Kereta Termurah Di Malaysia

Setiap individu pastinya mengimpikan sebuah kenderaan yang selesa untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Namun, tidak semua mampu memiliki kereta idaman kerana harganya yang agak tinggi. Walau bagaimana pun, anda boleh membeli kereta dengan harga yang murah mengikut kemampuan diri masing – masing. Sebagai panduan, artikel ini menyenaraikan kereta termurah di Malaysia dengan harga mampu milik, iaitu seperti berikut :

 

  1. Perodua Axia

Kereta model ini antara yang termurah di Asean dengan hanya satu pilihan enjin iaitu 998cc. Perodua Axia menawarkan ruang kereta yang lebih besar dengan keluasan ruang kaki yang hampir sama dengan Myvi dan ianya juga merupakan model pengganti Viva. Axia juga merupakan model yang juga menjimatkan minyak, mudah serta murah untuk diselenggara sama seperti model terdahulu iaitu Kancil, Kelisa dan juga Viva. Harga permulaan Axia adalah serendah RM 24,437.16 bagi model Axia E Manual.

 

  1. Perodua Myvi 

Sejak sembilan tahun yang lalu, Perodua Myvi merupakan model kereta yang paling laris di pasaran Malaysia dan merupakan model nombor satu negara. Myvi yang sudah berwajah baru masih menawarkan dua pilihan enjin iaitu 1.3L dan 1.5L dengan dua transmisi iaitu manual dan automatic. Ia antara model kereta yang dianggap “tanpa kelas” kerana ramai yang memilikinya termasuklah golongan jutawan. Perodua Myvi juga mempunyai nilai trade in yang tinggi dan tidak memberi sebarang masalah yang kronik. Harganya serendah RM 41,500 untuk model kereta versi 1.3 Standard G Manual pastinya membuatkan ramai yang mampu memilikinya.

 

  1. Proton Saga SV 

Kereta buatan Malaysia, iaitu Proton Saga SV merupakan model kereta sedan yang termurah di Asean dan pastinya menjadi pilihan terutamanya golongan yang telah berkeluarga. Menawarkan ruang meletak barang yang luas dengan kapasiti 413 liter pastinya memudahkan pengguna memuatkan barangan yang agak banyak. Proton Saga SV menawarkan dua jenis enjin iaitu 1.3L dan 1.6L dengan transmisi manual dan juga automatic (CVT). Pengguna boleh memilih model 1.3L manual jika inginkan penjimatan bahan api dan sekiranya inginkan prestasi kereta yang lebih mantap, pengguna boleh memilih model Saga FLX Executive CVT dengan keupayaan enjin 1.6L. Harga model Saga SV manual adalah serendah RM 33,242.40 sahaja.

 

  • Proton Iriz

Proton sentiasa menawarkan pelbagai model baru di pasaran bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Oleh itu, Proton Iriz telah diperkenalkan oleh Proton dan ianya antara model tercanggih di pasaran. Kereta bersaiz kompak ini telah dibangunkan serratus peratus oleh Proton. Ia menggunakan enjin 1.3L yang lebih menjimatkan pengguna. Model ini bersaiz kecil, namun ruang kabinnya agak selesa. Saiz penyimpanan barang agak besar iaitu berkapasiti 215L dan agak besar sedikit berbanding Perodua Myvi. Proton Iriz menawarkan enjin berkapasiti 1.3L dan 1.6L dengan dua transmisi iaitu manual dan automatic. Harga permulaan model Proton Iriz bermula dari RM 41,077 untuk versi manual.

