Mendaki Gunung Angsi
Seremban di kelilingi dengan bukit bukau dan gunung ganang. Di sebelah utara, terdapat Bukit Gallah dan Bukit Penda yang memisahkan Seremban dan Nilai. Di sebelah barat pula, terdapat pergunungan Berembun yang memisahkan Seremban dan Jelebu manakala di sebelah selatan iaitu antara Ulu Bendul, Kuala Pilah dan Senawang pula terletaknya Gunung Angsi yang agak menonjol dan jelas kelihatan dari bandar Seremban. Ia mempunyai ketinggian sehingga 825 meter (2702 kaki) dan merupakan tarikan di Hutan Rekreasi Ulu Bendul selain kaya dengan pokok tropika seperti pokok keruing, pokok meranti, damar hitam dan pokok mersawa. Ia juga merupakan gunung yang ke-241 tertinggi di Malaysia.
Gunung Angsi sesuai untuk aktiviti pendakian bersama keluarga kerana laluannya yang tidak begitu hardcore, namun masih agak mencabar bagi mereka yang tidak biasa mendaki. Permulaan trek mendaki sejauh 2km agak mencabar dengan trek agak pacak, kemudian laluan sedikit santai sebelum ke puncak. Untuk sampai ke puncak Gunung Angsi, pendaki boleh memilih laluan yang paling popular iaitu melalui Taman Rekreasi Ulu Bendul yang mengambil masa kurang dari 3 jam pendakian. Selain itu, terdapat laluan lain yang boleh digunakan iaitu melalui Bukit Putus yang jaraknya lebih pendek dengan hanya kira – kira 2 jam sahaja pendakian. Pendakian juga boleh dilakukan melalui trans-Angsi iaitu bermula dari Ulu Bendol hingga ke puncak Gunung Angsi kemudian turun semula melalui Bukit Putus. Namun, jika melakukan trans-Angsi ini, pendaki perlu berjalan kaki ke titik permulaan di Ulu Bendul sejauh 4km atau kira – kira 45 minit di Jalan Kuala Pilah untuk mengambil semula kereta. Terdapat beberapa papan tanda diletakkan di pokok – pokok sepanjang laluan bagi memudahkan para pendaki.
Untuk sampai ke permulaan trek, pendaki boleh melalui Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) dari Kuala Lumpur ke Seremban. Lebuhraya ini berakhir di Seremban iaitu di persimpangan dengan Jalan Kuala Pilah (Laluan 51). Pada persimpangan jalan, belok kiri menghala ke Kuala Pilah dan teruskan pemanduan di Laluan 51 sejauh 8.2km (kira – kira 7 minit) sehingga sampai di simpang jalan lama Kuala Pilah. Belok kanan ke jalan lama dan pandu sejauh kira – kira 1.2km. Terdapat gerai kecil di situ yang menandakan permulaan laluan. Pada sebelah kanan, terdapat ruang di mana kenderaan boleh diletakkan. Permulaan trek berada di sebelah kiri, iaitu hanya beberapa blok konkrit sahaja yang merentasi longkang tepi jalan dan laluan yang memotong cerun curam. Laluan ini agak luas dan terdapat dedaun berguguran yang menutupi laluan tersebut. Namun, laluan ini agak curam untuk 1.5km pertama. Terdapat kawasan rehat dan café di sepanjang jalan yang menjual makanan dan minuman. Malah, terdapat juga kerusi dan meja disediakan untuk pendaki berehat seketika sebelum meneruskan pendakian. Selepas kawasan rehat, laluan pendakian terbahagi kepada dua iaitu samada jalan terus mendaki bukit atau berjalan ke sebelah kanan mengelilingi bukit.
Kebiasaannya iklim atau cuaca di sebelah pagi adalah agak sejuk, berangin dan juga menyenangkan. Ruang bergambar di puncak Gunung Angsi agak kecil dan terhad kerana kawasannya dilitupi pepohon yang besar serta tinggi.
Permit
Setiap pendaki perlu memohon permit dengan kadar bayaran RM 5 seorang dan boleh perolehi di pejabat hutan di Ulu Bendul atau Bukit Putus bergantung kepada lokasi permulaan pendakian. Tiada tempahan awal perlu dibuat kecuali ingin membuat pendakian dalam kumpulan yang besar. Permit juga boleh dimohon secara online dan pembayaran hanya boleh dilakukan pada hari Isnin hingga Rabu (8.30 pagi – 4.00 petang) sahaja. Butiran bayaran adalah seperti berikut :
Nombor akaun : 804433398
Nama bank : CIMB Bank
Nama penerima : Bendahari Negeri, Negeri Sembilan
Rujukan : Lokasi pendakian & tarikh pendakian
Contoh : Gunung Angsi & 1/5/2023
Pastikan anda menyemak semua maklumat yang dimasukkan sebelum meneruskan transaksi pembayaran dan cetak resit pembayaran sebagai rujukan sebelum memulakan pendakian.
Selepas mendapat permit, pendakian boleh dimulakan namun perlu membuat pendakian sebelum jam 11.30 pagi. Pendakian selepas jam 11.30 adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran dari pegawai pejabat hutan yang bertugas. Trek di Ulu Bendul juga akan ditutup sekiranya berlaku hujan lebat di malam hari kerana trek akan menjadi licin. Walau bagaimana pun, sebagai alternative pendaki boleh menggunakan trek di Bukit Putus namun bergantung kepada keadaan trek tersebut samada ianya selamat digunakan atau mungkin ditutup sepenuhnya bergantung kepada keadaan trek selepas hujan.