Permohonan BSH
Pemberian bantuan kepada rakyat oleh kerajaan bagi menampung keperluan hidup telah dilaksanakan sejak tahun 2012. Pada awalnya bantuan ini dikenali dengan nama Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Walau bagaimana pun, nama skim bantuan ini telah dijenamakan semula selepas berlakunya perubahan pemerintahan negara dan dikenali dengan nama Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH).
Semasa pembentangan Bajet 2019, Menteri Kewangan Malaysia, YB Lim Guan Eng telah memaklumkan bahawa bantuan seperti BR1M akan diteruskan dengan menambahbaik skim bantuan sedia ada. Penambahbaikan ini dibuat supaya ia dapat disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah iaitu B40 menerima bantuan sepatutnya bergantung kepada saiz isi rumah.
Bantuan Sara Hidup mensasarkan seramai 4.1 juta isi rumah dan memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM 5 bilion bagi melaksanakan skim bantuan ini. Setiap penerima yang layak menerima bantuan adalah berdasarkan kepada butiran berikut :
- Setiap isi rumah yang berpendapatan bulanan sebanyak RM 2,000 dan ke bawah layak menerima BSH sebanyak RM 1,000 dan bantuan tambahan sebanyak RM 120 untuk setiap orang anak (maksima 4 orang anak sahaja)
- Setiap isi rumah yang berpendapatan bulanan sebanyak RM 2,001 hingga RM 3,000 layak menerima BSH sebanyak RM 750 dan bantuan tambahan sebanyak RM 120 untuk setiap orang anak (maksima 4 orang anak sahaja)
- Setiap isi rumah yang berpendapatan bulanan sebanyak RM 3,001 hingga RM 4,000 layak menerima sebanyak RM 500 dan bantuan tambahan sebanyak RM 120 untuk setiap orang anak (maksima 4 orang anak sahaja)
Kadar bantuan tambahan bagi anak adalah untuk anak yang berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak OKU yang tiada had umur ditetapkan.
Terdapat dua kaedah untuk memohon BSH ini iaitu secara manual atau online.
- Manual
Borang permohonan boleh diperolehi secara percuma di kaunter – kaunter cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Khidmat Hasil LHDN serta Pusat Transformasi Bandar LHDN. Borang permohonan juga boleh didapati di portal rasmi LHDN, iaitu dengan hanya memuat turun borang BK – 01 (1/2019 ). Lengkapkan dengan maklumat yang diperlukan dan kembalikan semula borang tersebut ke mana – mana cawangan LHDN, Pusat Hasil LHDN serta Pusat Transformasi Bandar LHDN.
- Secara Online
Permohonan juga boleh dilakukan secara online dengan melayari portal rasmi BSH iaitu di https://bsh.hasil.gov.my. Malah, anda juga boleh membuat semakan BSH ini menggunakan telefon pintar dengan memuat turun di Play Store atau Apple Store sahaja.
Tatacara permohonan secara online adalah seperti berikut :
- Klik butang PERMOHONAN BARU BSH.
- Lengkapkan maklumat pemohon seperti nombor MyKad, alamat, nombor poskod,
nombor telefon rumah, nombor telefon bimbit, status perkahwinan serta pilih anggaran kasar pendapatan bulanan (RM).
- Bagi status kahwin – pemohon perlu mengisi maklumat pasangan seperti jenis pengenalan diri pasangan samada nombor MyKad atau MyPR atau MyKAS. Masukkan nombor kad pengenalan lama / sijil lahir / nombor passport. Pilih jantina pasangan, anggaran pendapatan kasar bulanan serta tarikh perkahwinan pemohon dan pasangan.
- Bagi status ibu tunggal / balu / janda / duda dan mempunyai anak – pemohon perlu memilih jenis status pasangan samada disebabkan oleh kematian atau penceraian serta isikan tarikh penceraian atau kematian pasangan.
- Bagi maklumat anak – pemohon perlu isikan nombor MyKid / MyKad, nama penuh, umur, status anak samada anak angkat atau anak kandung. Maklumat anak terhad kepada empat (4) orang sahaja yang berumur di bawah 18 tahun kecuali anak OKU.
- Bagi maklumat bank – pemohon perlu melengkapkan maklumat bank dengan tepat bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku. Masukkan nombor akaun bank yang masih aktif. Sekiranya pemohon tidak mempunyai akaun bank yang sah atau pemindahan bantuan tidak dapat dilakukan, pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) akan membuka akaun bank untuk pemohon berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan.
- Dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti sijil kahwin / sijil cerai / sijil lahir anak. Muat naik dokumen tersebut dan klik butang MUAT NAIK. Walau bagaimana pun, muat naik dokumen bukan syarat wajib kerana permohonan akan diproses berdasarkan maklumat yang dikemukakan dan akan disahkan menggunakan data yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
- Bagi maklumat waris – pemohon perlu melengkapkan maklumat waris dengan memasukkan jenis pengenalan waris samada menggunakan MyKad / MyPR / MyKAS / MyKid, kad pengenalan lama, sijil lahir atau passport. Isikan nombor MyKad / MyPR / MyKAS / MyKid, kad pengenalan lama, sijil lahir atau passport. Pilih hubungan pemohon dengan waris samada pasangan / ibu / bapa / anak / adik beradik / cucu. Isikan nombor telefon waris.
- Isikan kod CAPTCHA yang dipaparkan untuk membuat pengesahan dan klik butang SAHKAN CAPTCHA.
- Skrin akan memaparkan maklumat pemohon seperti nama pemohon dan nombor kad pengenalan pemohon, tick di kotak yang disediakan sebagai pengakuan pemohon dan pengesahan.
- Pemohon akan dibawa ke skrin Simpan / Hantar di mana pemohon perlu memilih samada untuk menyimpan atau menghantar maklumat pemohon. Sekiranya pemohon klik butang SIMPAN, data yang dimasukkan akan disimpan di dalam sistem MyBSH. Pemohon boleh membuat sebarang pengemaskinian maklumat sebelum menghantar. Manakala jika pemohon memilih dan klik butang HANTAR, bermakna pemohon telah selesai melengkapkan maklumat di dalam sistem MyBSH.