Tawas , Tabung Amanah Warisan Anak Selangor

Satu Enakmen baru telah diwujudkan menerusi Mesyuarat Kedua Penggal 3 semasa Sidang Dewan Negeri Bahagian Ketiga Belas. Enakmen tersebut adalah Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang telah mendapat kelulusan di mana setiap ahli TAWAS akan menerima sejumlah RM 1500 sebaik sahaja berumur 18 tahun. Tabung ini dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Warisan Anak Selangor. Penubuhan tabung warisan ini telah mendapat kelulusan pada 17 Ogos 2015. Permohonan bagi tabung ini perlu dibuat sebelum anak kelahiran Selangor berusia 3 tahun. dan secara automatiknya gagal sekiranya ibu bapa anak kelahiran Selangor ini memohon setelah anak mereka mencapai usia lebih 3 tahun.

Pemohon TAWAS yang berjaya akan mendapat sekeping kad keahlian yang dikenali sebagai Kad SiManja dan perlu disimpan sebaik mungkin kerana ia akan digunakan sebagai rujukan bagi mendapatkan manfaat yang diberikan oleh TAWAS kepada para ahlinya. Kad keahlian ini biasanya boleh diperolehi semasa urusan penghantaran dokumen yang telah lengkap. Malah, ia juga boleh dituntut bersama Penyata Simpanan TAWAS di kaunter – kaunter yang telah ditetapkan. Sekiranya kad keahlian tersebut rosak ataupun hilang, ahli TAWAS atau penjaga perlu melaporkan kepada pejabat YAWAS dan bayaran RM 10 akan dikenakan sebagai caj gantirugi.

Selain itu juga, YAWAS turut memperkenalkan Skim Khairat Kematian TAWAS. Skim ini merupakan bantuan khairat kematian buat ahli TAWAS yang meninggal dunia sebelum berusia 18 tahun dan diberikan kepada waris terdekat ahli TAWAS. Ia adalah skim di bawah Skim Tabung Anak Warisan Selangor dan hanya boleh dituntut sekiranya ahli TAWAS meninggal dunia selepas 1 Mac 2014. Bantuan khairat kematian ini dibayar kepada waris melalui cek yang dikeluarkan oleh YAWAS.

TAWAS juga turut menganjurkan program bantuan beg sekolah buat anak – anak Selangor yang akan memulakan sesi persekolahan tahun satu. Program bantuan beg ini dilakukan secara berkala setiap tahun dan berterusan serta menjadi program tahunan TAWAS. Beg sekolah akan diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan ibu bapa atau penjaga boleh mendapatkannya di pusat yang berkenaan mengikut alamat rumah yang telah didaftarkan. Terdapat juga Ahli DUN yang turut memberi sumbangan berbentuk keperluan persekolahan yang lain kepada ahli TAWAS berhampiran. Bagi memudahkan bantuan diterima oleh mereka yang layak, para ibu bapa dan penjaga ahli TAWAS perlu membuat pengemaskinian maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon dan kawasan program pilihan agar ahli TAWAS dapt menyertai sebarang aktiviti atau program yang diadakan.

Syarat Permohonan Keahlian TAWAS adalah seperti berikut :

Syarat 1

  • Merupakan seorang warganegara Malaysia
  • Merupakan kelahiran negeri Selangor atau luar negeri Selangor mulai 1hb Januari 2008.
  • Negeri kelahiran Ibu atau Bapa adalah negeri Selangor, ATAU Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1hb Februari 1974.

Syarat 2

  • Merupakan seorang warganegara Malaysia.
  • Negeri kelahiran adalah negeri Selangor dan lahir mulai 1hb Januari 2008
  • Kedua ibu dan bapa bukan kelahiran Selangor tetapi telah menetap di Negeri Selangor sekuarng – kurangnya 5 tahun
  • Mendapat cop pengesahan bermastautin daripada Penghulu / Ketua Kampung / Ahli DUN / Ahli Parlimen / Senator atau Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan

Syarat 3

  • Merupakan seorang warganegara Malaysia.
  • Lahir di sempadan negeri Selangor samada (Perak, Negeri Sembilan, dan Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur) mulai 1hb Januari 2008.
  • *Ibu / bapa atau penjaga lahir bukan di negeri Selangor tetapi bersempadanan dengan negeri Selangor iaitu Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang.
  • ** Ibu / Bapa dilahirkan di luar daerah negeri Selangor dan bermastautin di daerah sempadan yang sama
  • Mendapat cop pengesahan bermastautin daripada Penghulu, Ketua Kampung, Pengerusi Taman Perumahan, Nazir Masjid dan Ketua Komuniti SAHAJA

*Ini merujuk kepada Ibu dan Bapa yang bermastautin di daerah Negeri Selangor yang bersempadan negeri lain. Contoh:- Selangor- Negeri Sembilan, Selangor-Perak, Selangor-Wilayah Pesekutuan (Kuala Lumpur) dan Selangor-Pahang.