Tempat Menarik Di Bukit Fraser
Bukit Fraser terletak di Banjaran Titiwangsa dan berada di negeri Pahang, mempunyai jarak sejauh 104 kilometer sahaja dari ibu kota Kuala Lumpur. Suhu di kawasan ini adalah di antara 17~24 celcius menjadikan ia kawasan pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Sekiranya berkunjung ke Bukit Fraser, para pengunjung akan dapat melihat keunikan bangunan serta rumah – rumah banglo tersergam indah memiliki ciri – ciri kolonial British. Struktur rekabentuk yang terdiri daripada batu konkrit besar yang disusun dan disimen, pagar rumah daripada pokok bunga dan dinding bangunan dicat dengan warna putih diselang seli warna hitam pada tiang jenang menampakkan suasana perkampungan British. Keunikan yang terdapat di Bukit Fraser ini menjadikan ia sebagai salah satu destinasi pilihan yang menggemari percutian di kawasan bukit yang dingin tanpa perlu keluar negara. Sekiranya ingin bercuti ke Bukit Fraser, pastikan anda berkunjung ke tempat – tempat menarik seperti berikut :
- The Paddock Fraser Hill
Bagi peminat – peminat sukan ekuestrian atau aktiviti menunggang kuda, The Paddock adalah destinasi yang harus dilawati. The Paddock ini terletak di Valley Road dan sebelum bulatan Glen Banglo. Aktiviti menunggang kuda ini akan diawasi oleh jurulatih yang bertauliah dan pengunjung tidak perlu risau dengan sebarang insiden yang tidak diingini. Kuda – kuda yang digunakan di sini adalah terdiri daripada kuda lumba yang telah bersara. Bagi yang tidak meminati aktiviti menunggang kuda pula, terdapat aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini seperti aktiviti memanah. Selain itu juga, pengunjung boleh beristirehat di sini di sebuah kawasan rehat yang dihiasi pokok – pokok conifer ideal yang begitu menarik, sunyi serta dapat menenangkan fikiran sambil menghirup udara yang begitu nyaman. Bayaran untuk menunggang kuda dikenakan sebanyak RM 5 untuk dewasa dan RM 4 untuk kanak – kanak. Bagi aktiviti memanah pula, pengunjung perlu membayar sebanyak RM 10 untuk 10 set anak panah.
- Bird Interpretive Centre
Bird Interpretive Centre ini menjadi salah satu tarikan di Bukit Fraser. Pusat Interpretasi Burung ini merupakan sebuah galeri bagi spesies burung tempatan serta migrasi yang direkodkan dari Bukit Fraser. Ia mempunyai sebanyak 250 spesies seperti burung seperti burung enggang, helang, merpati, gagak serta pelbagai spesies endemik yang lain. Para pengunjung dapat mempelajari serta mengetahui bagaimana burung – burung ini berhijrah melarikan diri dari iklim sejuk untuk mendapatkan sumber makanan baru. Semasa musim sejuk, burung – burung migrasi dari negara Jepun, Rusia dan China akan datang ke Fraser Hill untuk mendapatkan makanan serta mencari padang rumput. Bird Interpretive Centre ini terletak bertentangan dengan Hotel Puncak Inn yang berada di tengah – tengah bandar Fraser Hill. Ia dibuka pada hujung minggu bermula jam 10 pagi sehingga jam 7 malam.
- Allen’s Water
Allen’s Water merupakan antara tarikan menarik di Fraser Hill. Ia merupakan sebuah tasik kecil yang terletak sebelum Jelai Highland Resort di Jalan Ampang. Ia telah bertukar menjadi taman rekreasi untuk kunjungan orang ramai bagi melakukan aktiviti – aktiviti rekreasi yang terdapat di sini. Para pengunjung boleh menyewa sebuah bot dayung untuk menyusuri tasik tersebut sambil menikmati suasana tasik yang begitu indah. Bot tersebut hanya boleh memuatkan dua orang penumpang sahaja. Kawasan tasik ini dikelilingi pokok serta tumbuhan semulajadi yang dapat menimbulkan suasana yang nyaman dan tenang buat para pengunjung. Pengunjung turut ditemani burung yang berterbangan, sang tupai dan monyet yang turut menghuni di sini. Tasik ini juga dihuni oleh ikan – ikan koi yang berwarna warni. Para pengunjung boleh beristirehat dan bersantai di gazebo besar yang disediakan sambil memberi makan kepada ikan – ikan yang terdapat di sini.
- Twin Peak Pine Tree Hill
Para penggemar aktiviti hiking boleh mencuba mendaki di sini. Twin Peak Pine Tree Hill mempunyai ketinggian setinggi 1500 meter di mana para pendaki boleh mendaki hingga ke puncak dan turun semula ke kaki bukit pada hari yang sama. Ia sering menjadi kunjungan kerana dapat melakukan aktiviti hiking dalam masa sehari sahaja.
