MyDeposit
Pada masa kini, kebanyakan rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana masih belum mampu memiliki rumah pertama oleh kerana harga rumah yang semakin meningkat saban tahun. Kajian menunjukkan sehingga tahun 2014, purata pendapatan seisi rumah di Malaysia adalah sebanyak RM 4,585.00 sebulan. Ini bermakna, anggaran harga sebuah rumah yang mampu dimiliki oleh keluarga berpendapatan sederhana ialah RM 165,000.00. Hal ini sering menjadi kegusaran rakyat Malaysia, malah terdapat beberapa buah negara lain juga turut mengalami isu yang sama. Bagi mengatasi isu ini, beberapa langkah telah diambil oleh pihak kerajaan dengan memperkenal Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit). Skim ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 dengan peruntukan sebanyak RM 25 juta. Kerajaan memberikan sebanyak 10 peratus deposit daripada harga jualan sesebuah rumah atau maksimum RM 30,000 (yang mana lebih rendah) kepada pembeli rumah pertama sahaja.
Sistem Pengurusan Perumahan Negara di bawah Jabatan Perumahan Negara merupakan satu platform buat rakyat memohon skim perumahan yang ditawarkan oleh kerajaan seperti MyDeposit, MyHome. Rumah Transit 1Malaysia, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan SPP. Ia juga bertindak sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab memberi kemudahan permohonan perumahan yang ditawarkan oleh Jabatan Perumahan Negara. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) bagi membantu rakyat yang berpendapatan sederhana memiliki rumah pertama. Skim ini telah diperuntukkan sebanyak RM 200 juta oleh pihak kerajaan sebagai sumbangan deposit pembelian rumah pertama. Ia terbuka kepada semua rakyat yang layak dan skim ini secara rasmi telah diperkenalkan pada 6 April 2016. Tawaran ini terbuka kepada 2,000 pemohon sahaja bermula pada 15 Disember 2017 hingga 15 Februari 2018 sahaja.
Pemohon perlu mengenalpasti projek perumahan yang hendak dibeli terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan MyDeposit. Harga rumah yang hendak dibeli mestilah berharga RM 500,000.00 dan ke bawah. Rumah yang dibeli menggunakan skim ini tidak boleh dipindah milik atau dijual dalam tempoh 10 tahun selepas pembelian. Skim MyDeposit ini merupakan satu bentuk sumbangan atau bantuan kepada pemohon dan tidak perlu dibayar balik kepada kerajaan. Setiap pemohon yang layak menerima sumbangan MyDeposit ini akan diberikan tawaran bersyarat dalam tempoh 30 hari daripada tarikh surat tawaran dikeluarkan. Sekiranyanya pemohon gagal mematuhi syarat yang dikenakan, surat tawaran tersebut akan terbatal dengan sendirinya dan kerajaan tidak akan membuat sebarang bayaran terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh pemohon.
SYARAT DAN KELAYAKAN PERMOHONAN MYDEPOSIT
- Pemohon mestilah berumur 21 tahun dan ke atas dan warganegara Malaysia
- Pembelian merupakan rumah pertama bagi satu isi rumah. Ia merujuk kepada pasangan suami dan isteri atau bujang sahaja. Pasangan suami atau isteri yang telah memiliki rumah rumah adalah TIDAK LAYAK memohon
- Pendapatan isi rumah haruslah di antara RM3,000 sehingga RM15,000 sahaja
KRITERIA PEMBELIAN PROJEK PERUMAHAN YANG DIBENARKAN
- Harga rumah mestilah berharga RM500,000 dan ke bawah dan merupakan projek perumahan yang dibina oleh pemaju perumahan berlesen
- Kelulusan pembelian juga adalah bagi projek perumahan swasta yang tidak mendapat sebarang dana / subsidi atau insentif kerajaan
- Pemohon TIDAK LAYAK menerima bantuan skim ini sekiranya membeli rumah di bawah projek kerajaan seperti projek PPA1M, PR1MA, RUMAWIP, PPR, MyHome dan Rumah Mampu Milik Kerajaan Negeri adalah TIDAK LAYAK dipohon
- Pembelian hanya untuk pembelian rumah baharu sahaja dan rumah subsale “secondary market” adalah tidak dibenarkan
DOKUMEN PERMOHONAN
- Setiap permohonan perlu disertakan dengan dokumen berikut :
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
- Salinan kad pengenalan/sijil kelahiran tanggungan
- Salinan kad OKU/surat pengesahan OKU (Jika berkenaan)
- Salinan sijil nikah/ sijil kematian/ sijil penceraian
- Akuan Bersumpah pengesahan bujang
- Akuan Bersumpah bekerja sendiri/ tidak bekerja
- Surat pengesahan majikan pemohon dan pasangan. Maklumat diperlukan: status perkhidmatan/ perkerjaan, status perkahwinan, gaji bulanan dan tempoh perkhidmatan
- Penyata gaji terkini pemohon dan pasangan
- Salinan penyata KWSP atau penyata cukai pendapatan pemohon dan pasangan
- Pemohon dan pasangan perlu mengemukakan sesalinan CCRIS
- Surat tawaran / pengesahan terkini pembelian rumah daripada pemaju perumahan berlesen
- Surat sokongan dan pengesahan pemimpin tempatan
- Salinan Bil Elektrik / Air kediaman terkini
CARA PERMOHONAN
- Layari laman web Sistem Pengurusan Perumahan Negara di https://sprn.kpkt.gov.my/
- Klik PERMOHONAN BARU dan lengkapkan borang dengan maklumat peribadi pemohon dan klik PENDAFTARAN PERMOHONAN
- Log masuk akaun dan klik tab MYDEPOSIT, klik PERMOHONAN BARU di menu drop-down
- Lengkapkan maklumat di BORANG PERMOHONAN MYDEPOSIT serta muat naik salinan MyKad anda
- Bagi pemohon yang sudah berkahwin, muat naik salinan sijil perkahwinan anda serta lengkapkan maklumat pasangan, tanggungan, lokasi kediaman yang dipilih serta muat naik laporan CCRIS anda dan pasangan
- Setelah semua maklumat lengkap diisi, klik HANTAR bagi menghantar borang permohonan
- Klik SEMAKAN PERMOHONAN di menu drop-down sekiranya ingin menyemak status permohonan anda
Kejayaan kerajaan mewujudkan skim ini memberikan nafas baru kepada golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki sebuah rumah untuk keluarga tersayang.