Permohonan SPA 2018
SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM
Pada tanggal 31 Ogos 1957, bersamaan tarikh keramat Negara iaitu hari Kemerdekaan Tanah Melayu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah ditubuhkan. Pentadbiran Awam Negeri – Negeri Tanah Melayu semasa pentadbiran Inggeris telah membentuk sendiri pemerintahan baru Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan berdaulat. Pada ketika itu, Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Tanah Bersekutu Melayu adalah di bawah pentadbiran Inggeris.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam berfungsi untuk :
PELANTIKAN
- Bertanggungjawab untuk melantik anggota perkhidmatan awam secara tetap, kontrak, sementara, tukar sementara dan pinjaman.
- Berkuasa untuk menamatkan perkhidmatan mana – mana anggota perkhidmatan awam mengikut syarat pelantikan.
PENGESAHAN DALAM PERKHIDMATAN
- Bertanggungjawab mengesahkan perkhidmatan anggota perkhidmatan awam, membuat pelanjutan tempoh percubaan, menempatkan kakitangan awam ke jawatan asal dan menamatkan perkhidmatan kerana gagal disahkan dalam jawatan.
PEMBERIAN TARAF BERPENCEN
- Bertanggungjawab menguruskan pemberian taraf berpencen kepada anggota perkhidmatan awam yang telah disahkan dalam perkhidmatan
PERTUKARAN
- Bertanggungjawab menukar dari satu skim ke satu skim perkhidmatan yang lain dan
berkuasa menukar pegawai – pegawai yang dilantik secara pertukaran sementara dan
pinjaman
KENAIKAN PANGKAT
- Bertanggungjawab dalam kenaikan pangkat anggota perkhidmatan awam dari suatu gred ke gred jawatan yang lebih tinggi.
KAWALAN TATATERTIB
- Bertanggungjawab terhadap tindakan tatatertib yang bertujuan turun pangkat atau buang kerja ke atas anggota perkhidmatan awam yang bermasalah.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam melaksanakan sistem pengambilan sepanjang masa di mana permohonan jawatan boleh dibuat secara online pada bila – bila masa sahaja sepanjang tahun. Sistem secara online yang digunapakai sejak tahun 1997 begitu memudahkan para pemohon untuk membuat permohonan serta pengemaskinian manakala bagi pihak SPA pula ia memudahkan pengurusan tapisan, penyenaraian calon, penjadualan temuduga, penentuan tempat temuduga dan tawaran jawatan.
Senarai jawatan yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam adalah berdasarkan kelayakan berikut :
- Ijazah / Sarjana / PhD
- Diploma / STP / STPM / STAM / HSC
- Sijil Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia
- SPM / SVM / SKM / Sijil
- SRP / PMR / PT3
- Kelayakan Bakat
- Latihan Separa Perubatan
Tempoh sah laku permohonan jawatan adalah selama satu tahun sahaja. Walaubagaimanapun, pemohon boleh memperbaharui permohonan setelah tamat tempoh permohonan. Permohonan jawatan adalah dibenarkan sebanyak lima belas jawatan berdasarkan kelayakan akademik pemohon.
Pihak SPA juga telah menetapkan bahawa permohonan jawatan adalah terhad kepada One Step Lower di mana :
- Permohonan di peringkat Ijazah hanya boleh dimohon oleh calon yang mempunyai Ijazah sahaja
- Pemohon yang mempunyai Ijazah hanya boleh memohon jawatan di peringkat Ijazah sahaja
- Permohonan di peringkat Ijazah dan Dipoma / STPM / STAM hanya boleh dimohon oleh calon yang mempunyai Ijazah dan Diploma / STPM / STAM sahaja
- Permohonan di peringkat Diploma / STPM / STAM, SPM dan Latihan Separa Perubatan hanya boleh dimohon oleh calon yang mempunyai Diploma / STPM / STAM sahaja
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan kerjasama MAMPU telah membangunkan satu aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai mySPA8i dan MySPAv2 bagi kemudahan para pemohon mengakses melalui telefon bimbit sahaja. Aplikasi ini meliputi modul seperti :
- Pendaftaran MyID
- Reset Kata Laluan
- Maklumat Pemohon
- Maklumat Akademik
- Maklumat Korikulum
- Maklumat Tambahan
- Pegawai Sedang Berkhidmat
- Jawatan Dipohon
- Pengakuan Pemohon
- Semakan MyID
- Jadual Temuduga
- Jadual Peperiksaan
- Keputusan Temuduga
- Keputusan Peperiksaan
- Berita Terkini
- Pertanyaan SPA
CARA MEMOHON JAWATAN
- Pemohon yang ingin memohon jawatan dalam kerajaan perlu membuat permohonan secara online di portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam iaitu http://www.spa.gov.my dan klik pada butang Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i).
