninya telah terjun ke laut dan berenang ke pantai berhampiran bagi mengelakkan diri ditangkap sebaik sahaja bot APMM mula merapati. Walau bagaimana pun, kesemua PATI ini telah berjaya ditahan oleh pihak APMM yang sedia menanti di daratan.

Semasa membuat pemeriksaan bot, satu mayat ditemui bersama 216 orang PATI. Hasil pemeriksaan juga,didapati bot ini sengaja dibocorkan, malah enjinnya dirosak dengan teruk agar tidak boleh dibaiki langsung. Perkara ini sememangnya disengajakan supaya proses pengusiran tidak dapat dilakukan oleh pihak berkuasa. Bot PATI terpaksa ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi atas dasar kemanusiaan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kesemua PATI telah diberikan bantuan makanan serta air bersih dan mereka ini telah ditempatkan di Kem Bina Negara Wawasan di Ulu Melaka, Langkawi buat sementara waktu bagi proses dokumentasi.

Menurut sumber, bot yang berasal dari kem pelarian di Myanmar itu telah berada di lautan selama hampir empat bulan untuk tiba di perairan Langkawi. Membawa muatan seramai 269 orang etnik Rohingya yang terdiri dari 138 wanita, 80 lelaki, 23 kanak – kanak perempuan dan 26 kanak – kanak lelaki. Walau bagaimana pun, terdapat seramai 9 orang tekong telah berjaya meloloskan diri menggunakan sebuah bot lain setelah berjaya memasuki perairan Malaysia. Selain itu, terdapat seramai 6 orang tekong dan 22 buah bot PATI lain telah berjaya diusir ketika cuba memasuki sempadan negara.

Orang ramai adalah disarankan untuk sama – sama menjaga keselamatan perairan negara dari dicerobohi pendatang asing, aktiviti penyeludupan serta sebarang aktiviti jenayah dengan memaklumkan kepada pihak National Task Force (NTF) di talian 011-62511223.