The Lost Paradise Resort, Penang
Percutian ala Bali di Penang
Inginkan percutian ala Bali di Pulau Pinang? Apa kata anda menginap di The Lost Paradise Resort yang menampilkan keunikan yang tersendiri. The Lost Paradise sebuah resort yang agak tersorok dan terletak di Tanjung Bungah kira – kira 15 minit pemanduan dari Georgetown serta 35 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Ianya juga terletak tidak jauh dari Botanical Garden dan juga Gurney Drive. Sekiranya menginap di sini, pengunjung boleh berjalan kaki menuju Tanjung Bungah Beach Resort dan juga Pantai Miami.
Resort ini menampilkan bilik penginapan dengan gaya butik gabungan konsep seni bina eksotik Bali, Melayu lama dan Minangkabau dan terletak berhadapan Laut Andaman yang begitu indah sekali. The Lost Paradise Resort ini dikelilingi dengan pokok – pokok orkid yang berwarna warni. Setiap bilik dilengkapi kemudahan moden seperti pendingin hawa, tv, wifi dan sebagainya. Perabot yang digunakan juga memiliki keunikan yang tersendiri, malah berusia ratusan tahun. Kedudukan resort ini yang berhadapan dengan laut dan pantai, pastinya memberi ketenangan buat para pengunjung.
Kemudahan
Terdapat pelbagai kemudahan disediakan untuk para pengunjung, antaranya ialah perkhidmatan spa khusus untuk yang ingin memanjakan diri. Bagi yang gemar mengambil foto pula, resort ini turut dilengkapi dengan landskap yang begitu menarik untuk bergambar. Para pemancing juga boleh meneruskan hobi masing – masing kerana resort ini turut menyediakan kawasan memancing berbumbung di atas tebing tepi laut tanpa had masa. Bagi menjamu selera pula, terdapat restoran yang menyediakan hidangan masakan tempatan, Asia dan masakan ala Cina. Malah, pengunjung juga boleh membuat pesanan penghantaran makanan dari restoran luar mengikut citarasa masing – masing. Resort ini juga turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari lapangan terbang ke resort serta perkhidmatan pelancongan buat para pengunjung.
Jenis Bilik
The Lost Paradise Resort menawarkan enam jenis bilik penginapan yang berbeza. Malah, setiap bilik juga dilengkapi konsep yang berlainan. Antara jenis bilik yang disediakan adalah seperti Standard Room, Superior Room, Deluxe Room, Deluxe Family Suite, Grand Family Suite dan Royal Suite.
Standard Room
Terdapat sebanyak 7 unit Standard Room disediakan dengan reka bentuk yang unik. Lokasi bilik ini terletak berhampiran kolam renang, Taman Terapung serta berhampiran pantai. Bilik ini boleh memuatkan 2 orang dewasa dengan katil double yang selesa. Reka bentuk bilik mandi bersama pokok subur memberi kelainan dan pengalaman indah ala Balibuat pengunjung. Bilik Amanpuri 3, 4 dan 5 terletak berhadapan Laut Andaman pastinya memberi ketenangan semasa bercuti di sini.
Harga bilik : RM 189 satu malam
Superior Room
Bilik Superior dilengkapi dengan satu katil single dan satu katil bersaiz king atau tiga katil single. Ia sesuai untuk pasangan atau keluarga kecil. Setiap bilik dinamakan berdasarkan nama pokok yang terdapat di kawasan sekitar. Dikenali dengan nama Buluh 1, 2 dan 3 kerana terdapat pokok buluh tumbuh di sekitar kawasan bilik, malah dinding bilik juga dihiasi dengan tikar buluh. Banyan 1 dan 2 pula dinamakan kerana bilik ini berhadapan pokok Banyan yang tua, besar dan megah berdiri. Bilik Takoma 1 dan 2 pula dinamakan kerana pokok Takoma mengelilingi kedua bilik tersebut. Bilik HeartRock pula dinamakan kerana terdapat batu besar di kawasan ruang tamu.