- Pemohon yang ingin membuat permohonan kali pertama perlu mencipta ID akaun terlebih dahulu dan klik butang Daftar Akaun Baru.
- Lengkapkan maklumat yang berkaitan seperti Kata Laluan / Soalan Keselamatan, Maklumat Pemohon, Maklumat Akademik, Maklumat Ko-Kurikulum, Pegawai Sedang Berkhidmat, Maklumat Tambahan, Jawatan Dimohon, Pengakuan Pemohon dan Semakan Permohonan
- Pemohon pada bila – bila masa boleh membuat semakan permohonan serta mengemaskini maklumat berkaitan
Pihak SPA bertanggungjawab memulakan sesi pengambilan anggota perkhidmatan baru bagi sesuatu jawatan sebaik sahaja menerima permohonan daripada mana – mana Kementerian / Jabatan / Kerajaan Negeri yang berkenaan bagi mengisi jawatan tersebut. Kekosongan jawatan yang terdapat di mana – mana Kementerian / Jabatan / Kerajaan Negeri perlu dimaklumkan segera kepada SPA supaya SPA boleh melaksanakan sesi pengambilan untuk jawatan tersebut. Bagi memenuhi keperluan, sesebuah Kementerian / Jabatan perlu menyatakan secara spesifik keperluan khusus atau skop khas yang perlu ada pada seseorang calon. Setiap urusan pengambilan bagi sesuatu jawatan mestilah tidak melebihi dua kali setahun dan Kementerian / Jabatan perlu membuat perancangan yang sebaiknya bagi urusan pengambilan anggota perkhidmatan yang baru.
Setiap permohonan calon akan disimpan di dalam bank data SPA dan tempoh sah laku adalah selama satu tahun. Pemohon perlu memperbaharui permohonan sekiranya masih berminat untuk memohon jawatan dalam perkhidmatan awam selepas setahun.
SPA akan membuat tapisan senarai pendek untuk memastikan calon – calon yang layak sahaja dipanggil untuk sesi temuduga. Tapisan ini dilakukan sekiranya jumlah calon memohon melebihi jumlah kekosongan jawatan yang hendak diisi. Salah satu tapisan yang digunakan adalah dengan menjalani ujian saringan. Kaedah ini digunakan untuk calon Akauntan, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Pegawai Hal Ehwal Islam, jawatan bakat seperti , Artis Budaya, Pegawai Kebudayaan, Penerbit Rancangan, Guru Bahasa, Ahli Muzik, Ahli Fotografi dan Pereka, Pembantu Setiausaha Pejabat, Pembantu Tadbir, Pegawai Keselamatan, Pegawai Penguatkuasa, Penguasa Penjara, Penguasa Bomba dan perkhidmatan separa perubatan.
Calon – calon yang berjaya melepasi ujian saringan akan dipanggil temu duga. Sesi temuduga akan diadakan di SPA semua ibu negeri di Semenanjung Malaysia serta beberapa tempat di Sabah dan Sarawak. Calon yang layak akan ditemuduga di cawangan SPA pilihan atau yang berhampiran dengan alamat calon. Setiap calon berpeluang untuk dipertimbangkan dalam sesuatu urusan pengambilan dan hanya calon yang benar – benar layak sahaja yang akan ditempatkan di dalam perkhidmatan awam.