Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
Pada tanggal 5 Februari 2009, kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Pertubuhan ini dikawal selia sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor dan ia ditubuhkan di bawah Program MES iaitu Program Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Penubuhan YAWAS ini selain merakyatkan ekonomi rakyat negeri Selangor, ia turut memberi faedah dan kebajikan rakyat yang lahir serta telah didaftarkan di negeri Selangor bermula tarikh 1 Januari 2008 dan selepasnya. YAWAS ini juga bertanggungjawab terhadap pengurusan dana – dana yang disalurkan kepada yayasan ini. Selain itu juga, YAWAS bertindak sebagai pentadbir yang menguruskan pelbagai program berbentuk kebajikan masyarakat untuk faedah bersama.
Salah satu produk utama yang dihasilkan oleh YAWAS ialah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang telah diperkenalkan sejak 1 Januari 2008. Tabung ini memberi peluang kepada anak kelahiran Selangor mendapat bantuan sebanyak RM 1500 apabila usia mereka menjangkau umur 18 tahun. Selain menyediakan bantuan kewangan buat anak kelahiran Selangor, YAWAS juga bertanggungjawab terhadap beberapa program yang dianjurkan seperti Jom Shopping Perayaan, Skim Mesra Usia Emas, Back To School, Program Ibu Tunggal dan juga I-Workfare buat rakyatnya.
Pada tahun 2017, YAWAS telah mula memikul tanggungjawab baru apabila ia mula memperkenalkan Program Insentif Perkahwinan Belia. Program ini menyediakan insentif atau bantuan perkahwinan sebanyak RM 500 buat pasangan pengantin yang layak serta menepati syarat yang ditetapkan oleh YAWAS. Walaubagaimanapun, insentif yang diberikan adalah melalui Sijil Simpanan Premium BSN dan bukannya melalui wang tunai.
Beberapa perkara perlu diberi perhatian sewaktu ingin memohon bantuan Program Insentif Perkahwinan Belia. Antara syarat permohonan adalah seperti berikut:
- Pasangan mestilah warganegara Malaysia
- Merupakan kelahiran negeri Selangor ATAU;
- Lahir di negeri selain Selangor DAN
- Memiliki MyKad beralamat di negeri Selangor;
- Telah menetap dan bermastautin di negeri Selangor selama 10 tahun dan lebih (perlu mendapatkan pengesahan pemastautin dari Penghulu / Ketua Kampung / Ahli Parlimen / ADUN / Pengerusi Taman Perumahan / Nair Masjid
- Mestilah berumur 35 tahun dan ke bawah
- Perkahwinan merupakan yang pertama kali sahaja
- Terbuka hanya dalam tempoh 12 bulan iaitu bermula dari tarikh nikah atau tarikh pendaftaran perkahwinan
- Tempoh 12 bulan tersebut hanya layak buat pemohon yang berkahwin mulai 1 Januari 2017 sahaja
- Bantuan kewangan ini terbuka kepada semua kaum
Beberapa dokumen perlu disediakan bagi memohon bantuan ini. Antara dokumen yang perlu disediakan adalah seperti berikut :
- Sesalinan kad pengenalan pemohon
- Bagi pemohon beragama Islam, perlu menyediakan sesalinan Sijil Nikah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri
- Bagi pemohon bukan beragama Islam, perlu menyediakan sesalinan Sijil Pendaftaran Perkahwinan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara
- Bagi pemohon bukan kelahiran Selangor, pemohon perlu mengemukakan Borang Pengesahan Mastautin yang dikeluarkan oleh pihak YAWAS. Borang boleh dicetak setelah pemohon mendaftar secara online
- Borang yang telah siap diisi, boleh diserahkan secara terus di Pejabat YAWAS / Pusat Khidmat Masyarakat DUN yang berhampiran serta kaunter YAWAS di JPN yang terpilih
Setiap permohonan perlu menepati syarat – syarat yang telah ditetapkan. Dokumen sokongan yang diperlukan perlu dihantar dalam tempoh 2 minggu dari tarikh pendaftaran secara online. Permohonan yang lewat atau tidak lengkap tidak akan dipertimbangkan oleh YAWAS dan tiada sebarang rayuan akan diterima.