SKIM AIR DARUL EHSAN
PERMOHONAN AIR PERCUMA SELANGOR 2019 : SKIM AIR DARUL EHSAN
Sejak 1 Jun 2008, kerajaan negeri Selangor telah memperkenalkan Program Pemberian Air Percuma kepada rakyat di negeri itu. Namun, pada 27 September 2019 yang lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjenamakan semula program tersebut yang dikenali sebagai Skim Air Darul Ehsan dan akan berkuatkuasa mulai 1 Mac 2020. Keputusan menjenamakan semula program ini adalah kerana peningkatan jumlah penduduk Selangor setiap tahun telah memberi impak yang besar terhadap kewangan negeri.
Justeru, Skim Air Darul Ehsan ini mensasarkan golongan berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM 4,000 dan ke bawah serta diberikan kepada pengguna domestik yang memiliki meter individu sahaja. Bagi pengguna yang tinggal di pangsapuri kos rendah serta memiliki meter pukal, syarat yang dikenakan adalah sama, namun permohonan mestilah mendapat pengesahan dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). Walau bagaimana pun, setiap permohonan terhad kepada satu akaun air atau premis sahaja.
Skim ini adalah untuk membantu golongan yang memerlukan selain menjamin peruntukan subsidi yang dibelanjakan oleh kerajaan disasarkan kepada perkara yang tepat sahaja. Program ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakannya seperti kerjasama dari pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat daerah, ketua kampung atau penghulu, JMB dan persatuan penduduk dalam memberikan penerangan berhubung pelaksanaan program ini.
Permohonan boleh dibuat online dengan memuat turun borang yang boleh diperolehi daripada laman web rasmi di www.airselangor.com, www.ssipr.selangor.gov.my, kaunter – kaunter perkhidmatan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta Pusat Khidmat Masyarakat di seluruh negeri Selangor. Borang yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan di mana – mana kaunter perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor atau emel kepada iprair@airselangor.com. Pendaftaran dibuka mulai 30 September 2019 hingga 31 Disember 2019 dan semua data pemohon serta pengesahan akan dibuat melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Proses semakan hanya akan dilakukan setelah tarikh tutup permohonan dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan selewat – lewatnya pada penghujung bulan Februari 2020. Sekiranya tempoh pendaftaran telah pun tamat, pemohon hanya boleh membuat permohonan sebaik sahaja pendaftaran dibuka semula dan ianya tertakluk kepada tarikh yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Pada masa kini, 1.6 juta rakyat yang sedang menikmati 20 meter padu bekalan air percuma akan terus menikmati keistimewaan ini sehingga 29 Februari 2020. Program Pemberian Air Percuma ini sehingga Disember 2018 telah menelan belanja sebanyak 1.8 bilion bagi menjayakan program ini. Namun, pada tahun 2019, kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sehingaa RM 220 juta bagi membantu rakyat menerima air percuma.
Syarat Kelayakan Penerima Bantuan Skim Air Darul Ehsan adalah seperti berikut :
- Pemohon atau pasangan mestilah merupakan warganegara Malaysia dan menetap di negeri Selangor
- Berpendapatan sebanyak RM 4,000 dan ke bawah bagi pendapatan isi rumah (suami dan isteri atau bujang/tiada pasangan.
- Premis memiliki meter individu atau meter pukal bagi rumah pangsapuri kos rendah
- Pemohon yang tinggal di pangsapuri kos rendah dan menerima bekalan air melalui meter pukal mestilah mendapat pengesahan dari Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB)
- Pemohon layak memohon satu akaun untuk satu premis sahaja
Bagi yang sedang menerima bekalan air percuma 20 meter padu setiap bulan, mereka masih boleh menikmati keistimewaan ini sehingga 29 Februari 2020. Namun, pemohon perlu membuat permohonan yang baharu dan sekiranya permohonan adalah berjaya pemohon akan menerima bekalan air percuma mulai 1 Mac 2020. Sila layari laman web rasmi di www.airselangor.com atau hubungi talian 15300 sekiranya inginkan maklumat lanjut mengenai skim bantuan ini.