Pantai Mangkuk Terengganu
Pantai Mangkuk terletak di Setiu, Terengganu memiliki keindahan alam semulajadi yang tiada tandingannya. Ia juga yang terletak berhampiran Pantai Penarik ini belum terusik dengan sebarang projek pembangunan menjadikan ia lokasi pilihan ramai. Angin sepoi – sepoi bahasa yang bertiup serta disulami suria pagi dan senja pastinya memberi keunikan yang tersendiri. Ditambah pula lambaian dedaun kelapa di kiri kanan serta dedaun ru yang berguguran menyerlahkan lagi pemandangan indah di tepian pantai ini. Dedaun kelapa yang meliuk lentuk tatkala ditiup angin bayu Laut China Selatan sangat mendamaikan. Maka tidak hairanlah lokasi Pantai Mangkuk ini sering menjadi tumpuan para pelancong setiap masa. Para pengunjung boleh menyusuri pantai ini seawal pagi bagi menikmati keindahan di Pantai Mangkuk sambil dapat menenangkan fikiran dan jiwa.
Pantai Mangkuk kaya dengan khazanah alam seperti pokok nipah, paya bakau serta port memancing yang terdapat di hujung tanjung iaitu di Kuala Baru. Pokok paya bakau ini menjadi habitat kunang – kunang serta tuntung, oleh sebab itu ia sering menjadi lokasi para penyelidik luar dari China dan Amerika untuk melakukan kajian. Selain itu juga, Pantai Mangkuk sering dikunjungi oleh kaum kerabat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, malah menjadi buruan para penerbit filem kerana lokasinya yang cukup menarik perhatian. Keunikan suasana matahari terbit dan terbenam di Pantai Mangkuk ini memberi keunikan yang cukup berbeza.
Pantai Mangkuk yang berada di Kampung Mangkuk bersama Kampung Penarik merupakan model perkampungan nelayan tradisional kerana kaya dengan kepelbagaian seni, budaya dan warisan yang meliputi kraftangan serta makanan tradisi selain menjadi lokasi pendaratan penyu serta tuntung laut. Suasana dan pemandangan di sini yang begitu indah menjadikan ia tumpuan para penggemar fotografi, videografi serta kru perfileman membuat penggambaran. Pantai Mangkuk memiliki pasir pantai yang halus, bersih dan juga agak lembut. Kawasan persekitarannya agak sunyi, namun mendamaikan. Uniknya pokok kelapa di sini tumbuh tersusun seakan – akan sedang beratur di barisan. Waktu paling menarik di sini adalah sewaktu matahari hampir terbenam kerana pemandangannya begitu menakjubkan.
Antara tarikan lain di sini adalah pengunjung dapat menyaksikan demonstrasi pembuatan makanan tradisi seperti satar, membuat aktiviti mencari lokan dan kepah, program konservasi tuntung laut dan mengunjungi rumah botol.Selain itu, pengunjung juga boleh melihat keunikan seni bina melayu di resort Terrapuri Heritage Village. Sebuah resort yang menempatkan rumah Melayu Terengganu ini berasal dari rumah melayu Kampung Paloh, Manir, Losong dan ianya dinamakan sempena tempat asal rumah tersebut diambil. Ia mengandungi 29 buah rumah serta diilhamkan dari seni bina Melayu abad ke-17 dan dinamakan sebagai Terrapuri Heritage Village yang membawa maksud tersendiri iaitu Terrapuri bermaksud The Land of Palace atau Tanah Istana. Ia juga merupakan projek pemeliharaan dan pemuliharaan rumah Terengganu Melayu klasik yang turut menjadikan beberapa villa sebagai spa, restoran mewah berkonsep tradisional melayu, galeri, villa istirehat serta rumah pantai.
Terrapuri Heritage Village ini berada di antra Laut China Selatan dan juga sungai paya bakau. Memiliki serambi yang sama seperti rumah di Thailand dan Kemboja. Malah, rumah – rumah ini masih mengekalkan ciri asal dan menggunakan kayu cengal sebagai bahan binaan. Uniknya lagi, kesemua rumah ini tidak menggunakan paku dan hanya menggunakan sendi kayu yang dipasak sahaja.
Bagi yang ingin menjamu selera tidak perlu khuatir kerana terdapat pelbagai gerai yang menjual ikan celup tepung (ICT) segar di sini. Selain ikan, terdapat juga sotong, ketam serta udang yang dicelup tepung. Malah, pengunjung juga boleh menikmati air kelapa muda yang menyegarkan.