Program Sarapan Pagi

Setiap hari, ramai di kalangan pelajar terutama pelajar sekolah rendah hadir ke sekolah tanpa mengalas perut terlebih dahulu dengan sarapan pagi. Hal ini menyebabkan para pelajar kurang bertenaga dan tidak fokus semasa di dalam kelas kerana perut yang kosong boleh mengganggu tumpuan pelajar. Menyedari isu ini sering dihadapi oleh para pelajar, Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuat pengumuman yang begitu positif serta memberangsangkan buat para pelajar iaitu dengan memperkenalkan Program Sarapan Percuma buat para pelajar sekolah rendah.

Tujuan utama program ini diperkenalkan adalah supaya para pelajar yang hadir ke sekolah sentiasa cergas, aktif serta sihat. Malah, pelajar yang mengambil sarapan pagi akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran di dalam kelas. Pelajar juga akan memberi lebih perhatian serta bersemangat untuk menyertai setiap aktiviti yang dilakukan oleh para guru. Usaha murni KPM ini menunjukkan keprihatinan kerajaan supaya para pelajar mendapat pemakanan seimbang melalui menu yang disediakan oleh pihak sekolah. Setiap sarapan pagi yang disediakan adalah percuma buat para pelajar sekolah rendah dan program ini akan mula dilaksanakan menjelang sesi persekolahan tahun 2020. Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana menu yang disediakan adalah berkhasiat dan berkualiti kerana setiap menu adalah berdasarkan nasihat dari pakar pemakanan daripada universiti – universiti tempatan dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Program Sarapan Percuma (PSP) ini mirip Rancangan Makanan Tambahan (RMT), namun telah ditambahbaik bagi melaksanakannya. Selain menyediakan menu yang bernutrisi tinggi dan berkualiti, menu yang disediakan juga adalah mematuhi syariat Islam serta menu yang tidak menyentuh sensitiviti sesetengah kaum di Malaysia.

Program ini juga dilihat sebagai salah satu cara mudah melatih kesedaran sivik yang tinggi secara tidak langsung kepada pelajar kerana setiap pelajar perlu mengemas semula tempat makan mereka setelah selesai bersarapan pagi. Hubungan para pelajar dengan guru sekolah juga dapat dipertingkatkan kerana semasa program sarapan pagi ini berlangsung, para pelajar akan makan bersama – sama guru sekolah. Ia dapat mengeratkan jalinan mesra antara guru dan pelajar.

Bagi menjayakan program ini, kerajaan bercadang untuk menggunakan hasil daripada percukaian gula yang dikenakan. Namun, ia tertakluk kepada keputusan kabinet terlebih dahulu. Program ini juga akan memberi manfaat kepada hampir 2.7 juta pelajar sekolah rendah yang bersekolah di sekolah bantuan penuh kerajaan dan bantuan kerajaan. Namun, program ini tidak dilaksanakan kepada pelajar pra sekolah dan sekolah menengah. Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan akan sentiasa memastikan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memantau program ini bermula dari segi penyediaan makanan serta cara dihidangkan supaya menu yang dihidangkan berkualiti, selamat dimakan serta memiliki nutrisi yang bagus untuk kesihatan para pelajar.

Dr Maszlee Malik berharap dengan adanya program sarapan pagi percuma ini akan menarik perhatian pelajar untuk lebih fokus dan memberi perhatian sepenuhnya semasa di dalam kelas. Malah, mood para pelajar akan menjadi lebih ceria serta positif dan memudahkan otak pelajar menerima ilmu yang disampaikan oleh para guru. Hanya 30 minit sahaja dibenarkan bagi melaksanakan program sarapan percuma ini. Bagi sesi pagi, ia akan dimulakan pada jam antara 7.00 pagi hingga 8.30 pagi dan bagi sesi petang pula ia akan dimulai antara 12.00 tengahari hingga 4.00 petang. Sarapan percuma ini diberikan kepada setiap pelajar tanpa mengira status serta pendapatan kedua – dua ibu bapa pelajar.