SSPN1M
Dunia hari ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Tambahan pula, dunia pendidikan semakin mencabar dan semakin ramai anak – anak yang akan melangkah serta meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, tidak semua ibu bapa mampu memberikan pendidikan yang terbaik buat anak – anak kerana masalah kekurangan wang untuk pembiayaan pelajaran mereka. Malah, bantuan biasiswa juga agak sukar diperolehi kerana agak ramai pelajar yang begitu cemerlang di masa kini.
Persaingan antara satu sama lain agak tinggi dan berkemungkinan yang kurang cemerlang sukar mendapat biasiswa. Oleh sebab itu, para ibu bapa perlu membuat perancangan awal serta rapi terhadap kewangan keluarga terutama dalam isu pendidikan anak supaya dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
SSPN1M merupakan Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1 Malaysia yang telah melalui penjenamaan semula daripada produk simpanan PTPTN. SSPN1M ini terdiri daripada SSPN1M-i yang turut dikenali sebagai SSPN-I serta SSPN1M-I Plus memberi peluang kepada para ibu bapa membuat simpanan demi pendidikan anak – anak. Penjenamaan semula ini tidak mengubah ciri – ciri asal produk sebagai tabungan pendidikan pelajar dan memberi banyak kelebihan.
KELEBIHAN SSPN1M
- Terdapat pelepasan taksiran cukai pendapatan terhadap simpanan bersih pada tahun semasa iaitu sehingga RM 6,000 setahun bagi akaun atas nama anak atau anak angkat yang sah sebagai penerima manfaat
- Pendeposit yang mempunyai simpanan RM 1,000 ke atas akan mendapat perlindungan takaful secara percuma. Ia terdiri takaful bagi kematian atau cacat kekal oleh sebab kemalangan dan dibayar sehingga RM 1 juta. Khairat kematian turut diberikan kepada pasangan serta 3 orang anak. Malah, elaun hospital turut diberikan serta takaful bagi 36 jenis penyakit kritikal tanpa perlu membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu
- Pengecualian cukai pendapatan serta kadar dividen yang tinggi dan kompetitif sehingga RM 12,000 setahun tertakluk kepada jenis pakej yang dilanggan
- Mendapat geran sepadan sehingga RM 10,000 untuk satu keluarga bagi akaun yang telah dibuka atas nama anak sebagai penerima manfaat kerana memasuki Institut Pengajian Tinggi
- Simpanan adalah dijamin oleh kerajaan
- Ahli SSPN1M adalah layak menerima bantuan pinjaman pendidikan PTPTN
- Berpeluang memenangi cabutan bertuah
- Skim SSPN1M adalah patuh syariah di mana segala urusan simpanan serta pelaburan skim dikawal selia oleh badan penasihat syariah dan segala urusan gharar, riba serta maisir adalah tidak berlaku
Mulai 1 Januari 2018, pelajar sekolah rendah yang telah membuka akaun SSPN1M adalah layak menerima insentif sebanyak RM 500. Kerajaan juga telah memperkenalkan Geran Sepadan RM 500 sebagai galakan kepada ibu bapa untuk membuka akaun SSPN1M sebagai tabungan di masa hadapan. Pemberian RM 500 akan diberikan kepada pelajar sekolah rendah yang telah menabung dalam SSPN1M sebanyak RM 500 pada tahun 2018. Walaubagaimanapun, geran ini terhad kepada 500,000 pelajar terawal sahaja dan ia hanya untuk pelajar yang berumur 7 tahun hingga 12 tahun dan sedang meneruskan pendidikan di sekolah rendah.
Skim ini juga dilihat sebagai persediaan awal bagi pendidikan yang akan menjamin masa hadapan anak – anak kerana ianya mempunyai perlindungan takaful dengan kadar yang begitu komprehensif serta berpatutan. Ini adalah satu peluang yang direka oleh PTPTN buat para ibu bapa menabung setiap bulan secara konsisten demi pendidikan anak – anak. Ia juga dapat mengelakkan para ibu bapa merasa terbeban dengan kos pengajian yang semakin meningkat dari masa ke semasa.
Akaun simpanan SSPN1M ini boleh dibuka dengan melayari laman web rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my, kaunter PTPTN atau melalui ejen yang dilantik secara sah dan tertakluk kepada syarat – syarat yang telah ditetapkan oleh PTPTN.