Harga bilik : RM 229 satu malam
Deluxe Room
Bilik Deluxe adalah sangat sesuai untuk yang berkeluarga kerana memiliki ruang dalaman yang lebih luas serta menampilkan reka bentuk Bali. Terdapat dua katil queen sesuai untuk empat orang pengunjung dewasa. Bilik ini juga terletak berhampiran kolam renang serta taman yang menghijau. Bagi yang gemar memancing, bolehlah akses terus ke laut dengan mudah.
Harga bilik: RM 269 satu malam
Premier Suite
Premier Suite menyediakan penginapan dengan pemandangan yang begitu indah, bersama kolam infiniti yang menjadi kegemaran ramai. Ia sesuai dijadikan penginapan berbulan madu dan sesuai untuk keluarga kecil. Bilik jenis ini bersaiz 50 meter persegi, dilengkapi dengan satu katil bersaiz king, katil lipat, balkoni serta ruang tamu peribadi. Perabot yang digunakan berkonsep Bali dan terdapat pelbagai barang hiasan dari Bali adalah milik pengusaha resort yang dikumpul dari percutiannya di seluruh dunia.
Harga bilik : RM 319 satu malam
Family Villa
Sekiranya anda bercuti bersama ahli keluarga yang agak ramai, bolehlah menginap di Family Villa ini. Heart Rock, satu – satunya bilik yang menawarkan keluasan yang lebih besar dan selesa bersaiz 100 meter persegi. Terdapat sebiji batu tua terletak di bahagian tengah ruang menghasilkan nama bilik iaitu Heart Rock. Menggabungkan hiasan seni Bali dan kontemporari di seluruh bilik. Family Villa ini mempunyai 3 buah bilik yang luas dengan 2 bilik mandi ini boleh memuatkan maksima 9 orang dewasa dengan selesa.
Harga bilik : RM 761 satu malam
Grand Family Suite
Terdapat empat jenis bilik Grand Family Suite dan dikenali dengan nama Subuh, Ombak, Senja dan Sejarah. Pilihan nama suite ini berdasarkan unsur alam semula jadi seperti senja, fajar, gelombang dan sejarah. Nama ‘grand’ adalah kerana perabot yang disediakan dalam suite ini direka khas oleh tukang kayu terbaik Bali.
Dua buah bilik iaitu Subuh dan Senja terletak berhadapan Laut Andaman dan memiliki balkoni peribadi sendiri. Bilik Ombak pula terletak berhampiran laut membolehkan pengunjung menikmati deruan ombak yang sangat menenangkan. Manakala bilik Sejarah pula terletak berhampiran kolam Bali yang dihiasi dengan bunga teratai segar yang indah. Warna warni bunga teratai memberikan kelainan pada bilik ini. Malah, bilik ini mengekalkan struktur asal bangunan warisan dengan menampilkan jubin lantai kuno bagi mengekalkan warisan sejarah berabad lama.
Harga bilik : RM 519 satu malam
Royal King Suite
Royal King Suite mempunyai keluasan 140 meter persegi, dilengkapi dengan ruang tamu, bilik tidur tambahan serta kamar mandi berkonsep Bali. Bilik ini juga dikenali dengan nama bilik Maharaja kerana ia adalah bilik paling besar di The Lost Paradise ini. Ia dilengkapi dengan satu katil bersaiz king dan juga dua katil bersaiz single boleh memuatkan empat orang dewasa dengan selesa. Katil yang terdapat di bilik ini kepunyaan maharaja zaman dahulu dan berusia hampir 100 tahun. Suite ini juga memiliki dua buah balkoni peribadi dengan dua pemandangan yang berbeza, satu menghadap taman serta kolam Bali manakala satu lagi balkoni menghadap Laut Andaman. Pengunjung boleh menikmati sinaran matahari terbit yang indah dari balkoni ini.