- Kelab Golf Diraja Bukit Fraser
Kelab Golf Diraja Bukit Fraser turut menjadi pilihan para penggemar sukan golf. Ia terletak di atas bukit dengan ketinggia 1524 meter dari aras laut menyediakan sebanyak 9 lubang. Walaubagaimana pun, saiz keluasan padang golf ini agak kecil berbanding padang golf di tempat lain dan agak mencabar. Kelab golf ini tidak menyediakan sebarang perkhidmatan buggy dan para pemain perlu berjalan kaki untuk melawat ke setiap lubang.
- Air Terjun Jeriau
Pengunjung boleh berpiknik sambil bermandi manda di Air Terjun Jeriau yang begitu terkenal di Bukit Fraser. Walaubagaimana pun, kedinginan air terjun yang berada di sini membuatkan pengunjung hanya mampu membasahkan kaki sahaja. Pengunjung boleh bermandi manda di kawasan seolah – olah sebuah kolam renang kerana air yang turun dari bahagian atas telah ditahan oleh satu empangan simen kecil membolehkan air ditakung seolah – olah sebuah kolam renang. Pengunjung boleh berehat di kawasan tempat rehat berbangku serta kawasan tempat berteduh dan berpiknik sambil menjamu selera di sini. Terdapat juga taman permainan kanak – kanak disediakan di kawasan berkelah. Pengunjung dinasihatkan tidak berkunjung ke sini semasa musim hujan kerana air sungai di sini bertukar menjadi keruh semasa musim tersebut.
- Taman Flora Bukit Fraser
Taman Flora Bukit Fraser ini terletak bersebelahan Allen’s Water mempunyai pelbagai jenis bunga dan tumbuhan yang menarik. Selain itu juga, terdapat ladang strawberi yang boleh dikunjungi. Pengunjung yang datang ke Taman Flora ini boleh membeli sayur – sayuran serta buah – buahan segar yang turut dijual kepada para pengunjung. Antara sayuran yang terdapat di sini adalah seperti tomato, salad serta sayuran berdaun yang lain. Pengunjung boleh melawat ke taman ini tanpa sebarang bayaran dan dibuka setiap hari dari pagi hingga ke petang.
- Taman Rekreasi Bukit Fraser
Sebuah lagi taman rekreasi yang sering menjadi tumpuan para pengunjung tatkala berada di Bukit Fraser terletak di Pine Tree Road. Taman rekreasi ini di kelilingi pelbagai jenis pokok Bungan yang cantik dan menawan. Selain itu, taman ini turut menyediakan taman permainan kanak – kanak secara terbuka. Pengunjung juga berpeluang melakukakn aktiviti sukan golf di ruang mini golf course yang terletak di dalam kawasan tersebut dengan bayaran sebanyak RM 8 untuk dewasa dan RM 6 untuk kanak – kanak selama 15 minit.
- Hemmant Trail Fraser Hill
Hemmant Trail ini juga merupakan salah satu tempat yang sangat menarik untuk aktiviti hiking selain Twin Peak Pine Tree Hill. Pendakian ke Hemmant Trail tidaklah terlalu mencabar seperti mana Twin Peak. Hemmant Trail tidak terlalu curam dan jarak pendakian hanyalah sejauh 1 kilometer sahaja. Ia boleh ditemui bertentangan dengan Abu Suradi Trail dan pengunjung akan melalui kawasan hutan yang mengelilingi Kelab Golf Diraja dan diakhir fasa pendakian, pendaki akan melalui satu kawasan yang basah dan berlecak. Kawasan ini turut terkenal dengan kehadiran pacat.
- Menara Jam Bukit Fraser
Kunjungan dan lawatan para pengunjung tidaklah sah sekiranya tidak mengunjungi serta bergambar di Menara Jam Bukit Fraser yang merupakan mercu tanda di sini. Menara ini yang terletak di tengah – tengah pekan Bukit Fraser menjadi penanda bahawa pengunjung telah tiba ke Bukit Fraser.
Tempat Penginapan Di Bukit Fraser
Bukit Fraser tidak mempunyai kemudahan penginapan bertaraf 5 bintang. Namun begitu, terdapat hotel serta banglo – banglo penginapan boleh dijadikan sebagai tempat beristirehat bersama keluarga. Suhu yang lembab serta sejuk menjadikan bangunan – bangunan di sini kurang menarik dari luaran namun ianya tetap selesa dijadikan sebagai tempat penginapan. Antara tempat penginapan yang boleh menjadi pilihan para pengunjung adalah seperti :
- Puncak Inn
- Shahzan Inn
- Ye Olde Smokehouse
- TM Resort
- Rumah Rehat Sri Berkat
Pengunjung boleh membuat tempahan melalui laman – laman web sepert agoda, trivago, booking.com dan banyak lagi. Sekiranya anda ingin bercuti ke Bukit Fraser, jangan lepaskan peluang untuk bergambar di tempat – tempat menarik yang telah disenaraikan ini.