 

  1. Perodua Alza

Perodua Alza merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan kapasiti 7 tempat duduk penumpang. Ia sangat popular di kalangan rakyat Malaysia, malah harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Perodua Alza mempunyai enjin 1.5L 3SZ-VE DVVT dengan transmisi manual lima kelajuan dan transmisi automatic dengan empat kelajuan. Dilengkapi dengan ciri – ciri menarik seperti grafik panel instrument, kunci kawalan jauh two-motion, penyaman udara di barisan tempat duduk ketiga, fungsi USB dan Bluetooth, beg udara dan banyak lagi ciri – ciri istimewa. Warna pilihan Perodua Alza terdiri dari Granite Grey, Ivory White, Glittering Silver, Mystical Purple dan Electric Blue. Harga Perodua Alza bermula dari RM 51,490 dengan jaminan lima tahun / 150,000 km (yang mana terdahulu).

 

  1. Perodua Bezza

Perodua telah menghasilkan model kereta jenis sedan iaitu Perodua Bezza dengan dua transmisi iaitu manual dan automatic. Ia telah dilancarkan sempena 22 tahun Perodua dalam industri automatif negara. Perodua Bezza merupakan model kereta yang dilengkapi dengan ciri – ciri keselamatan kawalan kestabilan elektronik dan mempunyai empat jenis model iaitu Bezza 1.0 GX MT, Bezza 1.0 GX AT, Bezza 1.3 X AT dan juga Bezza 1.3 AV AT. Setiap kereta dilengkapi rim aloi, lampu utama diod, kit badan dwitona, kamera undur, anti-lock braking system dan electronic brakeforce distribution. Harga Perodua Bezza adalah bermula RM 34,580.00 untuk transmisi manual dan kesemua model dilengkapi dengan jaminan 5 tahun / 150,000 km (yang mana tiba terdahulu).

 

  • Proton Persona

Proton Persona telah diperkenalkan sejak tahun 2007 dan kini telah pun berwajah baru dengan ciri – ciri yang lebih menarik. Menawarkan enjin berkuasa 1.6L VVT, Proton Persona menggunakan platform model hatchback Proton Iriz dan didatangkan dalam tiga model yang berbeza iaitu Standard, Executive serta Premium dengan transmisi CVT. Penggunaan bahan api juga agak menjimatkan sehingga 10 peratus untuk transmisi automatic, manakala sebanyak 13 peratus untuk transmisi manual kerana enjinnya dilengkapi dengan Teknologi Bantuan Eco. Harga Proton Persona bermula dari RM 46,800 sehingga RM 59,350.00 sahaja.

 

  1. Suzuki Alto 

Suzuki Alto antara model kereta yang bersaiz kecil dan rekabentuknya agak comel serta mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Biarpun agak kecil, Suzuki Alto ini mempunyai kapasiti enjin 1.0L dengan 3 silinder. Ia mempunyai transmisi automatic dengan 4 kelajuan yang menggunakan bahan api yang agak rendah. Suzuki Alto standing dengan Perodua Axia, namun menawarkan ruang kabin yang lebih menarik, selesa dan mewah berbanding Perodua Axia. Malah, warna kereta yang terdapat di pasaran juga agak ceria, antaranya merah metallic, biru metallic, perak metallic dan juga putih mutiara. Harganya pula agak bersesuaian dengan pasaran iaitu bermula dari RM 46,241.00 sahaja.

 

  1. Kia Picanto 

Bagi pengguna yang sangat mementingkan aksesori kereta yang moden serta bercirikan keselamatan, model Kia Picanto adalah sangat sesuai untuk dimiliki. Kia Picanto menawarkan enam beg udara, sistem kawalan stability, traction control, lampu projector dengan lampu LED siang (DRL), butang enjin start/stop, sistem keyless entry, butang kawalan audio serta rekaan yang menarik. Model ini menawarkan dua transmisi manual dan automatic dengan kapasiti enjin 1.2L Kappa yang begitu menjimatkan. Harga jualan kereta model ini adalah bermula dari RM 54,888.00 dengan jaminan 5 tahun diberikan.

 

Kesimpulan

Pastinya anda boleh membuat pilihan sebelum membuat keputusan membeli kereta setelah membaca artikel ini. Walau bagaimana pun, ianya bergantung kepada keperluan serta bajet anda.