TARIKH MAHA 2018 – PAMERAN PERTANIAN, HORTIKULTUR DAN AGRO PELANCONGAN MALAYSIA
MAHA telah mula diadakan sejak bulan Oktober 1922 dengan nama persatuan Malayan Agri-Horticulture Association (MAHA). Ia bertujuan untuk memberi tumpuan terhadap sektor pertanian bagi menjana ekonomi negara serta penganjuran pameran pertanian. Pada tahun 1923, MAHA telah diadakan di Padang Kelab Lumba Kuda Selangor dengan menampilkan produk – produk terbaik seperti tanaman, buah – buahan, hasil ternakan, bunga – bungaan, pelbagai hasil kraftangan dan pelbagai inovasi dipamerkan di MAHA. Semasa negara berada di dalam keadaan darurat pada tahun 1969, pameran MAHA telah ditunda dan kemudiannya pada tahun 1972, MAHA telah digantikan dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan yang diadakan setiap tahun. Walaubagaimana pun, pada tahun 1999, MAHA telah menggantikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan. MAHA kini diadakan setiap dua tahun sekali dan diadakan bersama Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan.
MAHA pada tahun ini akan diadakan bermula 22 November sehingga 2 Disember 2018 dan jatuh semasa cuti persekolahan hujung tahun 2018. Seperti mana sebelum ini, lokasi bagi MAHA pada tahun 2018 ialah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Selangor. Pada kali ini dianggarkan seramai 3.5 juta pengunjung dari luar dan dalam negara bakal mengunjungi pameran pertanian yang sangat popular ini. Ia merupakan platform terbaik bagi para usahawan dalam menjana pendapatan hasil pertanian yang telah diusahakan.
MAHA 2018 kali ini akan menonjolkan pelbagai kepentingan teknologi dan inovasi pertanian (agroteknologi) dalam indutri agromakanan negara. Pada tahun ini juga, MAHA menjadi platform dinamik untuk :
- Menerokai peluang perniagaan, kolaborasi, pelaburan dan juga pemindahan teknologi
- Mempamerkan produk – produk pertanian, teknologi pertanian terkini dan juga perkhidmatan agro – makanan
- Memperluaskan rangkaian perniagaan
- Membangunkan serta meningkatkan pasaran import dan eksport
- Melancarkan produk serta perkhidmatan baru yang inovatif
- Menerokai pelbagai peluang kerjaya dan bidang keusahawanan
- Memperdalamkan serta mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan sedia ada
- Sebagai pendedahan kepada trend pasaran terkini dan juga meingkatkan daya saing pasaran anda
Pada tahun ini sebanyak 1,500 buah khemah jualan akan dibuka dengan penjualan produk industri asas tani, buah – buahan dan sayur-sayuran segar, anak pokok serta bunga-bungaan, ikan dan makanan laut segar serta 501 jenis menu juadah yang popular akan turut dijual di sini. Antara produk yang terdapat di sini ialah buah durian, kelapa, nenas, produk – produk tenusu boleh didapati di sini. Selain itu juga, sebanyak 15 pavilion negeri akan dibuka yang turut menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan yang mewakili negeri masing – masing boleh dinikmati oleh para pengunjung. MAHA 2018 turut menampilkan tarikan baru buat para pengunjung di mana ianya terdiri daripada kulinari, teknologi terkini, jualan industri asas tani berkonsepkan pasar raya besar, sumber rezeki baharu dan juga Miracle Garden. Seperti pameran yang terdahulu, MAHA 2018 masih menampilkan pelbagai laman seperti laman perikanan, laman ternakan, laman nanas, laman padi dan sebagainya supaya para pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti secara langsung.
MAHA 2018 dibuka setiap hari bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 7.00 malam. Walaubagaimana pun, para pengunjung masih boleh berada di MAHA 2018 kerana ruang jualan makanan dibuka sehingga jam 10.00 malam.