Harga bilik : RM 980 satu malam
Tiga (3) Kolam Unik
Sememangnya resort ini menampilkan kelainan yang tersendiri di mana terdapat 3 jenis kolam disediakan. Dua kolam tersebut adalah kolam infiniti eksotik yang terletak berhadapan Laut Andaman dan menjadi tumpuan pengunjung. Sebuah kolam lagi direka dengan begitu unik sesuai untuk kanak – kanak dengan rekabentuk yang begitu menarik. Tiga jenis kolam yang terdapat di sini adalah Kolam Batu Gunung Berapi, Kolam Maghribi dan Kolam Renang Kanak – Kanak.
Kolam Batu Gunung Berapi
Kolam ini diperbuat dari batu gunung berapi yang dibawa khas dari Bali. Batu – batu ini dikatakan dapat ‘menarik’ stress yang keluar dari badan dan minda seseorang. Kawasan kolam ini begitu menarik sekali kerana dikelilingi pokok pisang, pokok kelapa, pokok palma serta bunga frangipani yang sangat mendamaikan.
Kolam Maghribi
Kolam ini diperbuat daripada jubin yang diimport dari Maghribi. Ianya memberi impak seakan hidup tatkala dipancari sinar matahari petang, di mana refleksi kristal akan memancarkan sinaran yang menerangi kolam ini. Pastinya pengunjung dapat menikmati pengalaman berenang yang sangat berbeza kerana kolam ini turut dikelilingi pelbagai tumbuhan serta bunga tropika yang rimbun dan berhadapan pula dengan Laut Andaman.
Kolam Kanak-kanak
Pastinya anak – anak kecil gembira bermandi – manda di kolam ini dengan warna pastel yang begitu menarik perhatian.
Kemudahan Lain
Resort ini memiliki taman terapung yang dibina di atas laut dan dapat menampung sehingga 400 orang. Pintu ‘Gebyok’ adalah hasil kerja tangan dari Jawa Timur pastinya begitu unik sekali. Taman ini dihiasi pelbagai jenis bunga dan pokok yang menghijau subur. Sesuai dijadikan tempat untuk makan malam atau barbeku, malah ia juga menjadi pilihan untuk majlis perkahwinan dan pelbagai acara yang bersesuaian. Jika pada waktu malam pula, pengunjung dapat melihat lampu – lampu menyinari sekitar bandar Pulau Pinang sambil menikmati deruan ombak dan bayu laut yang dingin.
Bagi yang ingin mengadakan mesyuarat, sambutan perayaan dan sebagainya, resort ini juga memiliki dewan yang sesuai dengan acara tersebut. Dewan ini juga menampilkan keunikan reka hias Bali yang pastinya cukup berbeza. Kemudahan dewan akan disediakan mengikut permintaan pelanggan sesuai dengan pakej yang diinginkan.
Aktiviti sukan air juga boleh dilakukan jika menginap di sini kerana terdapat kemudahan aktiviti sukan air turut disediakan seperti bot naga dan kayak. Jadi, bolehlah anda mencuba salah satu sukan air yang terdapat di sini. Pengunjung juga boleh bermain bola keranjang di gelanggang yang disediakan.
Tempat letak kereta adalah disediakan percuma buat para tetamu yang menginap di resort ini.
Bukan Sekadar Resort
Pastinya anda ingin mengetahui apakah maksudnya Bukan Sekadar Resort? Jika anda ingin tahu, sebenarnya resort ini juga merupakan sekolah bagi golongan individu ‘special needs’. Golongan ini akan diajar menyerlahkan potensi diri di mana akhirnya akan diserap untuk bekerja di resort ini. Ini antara inisiatif resort untuk golongan kurang bernasib baik mendapatkan pendidikan dan berpeluang meneruskan kehidupan seperti individu normal yang lain.
Related Posts
DJI Mavic Pro Review
How to Register a Business in the United Kingdom
