Program Sarapan Percuma (PSP)
Program Sarapan Percuma (PSP) 2020 Untuk Pelajar Sekolah Rendah
Kerajaan pada hari ini menerusi Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik telah membuat pengumuman mengenai Program Sarapan Percuma (PSP) 2020 untuk semua pelajar sekolah rendah kerajaan serta sekolah bantuan kerajaan. Program ini yang dilihat sebagai satu inisiatif positif kepada para pelajar dan akan dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun 2020 iaitu mulai bulan Januari. Ia juga bagi memastikan setiap pelajar yang hadir ke sekolah agar terus kekal cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan dan fokus kepada pembelajaran di dalam kelas setiap hari. Kesemua para pelajar yang berada di sekolah rendah kerajaan serta bantuan kerajaan adalah layak menikmati sarapan percuma ini.
Peruntukan yang diperlukan untuk menjayakan program ini adalah dianggarkan sekitar RM 2 bilion hingga RM 3 bilion setahun dengan sasaran seramai 2.7 juta pelajar bagi menyediakan hidangan yang berkualiti. Kerajaan juga bercadang untuk menggunakan dana dari cukai gula dan perkara ini akan diteliti dengan lebih terperinci dalam satu Jawatankuasa Khas sebelum memulakan PSP ini. Program ini diwujudkan atas keprihatinan kerajaan untuk menyediakan makanan yang berkhasiat kepada para pelajar supaya dapat memulakan hari persekolahan dengan lebih baik. Disamping itu juga, penyediaan makanan adalah berdasarkan nilai kalori serta amalan pemakanan seimbang bagi memastikan setiap pelajar mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan sarapan setiap hari. Ia juga sangat penting bagi proses tumbesaran pelajar. Para pelajar akan dapat menikmati sarapan pagi ini mulai jam antara 7.00 pagi hingga 8.30 pagi (sesi pagi) dan mulai jam antara 12.00 tengahari hingga 4.00 petang (sesi petang). Ia akan dilaksanakan selama 30 minit sahaja.
Program Sarapan Percuma (PSP) ini akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan penyediaan makanan akan dikendalikan oleh pihak kantin di sekolah. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah memperuntukkan sebanyak RM2.50 bagi seorang pelajar, dan bagi menjayakan program ini, dianggarkan sebanyak RM6.75 juta diperlukan sehari sebagai penyediaan menu sarapan pagi bagi 2.7 juta pelajar. Menu yang disediakan adalah berdasarkan pengesyoran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pakar pemakanan dan diet daripada beberapa universiti tempatan bagi menjamin kualiti sarapan yang disediakan adalah bersesuaian dengan pelajar sekolah rendah. Selain menyediakan sarapan yang seimbang dan berkhasiat, setiap menu mestilah halal dan isu sensitiviti kaum juga akan dititikberatkan bagi menghormati kaum lain.
KPM juga telah memulakan projek rintis PSP di beberapa buah sekolah mulai awal bulan Ogos 2019 dan dijangka berakhir pada bulan Oktober 2019. Projek rintis ini bagi menentukan pendekatan yang sesuai bagi melaksanakan PSP dengan lebih baik dan menyeluruh. PSP ini dilihat sebagai salah satu proses Pendidikan sivik serta disiplin yang boleh diterapkan ke dalam diri pelajar. Selain dapat menikmati makanan percuma, pelajar juga disarankan untuk membasuh tangan sebelum dan selepas makan. Malah, mereka juga perlu mengemas sendiri selepas makan. Para pelajar juga perlu makan bersama – sama guru dan ini sebagai salah satu cara mewujudkan hubungan mesra antara guru dan pelajar. PSP ini juga diwujudkan agar para pelajar tidak kelaparan semasa sesi pembelajaran bermula.
Setiap pelajar sekolah rendah akan menerima sarapan percuma ini dan ianya tidak terhad kepada pelajar yang berasal dari keluarga B40 sahaja. Walau bagaimana pun, program ini tidak melibatkan pelajar di peringkat pra sekolah dan sekolah menengah.