Taman Rekreasi Sungai Congkak

Taman Rekreasi Sungai Congkak terletak di Kawasan Hulu Langat, Selangor kira – kira 40 kilometer perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur dan pekan Kajang. Terdapat beberapa pilihan laluan untuk datang ke Sungai Congkak samada menggunakan laluan Bukit Ampang, Jalan Hulu Langat atau menggunakan Lebuhraya Hubungan Timur – Barat. Sungai Congkak merupakan salah satu hidden gems yang semakin mendapat perhatian ramai kerana keindahan semulajadinya yang begitu memukau hati.

Kawasan hutan hujan ini merupakan sebahagian daripada banjaran Titiwangsa yang kaya dengan flora dan fauna serta terdapat sebatang anak sungai yang jernih. Di kelilingi pokok serta bukit yang menghijau pastinya memberi kesegaran minda buat para pengunjung. Taman Rekreasi Sungai Congkak sering menjadi tumpuan ramai yang ingin mencari ketenangan, menikmati keindahan alam semula jadi sambil menikmati hidangan bersama yang tersayang. Kawasan sekitarnya yang agak luas mampu dikunjungi oleh orang ramai dalam satu – satu masa. Air sungai yang jernih dan juga cetek membolehkan kanak – kanak bermandi – mandi dengan gembira, namun perlu diawasi oleh orang dewasa.

Menyusuri kawasan ini, pengunjung dapat melihat pelbagai gerai buah – buahan serta gerai makanan berada di sepanjang bahu jalan. Para pengunjung boleh singgah di gerai yang ada untuk membeli bekalan makanan atau kudapan sebelum tiba di Sungai Congkak. Tourism Selangor merupakan pihak yang bertanggungjawab menjaga Taman Rekreasi Sungai Congkak, maka tidak hairanlah terdapat pelbagai fasiliti disediakan untuk kegunaan orang awam seperti surau, tandas awam dan gazebo untuk berehat / berteduh.

Aktiviti Yang Boleh Dilakukan

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti : 

  • Perkhemahan
  • River Trekking
  • Jungle trekking
  • Flying fox
  • Flying drop
  • Teambuilding
  • Night walking
  • Kembara hutan
  • Obstacle cource
  • Kem kepimpinan
  • Kem motivasi pelajar
  • Kem cuti sekolah

 

Sungai Congkak ini memiliki enam zon perkelahan yang boleh dikunjungi orang ramai secara percuma. Malah, bebas memilih kawasan / ‘spot’ yang diinginkan, sebaiknya tiba awal untuk mendapat kawasan yang strategik. Bagi yang ingin bermalam pula, bolehlah menginap di resort dan chalet yang berhampiran antaranya Rimba Bikerz, Sifu Area ENT, Kem Herba Sungai Congkak dan juga Jentayu Resort. Lokasi penginapan ini berada bersebelahan sungai sahaja. Pada yang menggemari aktiviti perkhemahan pula, Congkak Eco Resort menyediakan tapak perkhemahan untuk pengunjung bermalam dengan kadar sewaan serendah RM 10, malah turut menyediakan penginapan chalet dengan kadar bermula dari RM 80 hingga RM 300. 

 

Pengunjung yang menggemari aktiviti lasak boleh mencuba aktiviti tersebut di Skytrex Adventure yang menawarkan pelbagai aktiviti antaranya Monkey Bar, Flying Fox, Fish Born, Skyspace, Track & Trex, Skynight, Amazing Race dan banyak lagi. Kesemuanya ini boleh dilakukan berdasarkan pakej aktiviti yang disediakan. 

 

Bagi yang gemar memanjat bukit, anda boleh memanjat Bukit Chenuang dan Bukit Batu Kumbang melalui Taman Rekreasi Sungai Congkak ini. Walau bagaimana pun, pendaki perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor terlebih dahulu. Jika tiada permit, pendaki tidak dibenarkan memanjat dan boleh didakwa sekiranya mengingkari arahan tersebut.

Tips

  • Sebaiknya tidak berkunjung pada musim hujan. Berkemungkinan berlakunya fenomena kepala air.
  • Tinggalkan kawasan sungai sekiranya air sungai menjadi deras dan keruh serta terdapat ranting patah hanyut secara tiba-tiba

 

Waktu Operasi

Mulai jam 8:30 pagi hingga – 6:30 petang

 

Alamat

Hutan Lipur Sungai Congkak, Batu 20, Jalan Sungai Congkak, Kampung Padang, 43100 Hulu Langat, Selangor

 

Harga Tiket

Dewasa (RM1), Kanak-kanak (RM0.50)