Skim MySalam
Kerajaan Pakatan Harapan telah memperkenalkan skim perlindungan kesihatan nasional yang dikenali sebagai skim mySalam. Ia merupakan inisiatif pihak kerajaan bagi memberi perlindungan kesihatan takaful secara percuma kepada warga Malaysia seramai 3.8 juta individu kumpulan B40. Kumpulan sasaran ini juga merupakan penerima bantuan kerajaan iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 yang berumur 18 hingga 55 tahun beserta pasangan mereka. Skim perlindungan kesihatan ini dijayakan secara usahasama bersama syarikat insurans Great Eastern Holdings yang turut menyumbang dana caruman sebanyak 2 billion sebagai permulaan dalam dana amanah mySalam. Kerjasama ini dilihat sebagai salah satu contoh model Kerjasam Awam Swasta (Public Private Partnership) yang membina rangkaian perlindungan social yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Syarikat Great Eastern Takaful Berhad merupakan pengendali insurans takaful yang berdaftar di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 serta dikawal selia oleh pihak Bank Negara Malaysia. Bagi penerima yang layak mendapat perlindungan kesihatan ini, mereka akan dimaklumkan melalui perkhidmatan SMS. Skim ini memberi perlindungan sehingga RM 8,000 sekiranya mereka disahkan menghidapi salah satu penyakit daripada 36 jenis penyakit kritikal yang tersenarai seperti penyakit jantung, kanser, distrofi otot, Alzheimer serta banyak lagi.
Selain itu, skim ini turut menyediakan bayaran gantian pendapatan sebanyak RM 50 sehari dengan tempoh maksimum 14 hari atau maksimum RM 700 setiap tahun bagi mereka yang sedang menerima rawatan di mana – mana hospital kerajaan. Pihak pengurusan skim ini akan memproses segala bentuk bayaran tuntutan dan wang tuntutan akan dikreditkan terus ke akaun penerima seperti yang telah didaftarkan semasa permohonan skim Bantuan Sara Hidup Rakyat.
Senarai 36 Penyakit Kritikal
36 jenis penyakit yang layak menerima bantuan ini adalah seperti berikut :
- Penyakit Alzheimer / Demensia Teruk
- Angioplasti dan rawatan invasif lain untuk penyakit arteri koronari
- Meningitis Bakteria
- Tumor Otak Benign
- Buta – Kekal dan Tidak Boleh Pulih
- Pembedahan Otak
- Kanser
- Kardiomiopati
- Anemia Aplastik Kronik – Mengakibatkan Kegagalan Kekal Sumsum Tulang
- Koma
- Pembedahan Pintasan Arteri Koronari
- Pekak – Kekal dan Tidak Boleh Pulih
- Ensefalitis
- Kegagalan Hati Tahap Akhir
- Penyakit Paru-Paru Tahap Akhir
- AIDS Dengan Gejala Penuh
- Hepatitis Viral Fulminan
- Serangan Jantung
- Pembedahan Injap Jantung
- Jangkitan HIV Melalui Transfusi Darah
- Kegagalan Buah Pinggang – Memerlukan Dialisis atau Transplan Buah Pinggang
- Kehilangan Upaya Hidup Sendiri (Berdikari)
- Hilang Keupayaan Bertutur
- Trauma Kepala Major (Teruk)
- Transplan Organ Utama/Sumsum Tulang
- Penyakit Neuron Motor
- Sklerosis Multipel
- Distrofi Otot
- Kelumpuhan Anggota
- Penyakit Parkinson
- Hipertensi Arteri Pulmonari Primer – Keterukan Tertentu
- Penyakit Arteri Koronari Serius
- Strok/Angin Ahmar
- Pembedahan Aorta
- Lupus Eritematosus Sistemik Dengan Komplikasi Buah Pinggang Yang Teruk
- Kelecuran Tahap Ketiga – Keterukan Tertentu
Bagi membuat tuntutan untuk penyakit kritikal dan tuntutan hospitalisasi, cara membuat tuntutan adalah seperti berikut :
- Tuntutan Penyakit Kritikal
- Layari laman web www.mysalam.com.my dan log masuk akaun menggunakan nombor kad pengenalan. Masukkan kata laluan seperti mana yang telah dihantar melalui SMS
- Klik butang muat turun borang dan muat turun borang Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor, berdasarkan jenis penyakit kritikal
- Berjumpa dengan doktor atau pegawai perubatan yang merawat anda bagi melengkapkan borang Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor
- Setelah mendapatkan pengesahan doktor, klik butang Tuntutan dan kemudian klik butang penghantaran tuntutan. Klik butang Tuntutan Penyakit Kritikal yang terdapat di bahagian bawah laman web
- Masukkan maklumat yang dipohon serta klik butang muat naik bagi memuat naik dokumen dalam format *.pdf ataupun *.jpeg. Antara dokumen yang perlu dimuat naik adalah :
- a) Borang Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor
- b) Salinan dokumen pengenalan seperti kad pengenalan (muka hadapan dan belakang
kad pengenalan)
- Klik butang Hantar bagi melengkapkan proses tuntutan
Tuntutan Hospitalisasi
- Layari laman web www.mysalam.com.my dan log masuk akaun menggunakan nombor kad pengenalan. Masukkan kata laluan seperti mana yang telah dihantar melalui SMS
- Klik butang Tuntutan, dan klik pula pada ikon Penghantaran Tuntutan. Skrol di bahagian bawah, dan klik butang Tuntutan Hospitalisasi
- Masukkan maklumat yang dipohon serta klik butang muat naik bagi memuat naik dokumen dalam format *.pdf ataupun *.jpeg. Antara dokumen yang perlu dimuat naik adalah :
- a) Salinan nota discaj hospital
- b) Salinan dokumen pengenalan seperti kad pengenalan (muka hadapan dan belakang kad pengenalan)
- Klik butang Hantar bagi melengkapkan proses tuntutan
Bagi memproses kedua – dua jenis tuntutan ini, anggaran masa adalah selama sepuluh (10) hari bekerja setelah kesemua dokumen tuntutan lengkap diterima. Sekiranya dokumen yang dihantar tidak lengkap, anggaran masa untuk memproses dokumen adalah lebih lama sehingga dokumen yang dihantar benar – benar telah lengkap bagi meneruskan proses tuntutan. Anda boleh menyemak status tuntutan di portal rasmi mysalam. Sebarang keputusan samada tuntutan diluluskan atau tidak akan dihantar melalui SMS dan maklumat ini juga boleh diakses melalui laman web mySalam.
Skim perlindungan kesihatan mySalam merupakan skim patuh – Syariah kerana produk ini diuruskan berdasarkan konsep serta prinsip – prinsip Syariah. Skim mySalam ini pada mulanya hanya dihadkan kepada hospital kerajaan sahaja, namun kini ia telah diperluaskan ke hospital perubatan universiti dan hospital tentera juga. Ia bertujuan memudahkan mereka yang terbabit mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Senarai lengkap hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera yang tersenarai boleh disemak melalui laman web mySalam bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan.
Anda yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghantarkan sebarang soalan serta kemusykilan kepada info@mysalam.com.my atau secara talian di nombor telefon 1300-888-938 yang beroperasi selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.