Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Berhad) adalah sebuah syarikat yang telah ditubuhkan bagi mengatasi kesukaran yang dialami oleh golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki rumah kediaman sendiri. Ia merupakan sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan dan telah diperbadankan pada 6 Disember 2007. SJKP Berhad juga telah melantik syarikat Prokhas Sdn Bhd bagi melaksanakan operasi harian. Skim bantuan yang diperkenalkan ini membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tiada pendapatan tetap mampu memiliki rumah sendiri. 

SJKP Berhad bersama institutsi kewangan di Malaysia telah mencapai kata sepakat serta persetujuan untuk sama – sama terlibat dalam menyediakan kemudahan pembiayaan yang dijamin oleh pihak Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi para pemohon yang layak. Walau bagaimana pun, pemohon mestilah memiliki keupayaan untuk membuat pembayaran balik bagi pembiayaan perumahan yang disediakan meskipun mereka tidak memiliki bukti pendapatan yang diterima setiap bulan. Bank Muamalat turut melancarkan skim pembiayaan Smart Mortgage-SJKP dengan peruntukkan sebanyak RM70 juta kepada para pelanggannya di mana mereka akan menikmati pembiayaan sehingga 100% harga belian. Skim ini adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Tempoh pembiayaan perumahan di bawah skim ini sama seperti institusi kewangan lain iaitu sehingga 35 tahun atau sehingga peminjam berumur 65 tahun atau mana-mana yang terdahulu.

Bagi yang berminat untuk memohon skim ini boleh berhubung terus dengan mana-mana cawangan institusi-institusi kewangan yang terdekat yang menyertai SJKP.

Syarat-syarat Permohonan SJKP

  • Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas
  • Pembelian kali pertama rumah kediaman untuk rumah samada kos rendah / sederhana / mampu milik
  • Memiliki pendapatan tidak tetap seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, nelayan dan lain – lain
  • Sekiranya berpendapatan tetap ia tertakluk kepada RM 200 juta yang pertama sahaja
  • Kaedah pinjaman bersama adalah dibenarkan
  • Memiliki pendapatan purata kasar sebulan minima RM 1,000 
  • Pembelian rumah kediaman baru atau dalam pembinaan atau sedia ada atau lelongan
  • Kadar bayaran bulanan kesemua pinjaman mestilah tidak melebihi 65% daripada pendapatan kasar
  • Ia hanya sah untuk pembelian rumah kos rendah / sederhana / mampu biaya sama ada sedang dibina atau telah siap, rumah sedia ada daripada penjual atau lelongan. Walau bagaimana pun, SJKP Berhad tidak menjamin pembiayaan membina rumah di atas tanah sendiri.
  • Jumlah pembiayaan maksima adalah sehingga RM 300,000.00
  • Kadar faedah adalah berdasarkan Kadar Asas Pinjaman Asas (BLR) / Kadar Pembiayaan Asas (BFR) institusi kewangan yang menawarkan pinjaman
  • MRTA / MRTT adalah wajib
  • Deposit mandatori adalah bersamaan dengan 3 bulan bayaran bulanan
  • Mesti tinggal di dalam lingkungan 20km dari cawangan institusi kewangan pembiayaan
  • Memiliki rekod tunggakan CCRIS yang bersih atau tunggakan kurang dari 2 bulan bagi tempoh 12 bulan terkini
  • Tidak memiliki rekod negatif lain bagi tempoh 24 bulan terkini

 

Proses Permohonan SJKP

Proses permohonan pembiayaan perumahan di bawah skim ini adalah seperti berikut:

  • Pemohon perlu mengenalpasti rumah yang ingin dibeli serta dapatkan dokumen yang berkaitan seperti draf perjanjian jual beli atau resit bayaran tempahan
  • Pemohon perlu mendapatkan surat pengesahan pendapatan daripada individu yang dibenarkan (Pegawai Kerajaan Kategori A, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu atau wakil yang terpilih). Surat pengesahan tersebut perlu menyatakan nama, nombor kad pengenalan, sumber pendapatan, purata pendapatan bulanan, tempat perniagaan dan tempoh perniagaan
  • Sekiranya kedua – dua pasangan suami isteri memiliki sumber pendapatan yang berasingan, adalah perlu untuk mendapatkan dua surat pengesahana berasingan 
  • Untuk kakitangan yang mempunyai gaji bulanan, slig gaji dan penyata EPF adalah diperlukan
  • Dokumen sokongan sumber pendapatan seperti penyata akaun simpanan, kad pendaftaran nelayan, lesen perniagaan, atau geran rumah / tanah (untuk aktiviti pertanian) atau dokumen sokongan lain bagi aktiviti jual beli
  • Semua dokumen yang dinyatakan perlu dibawa bersama semasa membuat permohonan pembiayaan perumahan di mana-mana cawangan institusi kewangan yang menyertai skim jaminan ini

Senarai Institusi Kewangan  

 

Institusi kewangan yang tersenarai dalam skim ini adalah seperti berikut : 

  • Affin Bank
  • Affin Islamic
  • Agro Bank
  • Alliance Bank
  • Alliance Islamic Bank
  • AmBank Group
  • AmIslamic Bank
  • Bank Islam
  • BSN
  • Bank Rakyat
  • Hong Leong Bank
  • Hong Leong Islamic Bank
  • Maybank
  • Maybank Islamic
  • Bank Muamalat

 

Permohonan dibuat secara terus melalui cawangan institusi kewangan yang turut serta serta dalam skim ini dan permohonan bukan dibuat terus ke pejabat SJKP Berhad. Pemohon tidak perlu ke pejabat SJKP Berhad dan SJKP tidak melantik sebarang ejen atau wakil pihak ketiga bagi membuat urusan pembelian rumah di bawah skim ini. Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut berkaitan Skim Jaminan Kredit Perumahan ini, anda boleh menghubungi talian 03-2096 5000 atau layari laman web http://www.sjkp.com.my