Populasi di Malaysia (2022)
Terletak di Asia Tenggara, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum di mana penduduknya mempunyai budaya dan keunikan tersendiri. Sejak beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah mengalami pertumbuhan penduduk yang signifikan, seiring dengan perkembangan dalam pelbagai bidang. Populasi sesebuah negara dapat menjadi salah satu faktor dalam mengukur kejayaan dan pertumbuhan negara tersebut.
Setakat tahun 2022, populasi di Malaysia dilaporkan telah mencecah lebih daripada 33 juta orang di mana 17,036,331 adalah lelaki dan 16,144,748 daripada jumlah tersebut adalah perempuan. Jumlah penduduk itu merangkumi 30.4 juta warganegara dan 2.6 juta bukan warganegara. Negeri Selangor mencatatkan jumlah penduduk tertinggi iaitu 21.6 peratus, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (10.4 peratus).
Kerajaan Malaysia mengambil pelbagai inisiatif dalam meningkatkan kadar kelahiran seperti menambah baik kelebihan cuti bersalin dan mengadakan program perkahwinan secara beramai-ramai. Inisiatif-inisiatif ini terbukti keberkesanannya apabila populasi di Malaysia meningkat saban tahun. Pada tahun 2022, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi dengan 21,384 kelahiran. Sebagai sebuah pulau yang kecil di Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan kelahiran terendah iaitu 362 kelahiran.
Selain daripada memastikan kadar kelahiran meningkat, kerajaan juga berperanan dalam memastikan jumlah kematian menurun. Sebagai salah satu langkah mencapai target tersebut, kerajaan telah memajukan sektor kesihatan dengan membina lebih banyak hospital terutamanya luar bandar, membekalkan ubatan yang mencukupi, dan banyak lagi. Pada tahun 2022, kadar kematian mencatatkan penurunan sebanyak 10.2 peratus berbanding tahun 2021.
Kepentingan Perkembangan Populasi
Perkembangan populasi dapat melahirkan lebih ramai generasi baharu yang berdaya saing dalam memajukan negara. Tenaga kerja yang berkualiti boleh meningkatkan penghasilan produk tempatan sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat. Dari segi adat dan budaya, perkembangan populasi juga dapat memelihara adat dan budaya sesebuah kaum agar tidak lapuk ditelan zaman.
Cabaran Meningkatnya Populasi
Walaubagaimanapun, perkembangan populasi boleh menjadi sesuatu yang memberi kesan buruk tanpa perancangan yang teratur. Salah satu daripadanya ialah akses kepada kepentingan asas seperti sumber makanan, air, perumahan, dan pendidikan. Populasi yang meningkat secara tidak langsung akan mengurangkan sumber asas dan menyebabkan keperluan asas ini sukar dipenuhi. Saingan dalam peluang kerjaya juga akan menjadi semakin sengit jika pertumbuhan ekonomi tidak seimbang dengan peningkatan populasi.
Kesimpulan
Populasi di Malaysia pada tahun 2022 mencerminkan kejayaan negara dalam pembangunan ekonomi dan sosial. Perkembangan populasi amat penting sebagai pengukur kejayaan negara. Namun, perancangan yang teliti juga perlu dititikberatkan agar cabaran perkembangan populasi dapat dielakkan dan negara kita akan menjadi semakin maju.