TABUNG KEMANUSIAAN ROHINGYA
Pelarian Rohingya kini berada di beberapa buah negara tanpa sebarang dokumen yang sah berikutan diusir oleh kerajaan Myanmar. Sehingga kini, jumlah pelarian Rohingya yang berada di kem pelarian di negara Bangladesh telah mencecah sehingga 850,000, seramai 100,000 di negara Thailand dan di Malaysia seramai 60,000 orang. Pelarian – pelarian Rohingya yang telah berada di Malaysia pula merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (UNHCR) dan dibenarkan untuk tinggal sementara sebelum dihantar pulang ke negara asal atau di negara ketiga. Walaubagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak dapat mengiktiraf status ‘pelarian’ tersebut kerana Malaysia bukan sebuah negara anggota kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967. Oleh itu, pelarian ini tidak boleh mendapat sebarang pekerjaan secara sah di Malaysia.
Kebimbangan melihat situasi yang dihadapi oleh pelarian Rohingya sangat memberi kesan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi semasa mengadakan lawatan kerjanya ke kem pelarian Bangladesh. Justeru beliau telah melahirkan rasa amat sedih dan bimbang dengan situasi pelarian Rohingya di Bangladesh.
Kesukaran kehidupan pelarian Rohingya ini telah membuka mata dan minda masyarakat Malaysia khususnya NGO untuk mewujudkan Tabung Kemanusiaan Rohingya bagi membantu etnik – etnik tersebut yang berada di Malaysia, Bangladesh dan juga Thailand. Pelbagai agensi turut sama bergabung membuat kutipan serta menyampaikan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya yang telah diwujudkan oleh Media Prima Berhad telah mendapat sokongan orang ramai. Malah. Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) turut membuat sumbangan sebanyak RM 91,190.00 kepada tabung tersebut. Masyarakat juga boleh membuat sumbangan secara terus kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya melalui akaun Maybank (5642 7652 2630) bagi membantu etnik Rohingya ini.
MyCARE dan Nusantara Care pula melancarkan Tabung Kecemasan Rohingya dan pada peringkat pertama telah menyumbang sebanyak RM 150,000.00 melalui 3 rangkaian NGO MyCare di negara Bangladesh. Bantuan yang disalurkan adalah seperti keperluan asas iaitu makanan, air bersih, perubatan, tandas serta penempatan sementara. Bagi yang ingin membuat sumbangan melalui MyCARE ini boleh dibuat melalui pilihan pakej tajaan iaitu samada Pakej Pek Makanan bernilai RM 300.00, Pakej Khemah Sementara bernilai RM 400.00 dan juga Pakej Perlindungan bernilai RM 50. Walaubagaimanapun, sumbangan boleh juga dibuat secara online melalui bank – bank NGO tersebut antaranya Maybank Islamik (5515 7500 4299), Bank Islam (1209 20100 34904) dan juga CIMB Islamik (8602 135 592).
Antara NGO lain yang turut menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan adalah Malaysian Relief Agency (MRA) dan telah memberi bantuan sebanyak RM 50,000.00 kepada etnik Rohingya yang berada di wilayah Rakhine, Myanmar. Bantuan juga dihantar dalam bentuk keperluan asas seperti makanan dan air minuman bersih, perubatan dan pelbagai keperluan lain ke kawasan yang mempunyai pelarian yang agak ramai. Setiap keluarga akan diperuntukkan sebanyak RM 300 bagi pembelian selimut dan keperluan – keperluan lain. Saluran bantuan disampaikan melalui rakyat Myanmar yang beragama Islam di sana yang boleh bergerak bebas memandangkan kawasan pintu masuk ke wilayah berkenaan dikawal begitu ketat oleh kerajaan Myanmar. Penderma boleh membuat sumbangan melalui ‘Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya’ ke akaun bank Malaysian Relief Agency (Maybank 564098206365)
Atas keprihatinan ini juga telah membuatkan para pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mewujudkan serta melancarkan Tabung Kemanusiaan Rohingya UniMAP. Ia juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial universiti tersebut dan telah dilancarkan semasa Istiadat Konvokesyen ke-12 UniMAP. Bukan hanya pelajar, malah ibu bapa, keluarga, warga UniMAP serta orang ramai boleh membuat sumbangan kepada etnik Rohingya melalui tabung tersebut bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Tabung – tabung kemanusiaan yang diwujudkan ini diharap dapat mengurangkan beban kehidupan pelarian Rohingya malah dapat memberi kelangsungan hidup kepada mereka. Tabung kemanusiaan ini juga dilihat sebagai salah satu sumbangan negara kepada rakyat luar yang sangat memerlukan pertolongan negara lain memandangkan pelarian ini telah diusir keluar secara tidak bermaruah dari negara asal.