PeKa B40
Kerajaan telah memperkenalkan satu lagi inisiatif bantuan terhadap rakyat Malaysia yang berumur 40 tahun dan ke atas yang tergolong dalam kumpulan B40 serta berpendapatan rendah. Skim ini merupakan skim bantuan kesihatan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia dikenali sebagai Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40).
Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program PeKa B40 yang diumumkan semasa Belanjawan 2019. Projek perintis ini dianggarkan dapat memberi bantuan kepada 800,000 penerima sebagai permulaan dan ianya adalah percuma kepada penerima PeKa B40. Mereka yang layak adalah terdiri daripada rakyat Malaysia dengan pendapatan seisi rumah 40% terendah yang juga dikenali sebagai golongan B40. Penerima yang layak menerima bantuan B40 adalah berdasarkan kriteria berikut :
- Merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bersama pasangannya yang berdaftar
- Berumur 50 tahun dan ke atas
- Tiada sebarang pendaftaran diperlukan kerana penyertaannya adalah secara automatik
Manfaat Peka B40
Skim ini akan dilaksanakan di seluruh negara mulai 15 April 2019 dengan mendokong matlamat menampung keperluan kesihatan kumpulan berpendapatan rendah dengan tumpuan diberikan terhadap penyakit tidak berjangkit atau NCD. PeKa B40 yang berslogan ‘Lebih PeKa, Lebih Cakna’ diwujudkan oleh pihak kerajaan adalah berdasarkan fakta berikut :
Beban Penyakit Tidak Berjangkit
Sebanyak 47.6% kumpulan B40 yang berumur 50 tahun dan ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit yang belum didiagnosis.
Kesihatan Mental
Seramai 3 daripada 10 orang dewasa menghidapi penderitaan masalah kesihatan mental. Malah, Kumpulan B40 telah mencatat kadar yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 32% berbanding 28% bagi kumpulan bukan B40.
Beban Kanser
Penyakit kanser di negara ini semakin meningkat dan kebanyakannya mula dikesan pada peringkat akhir, dan peluang untuk sembuh adalah sangat rendah.
Rawatan Kanser
Tidak ramai pesakit melengkapkan rawatan kanser di hospital, malah ada yang sudah tenat baru kembali semula ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Peluang untuk sembuh adalah sangat tipis dan turut meningkatkan kos rawatan.
Kos Alat Perubatan
Terdapat sebahagian kos alat perubatan tidak ditanggung oleh kerajaan seperti kos untuk implant tulang belakang, perentak jantung dan sebagainya. Ia akan menambah bebanan kewangan kepada pesakit yang kurang berkemampuan.
Masalah Pengangkutan
Terdapat ramai pesakit yang tidak meneruskan rawatan di hospital kerana kekangan kewangan untuk membayar kos pengangkutan terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman.
Pihak kerajaan akan mengambil data secara automatik daripada maklumat penerima BSH yang berumur 40 tahun dan ke atas untuk direkodkan sebagai penerima skim ini. Walau bagaimana pun, penerima boleh membuat semakan kelayakan samada layak untuk menerima skim bantuan ini di laman web https:// …
Jenis – Jenis Manfaat PeKa B40
Terdapat empat jenis manfaat yang akan diterima oleh penerima bantuan skim ini seperti :
Manfaat 1 : Saringan Kesihatan
Sebelum penerima layak menerima Manfaat Kedua (Bantuan Alat Perubatan), Manfaat Ketiga (Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser) dan Manfaat Keempat (Insentif Tambang Pengangkutan), penerima perlu membuat saringan kesihatan terlebih dahulu. Ia boleh dilakukan di cawangan klinik swasta yang didaftarkan di bawah PeKa B40. Penerima boleh mendapatkan pemeriksaan tersebut secara percuma tanpa perlu berpuasa terlebih dahulu bagi menjalani ujian pemeriksaan tersebut. Hanya dengan membawa MyKad, penerima boleh menjalani ujian tanpa perlu pendaftaran awal. Sekiranya penerima perlu mendapatkan rawatan, mereka perlu merujuk kepada Klinik Kesihatan atau jika inginkan rawatan di klinik swasta, penerima perlu menanggung kos sendiri. Skim PeKa B40 ini tidak menampung sebarang kos rawatan ataupun ubat – ubatan.
Manfaat 2 : Bantuan Alat Perubatan
Bantuan alat perubatan yang diperlukan semasa menjalani rawatan yang tidak mendapat subsidi di hospital kerajaan. Penerima akan diberikan sumbangan maksima sehingga RM 20,000 seumur hidup dan akan diberikan dalam bentuk bantuan alatan perubatan yang terdiri daripada alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, kerusi roda, stent untuk jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang, prostesis dan ortosis tulang anggota, kanta mata intraokular, alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator dan bantuan sokongan nutrisi. Manfaat 2 ini hanya boleh digunapakai sekiranya rawatan di lakukan di hospital KKM sahaja.
Manfaat 3 : Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser
Manfaat Ketiga ini dikhususkan buat pesakit kanser tahap awal mendapatkan pelan rawatan masing – masing seperti mana yang diberikan oleh pakar kanser KKM. Ia melibatkan pemberian insentif sebanyak RM 1000 yang dibayar terus kepada pesakit kanser yang melengkapkan rawatan di hospital kerajaan melalui akaun bank penerima dan dibayar sebanyak dua kali tertakluk kepada peringkat rawatan yang diterima. Perakuan pesakit kanser ini perlu dibuat oleh doktor atau pakar perubatan KKM sahaja.
Manfaat 4 : Insentif Tambang Pengangkutan
Bagi mengurangkan kos pengangkutan ketika mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, penerima layak menerima dengan had maksima bantuan sebanyak RM 500 bagi semenanjung Malaysia dan RM 1000 bagi Sabah / Sarawak / Labuan. Walau bagai mana pun, jumlah insentif ini bergantung kepada jarak antara hospital dan rumah penerima dengan kadar yang telah ditetapkan. Insentif ini hanya diberikan kepada penerima Manfaat 2 (Bantuan Alat Perubatan) atau dan Manfaat 3 (Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser) sahaja. Permohonan bagi Manfaat 4 ini perlu diperakukan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan atau pegawai perubatan yang melakukan rawatan.
Penerima boleh mengajukan sebarang persoalan mengenai skim PeKa B40 ini dengan menghubungi ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, F01 & F02, Tingkat 1, Blok 2300, Century Square, Jalan Usahawan, 63000 Cyberjaya, Selangor atau menghubungi talian 03-2730 7575 atau emel di info@pekab40.com.my.